Kisah Penciptaan
Sama seperti ada waktunya dahulu bilamana kota kita dan ibu bapa kita tidak wujud, ada juga waktunya bilamana planet yang kita diami ini tidak wujud. Kebanyakan kita mungkin pernah tertanya-tanya bagaimana rupa segalanya sebelum ada apa-apapun dalam ruang luas di mana alam semesta kita berada sekarang ini. Dari manakah matahari, bulan dan bintang-bintang datang? Memang sukar untuk fikiran kita membayang kembali waktu yang begitu panjang sekali bilamana tiada satupun benda untuk dilihat melainkan ruang gelap, kosong dan sejuk. Namun ada sesuatu di situ yang mengganti tempat bintang dan planet.
Siapa atau apakah itu? Ia Eloah, Allah Maha Esa (Yohanes 17:3; 1 Yohanes 5:20). Tuhan harus ada dahulu kerana Dialah yang mencipta segala sesuatu yang ada (Kejadian 1:1; Nehemia 9:6, Mazmur 124:8; Yesaya 40:26, 28; 44:24; Kisah 14:15; 17:24, 25; Wahyu 1:8; 4:11; 14:7).
Mungkin salah satu hal pertama yang ingin kita tahu tentang Tuhan ialah dari mana Dia datang. Dia tidak datang dari mana-mana. Walaupun segala sesuatu mempunyai permulaan, Tuhan telah sentiasa ada (Mazmur 90:2). Ada waktunya Dia wujud sendirian. Dia tidak memerlukan apa-apa untuk memberiNya hidup atau tenaga. Tuhan bersemayam untuk selamanya (Yesaya 57:15). Tuhan telah sentiasa ada dan akan sentiasa ada. Dialah yang mula dan yang akhir (Wahyu 1:8). Dia abadi (1 Timotius 6:16). Ini bererti Dia tidak boleh mati.
Sebab kita makhluk jasmaniah, hal-hal ini sukar untuk kita fahami. Kita harus sedar bahawa ada sesetengah perkara yang Tuhan rahsiakan daripada kita. Banyak hal lain Dia nyatakan kepada kita, lebih-lebih lagi jika kita taat (Amsal 16:3).
Bagaimanakah Tuhan agaknya? Kita tahu bagaimana rupa orang sebab kita boleh melihat mereka. Ibu bapa, saudara lelaki dan perempuan kita ialah satu keluarga manusia darah dan daging dalam rupa Tuhan (Kejadian 1:26). Ini tidak bererti bahawa Eloah, Allah Maha Esa kelihatan seperti kita. Ini bererti manusia dicipta selepas kaum tuhan (elohim), manakala semua binatang dicipta menurut jenisnya sendiri. Dengan itu manusia amat berbeza daripada binatang-binatang yang dicipta Tuhan.
Tuhan bukan orang; Dia makhluk Roh sejati. Makhluk-makhluk roh tidak takluk kepada hukum-hukum ruang dan waktu. Manusia biasanya tidak dapat melihat atau merasa atau mendengar roh-roh, tetapi mereka boleh dipengaruhi oleh mereka. Itu satu sebab kenapa Iblis dipanggil penguasa kerajaan angkasa (Efesus 2:2). Dia mempengaruhi orang ramai untuk memberontak melawan Hukum Tuhan.
Jadi, kita tidak boleh nampak Tuhan dengan melihat ke dalam ruang angkasa jutaan tahun dahulu, walaupun Tuhan satu-satunya yang wujud waktu itu. Bagaimanapun, kita boleh lihat beberapa benda yang Tuhan hasilkan. Tuhan tahu apa yang boleh dilakukan dan Dia tahu bagaimana Dia boleh melakukannya. Dia mahakuasa dan tiada yang mustahil untuk Tuhan (Lukas 1:37). Lihat karya Siapa Tuhan? (No. CB1).
Kita tidak tahu bilakah sebenarnya alam semesta dibuat, atau berapa lama ia dibuat. Tetapi Alkitab memberitahu kita tentang penciptaan. Alam semesta begitu besar sekali hingga kita hanya dapat melihat sebahagian saja melaluinya. Fikiran kita tidakpun dapat mula menyedari saiznya yang begitu besar, tetapi ini patut memberi kita idea tentang betapa bijak dan lebih kuat lagi Pencipta kita daripada kita (Ayub 22:12; 33:12; 38:4-6).
Di antara gugusan-gugusan bintang indah Bumi kita dicipta. Manusia telah memikirkan berbagai teori tentang bagaimana ia dapat berada di situ. Ramai dengan bodohnya percaya dan mengajar bahawa semua bintang dan planet “terjadi” begitu saja tanpa apa-apa pembabitan Tuhan dengan penciptaan mereka. Alkitab tidak bersoal jika ada Tuhan, tetapi menyatakan ada seorang Tuhan yang berada pada permulaan segala ciptaan. Hanya seorang bodoh saja berkata tiada Tuhan (Mazmur 53:1).
Jika kita melihat bagaimana rupa Bumi selepas ia dibuat, kita akan lihat sebuah bola biru-hijau besar yang indah sekali tergantung dengan latar belakang angkasa bertatah bintang-bintang. Kita tidak akan mengenali mana-mana benua atau tanda planet kita, sebab waktu ia mula-mula dibentuk ia nyata berbeza.
Untuk mencipta segala objek dalam alam semesta, Tuhan perlu menyediakan bahan sama seperti tukang kayu memerlukan bahan untuk mendirikan rumah-rumah di mana kita tinggal (Ibrani 11:3). Seperti yang kita sudah tahu, Tuhan ialah Roh. Sebagaimana cahaya bersinar daripada sebuah lampu ke seluruh sebuah bilik, Roh Kudus Tuhan keluar dari Dia ke alam semesta. Kuasa misteri dan indah ini ialah intisari Tuhan. Dengan kuasanya alam semesta dicipta dan dengannya setiap daya fizikal dan jasad angkasa dikawal. Lihat karya Apakah Roh Kudus? (No. CB3).
Penciptaan Asal
Kejadian 1:1-2 Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi. 2 Bumi belum berbentuk dan kosong; gelap gulita menutupi samudera raya, dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air. (KJV)
Di sini kita lihat penciptaan asal Langit dan Bumi. Ini bercakap tentang bumi pada waktu dahulu (2 Petrus 3:5-6) sebelum ia menjadi tohu dan bohu atau tanpa bentuk dan kosong. Ia penciptaan yang amat lama dahulu. Namun ia rosak (lihat nota kepada ayat-ayat 1 dan 2 The Companion Bible). Kita akan bercakap tentang sebab untuk itu sementara kita teruskan.
Anak-anak Tuhan
Tuhan tidak mencipta alam semesta hanya supaya Dia boleh mengagumi karyaNya. Pada satu ketika tertentu Tuhan ingin mempunyai keluarga untuk diriNya. Mula-mula Dia mencipta berjuta-juta makhluk roh untuk hidup di dalam alam semesta. Ramai mereka melayaniNya di Syurga tingkat ketiga, tempat TakhtaNya (2 Korintus 12:2). Kita tidak diberitahu di mana tingkat ketiga Syurga itu, tetapi mungkin ia di suatu tempat di langit utara (Yesaya 14:13). Kita memang tahu ia tidak kelihatan oleh mata manusia sama seperti makhluk roh tidak boleh dilihat oleh kita (2 Korintus 4:18).
Tuhan juga tahu bahawa makhluk-makhluk ciptaanNya harus beroperasi di bawah HukumNya. Makhluk-makhluk ini ialah anak-anak Tuhan (elohim) dan mereka diberi Roh Kudus supaya mereka boleh berhubung dengan Bapa dan satu sama lain. Tuhan melantik dua daripada mereka sebagai Kerub-kerub Penutup/Penjaga Sidang Elohim. Salah seorang kemudiannya menjadi Mesias (Kolose 1:15) dan seorang lagi ialah makhluk (Lucifer) yang kini kita kenali sebagai Iblis (Yehezkiel 28:14-16). Lihat juga karya-karya Siapakah Yesus? (No. CB2) dan Penciptaan Keluarga Tuhan (No. CB4).
Tuhan menjadikan Lucifer penguasa atas Bumi yang baru dicipta, ke mana berjuta-juta malaikat diutus untuk mendiaminya. Lucifer seharusnya memerintah para malaikat Bumi dengan melaksanakan semua perintah dan Hukum Tuhan. Lucifer amat bijak, baik dan berkemampuan. Dia sempurna dalam segala tingkah lakunya pada waktu dia dicipta, dan unggul dalam pengetahuan dan rupa. Nama Lucifer bererti Pembawa Terang, atau Bintang Bersinar Pagi.
Sebab Tuhan yang mencipta dan memiliki alam semesta, Dia pemerintah tertinggi atasnya. Lucifer pada mulanya tunduk kepadaNya. Dia melakukan segala yang Tuhan perintahkan. Kebahagiaan dan kepuasan hati bertahun-tahun wujud di kalangan para malaikat sementara mereka dan Lucifer mentaati setiap Hukum Tuhan. Ini adalah kerana Hukum Tuhan diberikan untuk membuat makhluk-makhluk bahagia. Segalanya berjalan baik selagi Lucifer mematuhi segala perintah dan ajaran Tuhan (Yehezkiel 28:13-15).
Namun masa berlalu dan dia mengizinkan fikiran salah memasuki akal fikirannya. “Aku raja kepada berjuta-juta malaikat,” fikirnya. “Dengan mereka aku dapat membentuk tentera besar yang cukup kuat untuk menyerang malaikat-malaikat Tuhan yang menentang kami. Jika aku dapat merampas Takhta Tuhan di Syurga dan mengguling Tuhan, aku pasti menjadi pemerintah tertinggi seluruh alam semesta!” (Yesaya 14:12-14).
Hanya berfikir tentang menakluk dan mengganti Tuhan telah menyebabkan keangkuhan dan cita-cita yang amat tinggi semakin meningkat. Bersamanya meningkat rasa tamak dan hasrat meluap-luap untuk melaksanakan segala keinginannya.
Akhirnya Lucifer memberitahu rencananya kepada mereka yang paling mungkin mendengar janji-janji menariknya untuk menjadikan mereka pemerintah bumi-bumi lain, di bawahnya, dan memberi pangkat-pangkat tinggi malah di Syurga kepada mereka yang akan memberontak bersamanya. Dia sangat gembira bila tahu bahawa sepertiga daripada semua malaikat dengan bodohnya sanggup membahayakan kebahagiaan mereka dengan menyertai maksud jahatnya (Wahyu 12:4; Ayub 4:18). Dua pertiga lagi kekal setia kepada Pencipta mereka.
Keangkuhan, nafsu dan kerakusan yang tumbuh daripada idea jahat telah menodai kebijaksanaan besar Lucifer. Kalau tidak, dia pastinya tahu bahawa perang yang sukses terhadap Penciptanya adalah mustahil. Pemikirannya begitu menyimpang sekali hinggakan sejak itu pertimbangannya menjadi palsu. Dipenuhi kepercayaan bahawa dia benar-benar dapat mengatasi Penciptanya, Lucifer bertindak melaksanakan rencana derhakanya itu. Dengan berjuta-juta malaikat yang sudi mematuhinya daripada Tuhan, dia naik ke Syurga bersama mereka untuk menyerang.
Perang yang terjadi antara bilangan besar makhluk-makhluk roh merupakan perkara yang dahsyat dan luar biasa. Manusia tidak tahu apa-apa tentang kuasa-kuasa aneh dan membinasa yang digunakan. Malah bom hidrogen atau kobalt kecil saja berbanding kuasa-kuasa milik Tuhan. Tuhan telah sentiasa wujud sebagai makhluk paling berkuasa. Tiada tentera manusia atau roh yang cukup kuat untuk menggulingNya daripada takhta.
Lucifer mengalami kekalahan teruk. Kuasa hebat Tuhan dilepaskan dengan tenaga yang begitu mengerikan sehingga penyerang-penyerang itu diletup keluar dari Syurga dan turun kembali ke Bumi (2 Petrus 2:4; Yesaya 14:15).
Tuhan belum habis lagi dengan malaikat-malaikat derhaka itu, bagaimanapun. Dosa pemberontakan Lucifer terhadap pemerintahan Tuhan menyaksikannya dikurung di planet ini sebagai pemerintahnya. Dia akan memerintah Bumi sementara kita dibesarkan di bawahnya dan dibawa keluar daripada pemerintahannya untuk satu pemerintahan dan waktu lain di bawah Kristus yang akan satu hari nanti menggantinya. Menurut perbuatannya dalam bahagian Rencana Tuhan ini dia dan para pengikutnya akan diadili.
Namanya diubah kepada Iblis, ertinya musuh dalam Ibrani (Wahyu 12:9), sebab dia ialah musuh umat Tuhan. Malaikat-malaikat yang mengikutinya sejak itu dikenali sebagai pemfitnah atau pendakwa palsu kerana mereka membuat tuduhan-tuduhan terhadap manusia. Dalam Yunani perkataan ini ialah diabolos. Perkataan Ibrani untuk roh-roh ini ialah shade (bayang) atau shades. Mereka juga dipanggil sebagai kambing jantan, atau satyr, daripada ibadat yang boleh dilihat dalam sistem pagan dewa Pan di padang gurun. Perkataan demon (setan/iblis) datang daripada Yunani yang bererti ilah atau dewa. Semua perkataan yang diperolehi daripada ini bererti dipengaruhi, atau dilaksanakan, oleh dewa jahat atau “demon”. Semua perkataan Yunaninya datang daripada istilah asal daimon yang digunakan untuk kuasa ilahi atau roh dan digunakan kedua-duanya dari segi baik dan jahat. Lukas 4:33 menggunakan perkataan unclean (jahat) bersama perkataan demon untuk menandakan ia jahat.
Iblis setan tidak dicipta jahat. Seperti Kristus dan semua anak-anak Tuhan mereka dicipta dengan kebolehan mengenali baik dan jahat. Namun sesetengahnya memilih untuk berdosa melalui pemberontakan dan ini memulakan perang di syurga, dan ini masih berlaku hari ini. Pemberontakan ini menyebabkan satu perpecahan dalam kerajaan Tuhan. Ini mengakibatkan mulanya banyak agama palsu dan tuhan palsu dan bumi yang dipenuhi kejahatan.
Hukuman ngeri dosa
Bila saja Hukum Tuhan dilanggar, penderitaan, kesusahan dan kebinasaan pasti menyusuli. Ketika pertempuran besar bilamana Iblis dan para setannya cuba menakluk Tuhan, suatu perubahan mengagumkan berlaku pada Bumi (Kejadian 1:2). Apa yang sebelumnya suatu planet yang indah bertukar menjadi kerosakan kosmik. Kita tidak pasti apa yang menyebabkan kemusnahan ini. Atmosfera menjadi tercemar. Nampaknya pemberontakan Iblis dan sepertiga Angkatan syurgawi mengakibatkan kemusnahan ciptaan asal.
Sedikit atau tiada hidupan fizikal mampu hidup melalui waktu yang dahsyat itu. Untuk satu waktu bumi kita terus terkubur dalam liputan tebal gas, asap dan air. Lautan meliputi seluruh Bumi. Tiada lagi kawasan tanah kering. Atmosfera begitu mampat dengan awanan benda-benda amat kecil hinggakan tiada cahaya dapat mencapai laut-laut. Kita tidak tahu berapa lama keadaan ini kekal, tetapi kemudiannya tiba waktu bilamana Tuhan mula bersedia untuk satu peristiwa yang amat penting dalam Rencana besarNya. Ini ialah pewujudan manusia.
Tuhan telah mencipta dengan penuh kasih sebuah dunia indah untuk makhluk-makhluk ciptaanNya. Dia sekali lagi akan mencipta kembali bersama-sama elohimNya zaman baru dalam mana kita manusia kini hidup.
Ada beberapa planet lain selain Bumi yang mengelilingi matahari kita, dan mungkin ada lebih banyak lagi di sana sini dalam alam semesta. Sepanjang pengetahuan kita, Bumi satu-satunya planet yang dipilih Tuhan dan disediakan untuk menjadi kediaman manusia yang dicipta mengikut gambarNya.
Penciptaan waktu sekarang
“Dan Roh Allah melayang-layang di atas permukaan air.” Kemudian dalam Kejadian 2:1 kita lihat: “Demikianlah diselesaikan langit dan bumi dan segala isinya.” Ciptaan inilah yang sekarang (2 Petrus 3:7) dan merupakan penciptaan (pekerjaan) Tuhan selama enam hari sebelum Dia berhenti pada hari ketujuh.
Jadi, daripada Kejadian 1:2-31 kita perhatikan satu permulaan baru selepas pemberontakan itu dan alam semesta dijadikan kosong dan gelap. Langit dan Bumi di sini ialah apa yang kita lihat sekarang(2 Petrus 3:7). Ia dibinasakan sekali lagi pada zaman Nuh oleh air bah, tetapi kita akan teliti hal ini dalam pelajaran lain.
Selama lima hari Tuhan, dibantu oleh elohim, atau keluarga tuhan yang diciptaNya sebagai Bapa mereka, bekerja untuk menjadikan Bumi tempat yang cukup sesuai untuk menyokong hidup manusia (Kejadian 1:23). Ini memerlukan tenaga yang kuat dan kuasa-kuasa hebat untuk mengubah seluruh permukaan planet dalam masa kurang seminggu.
Bapa melakukan perencanaan tertinggi. Dia memutuskan apa yang harus dibuat. Kemudian Dia memberitahu utusan tertentu, atau malaikat (daripada perkataan Yunani untuk utusan) yang dikenali sebagai “Firman Tuhan” sebab dialah yang menjadi jurubicara, berbicara menurut apa yang Bapa perintahkanNya. Malaikat Besar inilah yang muncul kepada Bapa-bapa Kaum dan memberi Hukum kepada Musa. Dia kemudiannya dilahirkan sebagai manusia, dan menjadi Yesus Kristus. Serta-merta Roh Kudus yang perkasa dan mahakuasa menghasilkan apa saja yang diperintah Firman itu. Begitulah caranya Tuhan mencipta dan membentuk segala sesuatu dalam zaman ini dengan dan melalui Yesus Kristus (Yohanes 1:3).
Pada hari pertama pembentukan kembali permukaan Bumi, Tuhan berfirman, “Jadilah terang.” Dia memisahkan terang daripada gelap dan memanggil terang itu ‘siang dan gelap itu ‘malam’. Oleh itu, kebanyakan asap, gas dan benda yang memenuhi langit dibersihkan. Justeru sedikit terang tembus ke Bumi untuk pertama kalinya sejak Iblis dan setan-setannya dilempar keluar dari Syurga (Kejadian 1:2-5).
Pada hari kedua Tuhan menghasilkan satu lapisan luas udara segar atas Bumi. Melaluinya kebanyakan wap air meresap ke atas untuk membentuk awan-awan bersih dan amat besar tinggi di langit, dan udara sihat yang boleh dihirup dengan selamat. Gabungan gas-gas sihat ini adalah perlu untuk memelihara hidup manusia (Kejadian 1:6-8). Tuhan memanggil atmosfera ini Langit (Kejadian 1:8). Dia juga bercakap tentang dua lagi langit: satu ialah cakerawala di luar batas atmosfera kita (Kejadian 1:14), dan satu lagi, dipanggil Syurga tingkat ketiga, ialah tempat TakhtaNya berada (Kisah 7:49; 2 Korintus 12:2). Dia tidak memberitahu kita di mana ia berada, dan ahli-ahli astronomi tidak pernah melihatnya kerana ia tidak kelihatan sebagai suatu struktur roh. Benda-benda yang kelihatan diperbuat daripada benda-benda yang tidak kelihatan.
Pada hari ketiga, Pencipta membentuk kerak Bumi supaya ada bahagiannya yang tinggi dan ada yang rendah. Lapisan tebal air yang mengelilingi planet ini mengalir ke tempat-tempat rendah, membentuk berbagai rupa laut-laut. Kawasan luas tanah dibiarkan berada di atas air, dan membentuk benua-benua (Kejadian 1:9-10). Di atas benua-benua ini Tuhan membuatkan tumbuh-tumbuhan – pokok, semak, bunga dan rumput – tumbuh keluar daripada tanah. Pada hari yang sama kawasan-kawasan tanah mula menghijau dengan semua jenis tumbuhan yang tumbuh daripada tanah (Kejadian 1:11-13).
Pada hari keempat Pencipta menyapu sisa habuk dan gas-gas berbahaya daripada langit, justeru membolehkan matahari, bulan dan bintang-bintang bersinar sepenuhnya ke atas tanah-tanah dan laut-laut. Tuhan berfirman, “Jadilah benda-benda penerang pada cakrawala untuk memisahkan siang dari malam. Biarlah benda-benda penerang itu menjadi tanda yang menunjukkan masa-masa yang tetap dan hari-hari dan tahun-tahun, dan sebagai penerang pada cakrawala biarlah benda-benda itu menerangi bumi.” Dan jadilah demikian. Tuhan membuat dua penerang besar – penerang lebih besar untuk menguasai siang dan yang lebih kecil untuk menguasai malam. Semestinya ini bercakap tentang matahari dan bulan. Kemudian dia membuat bintang-bintang (Kejadian 1:14-19). Sini kita lihat Kalendar Tuhan diadakan sejak dari mula. Lihat juga Mazmur 104:19.
Pada hari kelima Dia meletakkan ikan paus dan segala jenis makhluk air ke dalam laut. Pada hari itu Dia juga mencipta berbagai jenis burung untuk terbang melalui udara. Tidak lama kemudian langit dan air berkerumun dengan benda-benda hidup.
Pencipta telah membaharui muka Bumi dan memenuhkannya dengan banyak jenis hidupan dalam lima hari. Akhirnya Dia hampir sedia untuk mencipta manusia. Namun sebelum mencipta manusia pada hari keenam, beberapa makhluk daratan istimewa diadakan. Ini termasuk gajah, lembu, kuda, haiwan pengerat, cacing, serangga dan setiap jenis makhluk yang berjalan, merangkak atau merayap (Kejadian 1:24-25).
Manusia dicipta
Akhirnya Tuhan melakukan tugas paling penting dalam pekerjaan jasmaniah. Dengan menggunakan bahan daripada apa Dia membentuk Bumi, Dia membuat seorang manusia! (Kejadian 1:26-28).
Langit dan Bumi dicipta oleh elohim yang berkata, “Baiklah Kita menjadikan manusia menurut gambar dan rupa Kita, supaya mereka berkuasa atas ikan-ikan di laut dan burung-burung di udara dan atas ternak dan atas seluruh bumi dan atas segala binatang melata yang merayap di bumi” (Kejadian 1:26). Manusia diperintah untuk menakluk dan mengisi (atau memenuhi) Bumi (Kejadian 1:28; lihat Mazmur 8 dan Ibrani 2:6-8).
Walaupun elohim mempunyai berbagai peranan dalam penciptaan. Allah Maha Esa menjadikan Bumi dengan kuasa dan kebijaksanaanNya.
Yeremia 10:12-13 Tuhanlah yang menjadikan bumi dengan kekuatan-Nya, yang menegakkan dunia dengan kebijaksanaan-Nya, dan yang membentangkan langit dengan akal budi-Nya. 13 Apabila Ia memperdengarkan suara-Nya, menderulah bunyi air di langit, Ia menaikkan kabut awan dari ujung bumi, Ia membuat kilat serta dengan hujan, dan mengeluarkan angin dari perbendaharaan-Nya. (RSV)
Tuhan Allah membentuk manusia pertama daripada debu tanah dan menghembus nafas hidup ke dalam lubang hidungnya dan manusia itu menjadi makhluk hidup (Kejadian 2:7).
Tuhan menamakan manusia pertama ini Adam. Dia manusia fana hidup yang pertama di atas planet ini (1 Korintus 15:45). Pencipta telahpun menyediakan suatu taman indah untuk Adam hidup dan bekerja di dalamnya (Kejadian 2:8). Ini ialah Eden, satu tanah di Timur Tengah yang termasuk apa yang sekarang ini wilayah Israel dan di utara lembah Tigris-Efrat.
Tuhan telah merencana untuk mencipta manusia. Dia tahu bahawa Adam akan menjadi sunyi sekiranya dia seorang saja namun Dia memutuskan untuk mencipta melaluinya juga. Dia mengambil salah satu tulang rusuk Adam, sewaktu dia tidur, dan menjadikannya seorang perempuan. Dia diberi kepada Adam sebagai teman. Adam menamakan perempuan ini Hawa (Kejadian 2:18-22).
Semua ini Tuhan jadikan dan ciptakan dalam enam hari pekerjaan. Setiap hari hanya dua puluh empat jam panjangnya dan mempunyai waktu malam dan siang seperti sekarang ini. Kemudian Tuhan melihat segala yang dijadikanNya itu, dan ia sangat baik (Kejadian 1:31).
Demikianlah langit dan Bumi diselesaikan dengan segala isinya (Kejadian 2:1).
Pada hari ketujuh Tuhan berhenti daripada enam hari pekerjaan besarNya (Kejadian 2:2-3). Dia menamakan hari ketujuh ini Sabat (Keluaran 16:26), justeru mengadakan satu hari perhentian istimewa dan mengasingkannya sebagai waktu dua puluh empat jam sebagai Hari Kudus khususNya. Dia membuat satu Hukum supaya manusia memelihara hari yang sama itu setiap minggu dengan berhenti dan berkumpul untuk ibadah pada hari ketujuh. Tuhan menjadikan hari itu waktu kudus, dan memerintah semua orang untuk sentiasa menguduskannya. Seperti yang sudah kita tahu Perintah Keempat meminta kita menguduskan hari Sabat. Enam hari pertama adalah untuk manusia bekerja dan bermain, tetapi hari ketujuh dan terakhir minggu Tuhan simpan untuk diriNya (Keluaran 20:8-11). Lihat juga karya Hari Sabat (No. CB21).
Kita diberitahu bahawa hari ketujuh (Sabat) adalah untuk mengingatkan kita tentang perhentian Tuhan daripada pekerjaanNya pada akhir minggu penciptaan. Namun Kristus memberitahu kita dalam Alkitab bahawa dia dan Bapa masih lagi bekerja (Yohanes 5:17). Jadi, perhentian ini masih berterusan dan merupakan tanda perhentian masa depan (lihat Ibrani 4:1-4).
Demikianlah berakhirnya minggu pertama dalam sejarah planet yang digubah kembali yang kini sudah didiami manusia selama enam ribu tahun.
Jika kita melihat dengan amat teliti pada minggu pertama penciptaan kita dapat melihat Rencana Keselamatan Tuhan. Minggu penciptaan bermula pada hari pertama minggu (hari Minggu) dan terus sampai Sabat hari ketujuh (Sabtu). Alkitab memberitahu kita bahawa satu hari sama seperti seribu tahun bagi Tuhan (2 Petrus 3:8). Minggu penciptaan ini dilihat sebagai menggambarkan tujuh ribu tahun, iaitu Rencana Tuhan untuk manusia.
Selama enam ribu tahun pertama manusia berada di bawah kuasa Iblis dan setan-setan. Seribu tahun terakhir dipanggil Hari Tuhan. Ini ialah Milenium di bawah pemerintahan Yesus Kristus dan umat pilihannya, apabila dia kembali untuk mengambil alih daripada Iblis. “Mereka hidup dan memerintah bersama-sama dengan Kristus selama seribu tahun” (lihat Wahyu 20:4).