Kita sambung sini dari kertas Kesusahan di Israel dan Yehuda (No. CB105).
Benhadad menyerang Samaria
Kira-kira lima tahun berlalu, dalam mana Israel utara pulih daripada kemarau tiga tahun dan menjadi makmur. Untuk seketika keadaannya agak baik untuk Raja Ahab meskipun dia terus menyembah berhala. Seluruh Israel menjadi lalai.
Sementara itu, Benhadad raja Aram mengumpulkan seluruh tenteranya, dan bersama-sama dengan tiga puluh dua raja dengan kuda dan kereta mereka, dia maju dan mengepung Samaria serta menyerangnya. Dia mengutus para utusan ke dalam kota itu untuk berkata kepada Ahab, “Emas dan perakmu milik aku, dan para isteri dan anak-anakmu yang terbaik milik aku” (1 Raja-raja 20:1-3).
“Katakan kepada rajamu bahawa segala milikku ialah miliknya,” Ahab memberitahu para utusan itu, dengan harapan jawapannya yang menunduk diri itu akan memuaskan hati Benhadad buat masa itu.
Tatkala raja Aram mendengar apa yang dikatakan Ahab itu dia mengutus para utusannya kembali dan mereka berkata, “Inilah titah Benhadad: “Walaupun aku sudah meminta emas dan perakmu, para isteri dan anak-anakmu, kira-kira waktu ini esok hamba-hambaku akan menggeledah istanamu dan kediaman para pegawaimu. Mereka akan merampas apa saja yang bernilai yang disukai mereka.’”
Ahab menjadi lebih khuatir lagi. Dia segera memanggil semua orang terpenting kota itu untuk menjelaskan keadaannya kepada mereka dan bertanya mereka apa yang harus dilakukan.
“Jangan pedulikan dia atau bersetuju kepada apa-apa katanya,” mereka memberitahu raja.
Jadi Ahab berkata kepada para utusan itu, “Katakan kepada rajamu bahawa walaupun aku setuju kepada apa yang dimintanya pada mulanya, aku tidak boleh izinkan orang-orangnya masuk ke dalam kotaku dan mengambil apa saja yang diingini mereka.”
Apabila Benhadad diberitahu jawapan Ahab dia mengutus satu lagi pesan yang berbunyi, “Semoga para tuhan mengambil nyawaku, jika aku tidak membawa cukup ramai orang melawan Samaria sampai tidak cukup tempat untuk mereka berdiri di atas debu kota itu!” (ayat 4-10).
Apabila Ahab mendengar pengumuman Benhadad bahawa dia akan memusnahkan Samaria, dia mengirim balik jawapan penuh marah kepada raja yang satu lagi itu.
“Ingatkan rajamu bahawa perajurit yang baru mahu pergi berperang harus jangan bermegah tentang kemenangannya. Dia harus tunggu sampai pulang dari perang untuk berbuat begitu” (ayat 11).
Benhadad mendengar pesan ini ketika dia dan raja-raja lain minum dalam khemah mereka.
Dia kemudian memerintah orang-orangnya: “Bersiap untuk menyerang kota musuh itu!” (ayat 12).
Kemenangan Ahab
Sementara itu, seorang nabi datang kepada raja Israel untuk berkata bahawa Tuhan akan memberi Ahab kemenangan atas tentera Aram yang besar ini pada hari itu, untuk mengingatkannya lagi bahawa Tuhan Israel ialah satu-satunya Tuhan yang benar.
“Tetapi siapakah yang akan melakukan ini?” Ahab bertanya.
Nabi itu menjawab: Tuhan berfirman hamba-hamba kepala-kepala daerah akan melakukannya” (ayat 13-14).
“Dan siapakah yang akan memulakan perang itu?” dia bertanya.
Nabi menjawab, “Engkau.”
Ahab memanggil 232 pengiring para kepala daerah. Kemudian dia menghitung orang Israel selebihnya – 7000 semuanya (1 Raja-raja 20:15).
Mereka maju pada waktu tengah hari untuk menyerang tentera Benhadad. Waktu ini Benhadad dan tiga puluh dua raja bersamanya sudah mabuk.
Benhadad telah mengutus pengintip yang melaporkan ada orang-orang yang maju dari Samaria.
Dia berkata, “Tangkap mereka hidup-hidup sama ada mereka datang dengan damai atau mereka datang untuk berperang” (ayat 16-18).
Pada waktu ini tentera Ahab telah mengikut serta dalam serangan itu. Setiap satu membunuh seorang perajurit Aram. Tiba-tiba tentera Aram itu panik dan melarikan diri dan orang Israel mengejar mereka. Raja Benhadad dan beberapa orang lain berjaya melarikan diri dengan kuda. Bagaimanapun, kebanyakan kuda dan kereta ditangkap dan kebanyakan tentera Aram terbunuh dalam pembunuhan besar-besaran (ayat 19-21).
Tidak lama selepas kepungan singkat Samaria, nabi itu datang lagi kepada Ahab dan berkata, “Kukuhkan kedudukanmu dan buatlah apa yang harus dibuat kerana musim bunga berikutnya raja Aram akan menyerangmu sekali lagi” (ayat 22).
Pada waktu yang sama, para penasihat Raja Benhadad cuba meyakinkannya bahawa dia harus mencabar Tuhan Israel sekali lagi dan menyerang Israel.
“Kita kalah perang itu kerana tuhan-tuhan Israel berdiam kebanyakannya di pergunungan,” mereka menjelaskan kepada Benhadad. “Tetapi kita boleh mengalahkan mereka dengan senang di tanah rata. Kali ini gantikan raja-raja itu dengan pegawai-pegawai lain! Dapatkan satu lagi tentera seperti tentera yang kamu hilang dan berikan kami sama bilangan kuda dan kereta dan orang dan kami akan melawan mereka di tanah rata dan mengalahkan mereka”. Dia mendengar nasihat mereka (ayat 23-25).
Musim bunga berikutnya, Benhadad berbuat seperti yang mereka cadangkan dan dia dan tenteranya maju untuk berperang melawan Israel kembali.
Sesudah orang Israel dikumpulkan dan diberi bekalan mereka maju untuk bertemu mereka. Mereka berkhemah bertentangan orang Aram tetapi tentera Israel kelihatan seperti dua kawanan kecil kambing berbanding angkatan Aram yang memenuhi kawasan daerah itu.
Lalu seorang nabi pergi kepada raja dengan pesan daripada Tuhan. “Orang Aram telah datang ke sini sebab percaya bahawa Tuhan Israel hanya berkuasa di kawasan pergunungan,” nabi ini memberitahu Ahab. “Mereka ingat sekiranya mereka berperang dengan kamu di dataran, Tuhan tidak dapat menolong kamu. Aku telah diutus untuk memberitahu kamu bahawa Dia akan sekali lagi memberi kamu kemenangan atas tentera Aram, supaya semua orang tahu bahawa Tuhan berkuasa di setiap bahagian semua negeri dan atas seluruh Bumi, dan bahawa bilangan besar perajurit, kuda dan kereta tiada ertinya bagi Dia” (ayat 28).
Dua tentera itu berkhemah bertentangan satu sama lain selama tujuh hari. Pada hari ketujuh pertempuran bermula. Orang Israel membunuh 100,000 perajurit Aram yang berjalan kaki. Selebihnya melarikan diri ke kota Afek, di mana tembok roboh menimpa 27,000 orang daripada mereka. Benhadad lari ke kota itu dan bersembunyi di kamar dalaman (ayat 29-30).
Para pegawainya berkata kepadanya, “Kami telah mendengar bahawa raja-raja Israel amat pemurah. Jadi marilah kita menghadap raja Israel sambil memakai kain kabung dan dengan tali pada kepala kita. Mungkin dia akan melepaskan nyawa engkau.”
Semua itu merupakan tanda-tanda kerendahan hati orang timur dahulukala.
Jadi mereka pergi menghadap raja dan berkata, “Hambamu, Benhadad berkata: ‘Biarkan aku hidup’”.
Ahab menjawab, “Masih hidupkah dia? Dia saudaraku!” (ayat 31-32).
Orang-orang Aram itu menganggap jawapan ini petanda yang baik untuk Benhadad, dan mungkin untuk mereka.
“Pergi dan bawakan rajamu kepadaku,” Ahab mengarahkan orang Aram itu.
Apabila Benhadad keluar Ahab menjemputnya menaiki keretanya (ayat 33).
Benhadad berkata, “Bapaku merampas beberapa kota daripada Israel ketika bapamu raja. Aku akan memulihkan kota-kota itu kepadamu. Engkau boleh membuat pasarmu sendiri di Damsyik, seperti bapaku lakukan di Samaria”.
Ahab berkata, “Aku akan membiarkan kamu pergi atas syarat-syarat ini.” Jadi dia membuat perjanjian dengannya dan melepaskannya (ayat 34).
Sekiranya Ahab telah dipimpin pengaruh Tuhan, dengan cara bagaimana hamba-hamba Tuhan dipimpin, dia tentu tidak begitu mesra dengan orang ini yang membencinya. Benhadad dan para penasihatnya seharusnya ditangkap atas sebab semua pembunuhan mereka dan dikenakan hukuman ekstrim. Sebaliknya, Ahab melayani salah seorang musuh terjahat Israel seperti seorang tetamu, mengusul kepadanya agar mereka bersetuju untuk tidak lagi berperang melawan sesama sendiri. Ahab membiarkannya pergi bebas – dan bersedia untuk perang dengan Israel tiga tahun kemudian.
Seorang Nabi mengutuk Ahab
Sementara Ahab dalam perjalanan kembali ke Samaria, seorang nabi menghentikan raja itu. Dia memberitahu raja bahawa dia telah membuat kesilapan maut dalam memberi Benhadad kebebasannya.
Dia berkata kepada raja, “Inilah firman Tuhan: ‘Engkau telah membebaskan orang yang Aku telah tentukan harus mati. Maka nyawamu menjadi ganti nyawanya, rakyatmu ganti rakyatnya.’” Tersinggung dan marah, raja pulang ke istananya di Samaria (ayat 35-43).
Kebun anggur Nabot
Nabot, orang Yizreel, mempunyai kebun anggur di pinggir kota hampir istana Raja Ahab. Satu hari raja berbicara dengannya tentang menjualnya tanah ini.
“Aku memerlukan kebunmu,” Ahab berkata kepadanya. “Aku ingin meluaskan kebun-kebunku untuk memasukkan jenis hasil yang lain. Tanahmu bersebelahan tanahku. Aku akan membayarmu harga kebunmu atau membeli kebun yang lebih besar dan lebih baik dan memberinya kepadamu sebagai ganti kebunmu.” Di sini Ahab bersalah mengingini milik tetangganya (1 Raja-raja 21:1-2; lihat Keluaran 20:17; Yesaya 5:8).
Nabot menjawab, “Kiranya TUHAN menghindarkan aku dari pada memberikan milik pusaka nenek moyangku kepadamu” (1 Raja-raja 21:3).
Nabot tidak mahu menjual tanahnya kerana tanah itu milik Tuhan dan Hukum Tuhan jelas menyatakan bahawa suatu pusaka dalam Israel tidak boleh dijual melainkan pemiliknya sungguh miskin, dan sekiranya begitupun pusaka itu harus dipulangkan kepadanya bila dia mampu membayarnya. Jika dia menjual pusakanya itu, kedua-dua pembeli dan penjual akan bersalah di depan Tuhan (lihat Bilangan 27:8-11; Imamat 25:10-13, 23-28).
Jadi Ahab pulang dengan marah dan berbaring atas tempat tidurnya sambil merajuk dan tidak ingin makan (ayat 4).
Ahab kemudian menjelaskan keadaannya kepada isterinya, yang tiada simpati untuknya. Dia jijik sebab Ahab telah mempertimbangkan sebab kenapa Nabot tidak menjual miliknya.
Izebel berkata, “Kenapa engkau begitu sedih? Bukankah engkau raja Israel? Bangunlah dan makan dan minum! Aku akan dapatkan kebun itu untuk kamu.”
Dengan menggunakan tandatangan dan meterai raja, Izebel mengirim surat-surat kepada orang-orang penting kota itu, memberitahu mereka untuk mengumumkan hari puasa. Mereka harus memanggil Nabot dan mencari dua orang dursila yang akan menuduhnya mengutuk Tuhan dan raja. Kemudian mereka harus membawanya ke luar dan menghukum bunuh dia (ayat 5-10).
Perintah ratu itu diikuti; satu pertemuan diadakan dan Nabot dibicarakan. Dua orang dursila menuduhnya mengutuk Tuhan dan raja; dan dia diheret ke luar kota itu dan dilempari batu sampai mati. Tidak lama selepas itu, Izebel mendapat berita yang ditunggu-tunggunya – bahawa Nabot telah mati (ayat 11-14).
Lewat hari itu apabila dia bertemu Ahab, Izebel dengan gembiranya memaklumkannya bahawa kebun Nabot adalah miliknya (ayat 15).
Jadi Ahab pergi untuk menuntut kebun itu.
Lalu firman Tuhan datang kepada Elia: “Pergilah bertemu Ahab, yang memerintah di Samaria. Dia telah pergi untuk mengambil kebun Nabot sebagai miliknya. Katakan kepadanya, ‘Beginilah firman Tuhan: Bukankah engkau sudah membunuh seseorang dan merebut miliknya? Kemudian katakan: Di tempat di mana anjing menjilat darah Nabot, anjing akan menjilat darahmu!’”
“Dahulunya engkau sahabatku,” Ahab berkata kepada nabi itu. “Sekarang engkau musuhku. Kalau tidak engkau pasti tidak datang ke sini untuk mencari aku hanya untuk membuat ramalan jahat tentang aku.”
“Aku telah datang untuk meletakkan kutukan Tuhan padamu kerana engkau telah menjual dirimu kepada iblis,” Elia meneruskan. “Engkau selama ini sedar tentang hukum Tuhan. Engkau sudah banyak peluang untuk hidup menurutnya. Sebab kamu terus mengikut jalan salah dan memalukan, kamu dan keluarga kamu harus mengalami nasib ngeri Yerobeam dan Baesa, yang juga memimpin rakyat mengikut jalan salah. Tentang isterimu yang menyembah berhala dan suka membunuh, anjing bukan hanya akan menjilat darahnya; anjing akan MEMAKAN dia! Anggota lain keluargamu akan berkongsi nasib yang sama. Jika anjing tidak memakan mereka, isi daging mereka akan dimakan oleh burung di udara” (ayat 20-26).
Tatkala Ahab mendengar semua nubuatan ini dia mengoyakkan pakaiannya, memakai kain kabung, berpuasa, tidur dengan memakai kain kabung dan berjalan dengan amat rendah hati. Raja Israel ini mula mengenali erti penyesalan perit!
Pada waktu itu Elia menerima pesan daripada Tuhan yang memberitahu nabi ini bahawa walaupun Ahab belum bertaubat sepenuhnya, dia telah begitu rendah hati sehingga Tuhan sanggup melambatkan sebahagian kutukan yang dikenakanNya pada raja dan keluarganya.
“Aku tidak akan mendatangkan malapetaka pada keluarga Ahab ketika dia hidup,” Tuhan memberitahu Elia, “tetapi ini pasti datang kemudiannya dalam zaman anaknya; Aku akan membinasakan keturunannya” (ayat 27-29).
Yosafat Raja Yehuda
Sementara peristiwa tida menyenangkan berlangsung di rumah Israel, terdapat kedamaian dan kemakmuran di rumah Yehuda. Raja Yosafat Yehuda, bin Asa, merupakan raja yang menurut hukum Tuhan dan berusaha menyingkirkan keberhalaan daripada Yehuda, dan hatinya mengabdi kepada Tuhan. Dia mendirikan kubu-kubu kuat di negeri itu dan melengkapinya dengan banyak pasukan terlatih. Seluruh Yehuda membawa hadiah kepada Yosafat sehingga dia mempunyai kekayaan dan penghormatan besar (2 Tawarikh 17:1-6).
Dia mengutus para pegawai dan imam ke sekeliling semua kota Yehuda untuk mengajar rakyat daripada Kitab Hukum. Rasa takut akan Tuhan turun pada semua negeri di sekeliling Yehuda, jadi mereka tidak berperang dengan Yosafat. Ada orang Filistin membawa ufti perak dan hadiah-hadiah berharga. Orang Arab membawa untuknya kawanan-kawanan ribuan domba dan kambing jantan. Tuhan mengirim ganjaran untuk ketaatan raja Yahudi ini dan rakyat yang mengikuti teladannya (ayat 7-11).
Dengan tentera seramai 1,160,000 perajurit di sekitar Yerusalem, di samping mereka yang menjaga kota-kota, Yosafat menjadi semakin berkuasa (ayat 12-19).
Mikha bernubuat terhadap Ahab
Ketika waktu kesedihan ini untuk Israel dan keadaan baik untuk Yehuda, suatu perkahwinan berlangsung yang tidak mendapat persetujuan Tuhan. Ini kemudiannya berakhir dengan kesusahan untuk kesemua dua belas suku. Cucu Omri (dan anak perempuan Ahab), Atalya, berkahwin dengan Yoram, anak Yosafat (2 Raja-raja 8:16-18, 26; 2 Tawarikh 21:5-6; 1 Raja-raja 16:29-31). Perkahwinan ini diadakan di ibu kota Israel, Samaria.
Beberapa tahun kemudian Yosafat pergi menziarahi Ahab di Samaria. Ahab menyediakan pesta besar untuk dia dan semua yang bersamanya dan mendorong Yosafat untuk menyerang Ramot-Gilead (2 Tawarikh 18:1-2).
Raja Ahab bertanya Yosafat, “Mahukah engkau pergi bersama aku memerangi Ramot-Gilead?”
Yosafat menjawab, “Rakyatmu dan kami orang Yahudi semuanya orang Israel. Jika engkau memerlukan bantuan memerangi musuhmu, kami akan menyertaimu dalam perang itu, tetapi mula-mula sekali mintalah nasihat daripada Tuhan” (1 Raja-raja 22:4-5; 2 Tawarikh 18:3-4).
Ahab memanggil bersama kira-kira empat ratus nabi dan bertanya mereka sama ada dia harus pergi memerangi Ramot-Gilead. Mereka memberitahunya apa yang ingin didengarinya – bahawa dia harus pergi dan bahawa dia akan berjaya (1 Raja-raja 22:6; 2 Tawarikh 18:5).
Tetapi Yosafat bertanya, “Tiadakah nabi Tuhan di sini yang kita boleh tanya?” (1 Raja-raja 22:7; 2 Tawarikh 18:6).
“Masih ada seorang yang dikatakan pengikut kuat Tuhan” Ahab memaklumkan Yosafat. “Tetapi aku membencinya sebab dia hanya menubuatkan hal-hal tidak baik tentang aku. Dia ialah Mikha” (1 Raja-raja 22:8-9; 2 Tawarikh 18:7-8).
“Janganlah raja berkata demikian,” Yosafat menjawab.
Justeru Ahab menjemput Mikha.
Jadi, dengan jubah-jubah kebesaran mereka, dua raja itu duduk atas takhta-takhta mereka di satu kawasan terbuka dekat pintu gerbang utama kota itu dengan nabi-nabi bernubuat di depan mereka.
Semua nabi itu mengulang benda yang sama: “Serang Ramot-Gilead dan menang, sebab Tuhan telah menyerahkannya ke dalam tangan raja.”
Utusan yang telah pergi untuk menjemput Mikha berkata kepadanya, “Semua nabi berbicara baik kepada raja jadi biarlah kata-katamu seperti mereka dan berbicara dengan baik.” Namun Mikha berkata, “Apa yang Tuhan firmankan kepadaku, itulah yang akan kukatakan”.
Apabila nabi Mikha tiba raja berkata kepadanya, “Haruskah kami pergi memerangi Ramot-Gilead, atau kami membatalkannya?”
“Engkau harus pergi!” Mikha mengumumkan. “Tuhan akan menyerahkan kota itu kepadamu!” (1 Raja-raja 22:10-15; 2 Tawarikh 18:9-14).
Raja berkata kepada Mikha, “Berapa kali harus aku membuatmu bersumpah untuk memberitahu aku kebenaran dalam nama Tuhan?”
Mikha menjawab, “Inilah apa yang Tuhan ingin aku katakan kepadamu. Para perajurit Israel akan menang melawan orang Aram, namun mereka akan bercerai-berai seperti domba yang kehilangan gembalanya. Mereka akan menggeluyur pulang ke rumah mereka sebab kehilangan pemimpin mereka” (1 Raja-raja 22:16-17; 2 Tawarikh 18:15-16).
Ahab berkata kepada Yosafat, “Bukankah aku sudah katakan orang ini tidak bernubuat baik tentang aku, hanya yang tidak baik.”
Mikha meneruskan, “Aku mendapat penglihatan daripada Tuhan dalam mana aku melihat Dia duduk atas takhtaNya, dikelilingi oleh para malaikatNya. Tuhan bertanya mereka siapakah yang akan meyakinkan Ahab untuk menyerang Ramot-Gilead, supaya dia kehilangan nyawanya di sana. Akhirnya suatu roh tampil dan menjelaskan bahawa dia akan membuat raja Israel pergi menemui celakanya dengan hanya menyebabkan nabi-nabinya berdusta kepadanya dengan memberitahunya bahawa dia akan mengatasi orang Aram. Tuhan mengizinkan ini, dan mengutusnya pergi. Sekarang engkau tahu kenapa empat ratus nabimu berkata kamu akan menang, sedangkan kamu sebenarnya akan mati jika kamu pergi berperang” (1 Raja-raja 22:18-23; 2 Tawarikh 18:17-22).
Lalu salah seorang daripada kelompok orang itu maju dan menampar muka Mikha. “Bagaimana roh Tuhan pergi daripadaku untuk berbicara kepadamu?” dia bertanya.
Mikha menjawab, “Kamu akan tahu pada hari kamu bersembunyi dalam kamar dalaman.”
Ahab memanggil para pegawalnya, “Bawa orang ini kepada penguasa kota dan beritahu dia bahawa aku ingin dia dimasukkan dalam penjara dan hidup hanya dengan roti dan air sampai aku kembali daripada merebut Ramot-Gilead!”
Mikha mengatakan, “Jika kamu pulang dengan selamat maka Tuhan tidak berbicara melalui aku. Semua orang harus ingat apa yang aku katakan di sini hari ini” (1 Raja-raja 22:24-28; 2 Tawarikh 18:23-27).
Ahab terbunuh di Ramot-Gilead
Jadi dua raja ini maju ke Ramot-Gilead. Dalam satu cubaan untuk membuat dirinya lebih selamat, Ahab memutuskan bahawa dia akan menyertai pertempuran dengan samaran, tetapi dia meminta Yosafat memakai jubah rajanya.
Sementara itu, Benhadad, raja Aram, telah memerintah para panglimanya untuk tidak memerangi sesiapa melainkan raja Israel (1 Raja-raja 22:29-31; 2 Tawarikh 18:28-30).
Apabila mereka melihat Yosafat dalam jubah rajanya, mereka menganggap dia raja Israel dan berpusing untuk menyerangnya. Yosafat berteriak dan Tuhan menolongnya dan menarik mereka pergi. Sebab apabila mereka nampak dia bukan raja Israel mereka berhenti mengejarnya.
Pada waktu ini seorang pemanah Aram menembak dengan sembarangan saja dan mengenai raja Israel di antara sambungan baju zirahnya.
“Bawa aku keluar dari pertempuran sebab aku sudah luka,” Ahab memberitahu pengemudi keretanya (1 Raja-raja 22:32-34; 2 Tawarikh 18:31-33).
Pertempuran bertambah sengit sepanjang hari itu. Menjelang matahari terbenam Ahab telah kehilangan begitu banyak darah sampai dia mati. Para pegawainya takut yang berita kematiannya akan menghilangkan semangat tenteranya. Sebelum beritanya tersebar, mereka mengeluarkan perintah supaya setiap orang pulang serta-merta ke negerinya dan rumahnya.
Nabi Mikha sudah menubuatkan bahawa para perajurit Israel akan kembali ke rumah mereka kerana kehilangan pemimpin mereka. Nubuatan ini dipenuhi tatkala tentera itu berpecah dan pulang ke rumah.
Mayat Ahab dibawa balik ke Samaria dalam kereta di mana dia mati. Setelah mayatnya dikeluarkan, kereta itu dicuci kerana darah yang dihilangi raja Israel. Anjing datang untuk menjilat darah itu, justeru melaksanakan nubuatan yang dibuat Elia bahawa anjing satu hari nanti akan memakan darah Ahab kerana keingkarannya terhadap Tuhan (2 Tawarikh 18:34; 1 Raja-raja 22:35-40; 1 Raja-raja 21:1-19).
Disebabkan persekutuan keji
Apabila Yosafat kembali dengan selamat bersama pasukan tenteranya ke Yerusalem, nabi Yehu datang berjumpanya dan berkata kepada raja, “Haruskah engkau menolong orang jahat dan mengasihi mereka yang membenci Tuhan? Tuhan marah dengan kamu kerana apa yang kamu lakukan. Namun, ada kebaikan dalam dirimu, sebab kamu telah membersihkan negeri ini daripada berhala dan menurut segala hukum Tuhan” (2 Tawarikh 19:1-3).
Raja Yehuda begitu susah hati sekali sehingga minggu-minggu berikutnya dia menziarahi setiap bahagian kerajaannya untuk memeriksa sistem pengadilannya dengan cermat. Dia ingin memastikan bahawa para pegawainya teliti dan adil. Di beberapa tempat dia membuat penggantian. Di tempat lain dia menambah hakim. Dia mengingatkan setiap orang yang berkuasa untuk takut akan Tuhan dan berlaku adil sepenuhnya, supaya Tuhan akan memberi mereka kebijaksanaan lebih besar dalam membuat keputusan.
Apabila Tuhan kembali ke Yerusalem, di mana imam besar dan pengadilan tertinggi negeri itu berfungsi, dia juga membuat beberapa perubahan untuk menjadikannya lebih baik, selain menasihat orang Lewi dan para hakim untuk berlaku berani dalam keputusan mereka. Berlaku adil seringkali memerlukan keberanian.
Yosafat tekun bekerja untuk menjadikan keadaannya betul di Yehuda, berharap bahawa Tuhan akan mengambil kira semua hal ini, dan bahawa kesusahan yang dikatakan Yehu itu tidak akan datang. Malah dia mengingatkan orang Lewi untuk lebih patuh kepada kepala imam mereka, Amarya (2 Tawarikh 19:4-11).
Pemerintahan bijaksana Yosafat
Selepas itu, tentera-tentera raja Moab, Amon dan sepasukan orang Meunim mengumumkan perang atas Yosafat dan rakyat Yehuda.
[Orang Meunim merupakan satu suku Arab yang menetap di sekitar kota Ma’an kira-kira dua belas batu atau 18 kilometer di tenggara Petra di Timur kubu-kubu pergunungan Edom di sempadan Timur Edom. Mereka datang dari arah Gunung Seir tetapi Edom tidak terlibat dalam serangan ini. Mereka ditundukkan sekali lagi oleh Raja Uzia (2 Tawarikh 26:7). Orang Meunim kemudiannya disenarai di kalangan hamba Bait atau Nethinim yang hidup di Yehuda dan mungkin digabungkan melalui penaklukan (Ezra 2:50; Nehemia 7:52). Teks di sini dalam 2 Tawarikh 20:1 berbunyi Meunites (Meunim) dalam RSV menggantikan Ammonites (Amon) yang sepatutnya bagi teks itu dalam 26:7. Istilah ini bererti “suku-suku” dan dengan itu bermaksud suku sebaka, yang disebut berasingan daripada Amon dan Moab di sini. ed].
Apabila berita sampai kepada Yosafat bahawa satu tentera besar sedang maju untuk memeranginya dia sangat takut tetapi memutuskan untuk memohon pertolongan daripada Tuhan.
Dia mengutus utusan ke seluruh Yehuda untuk mengumumkan puasa dan meminta rakyat berdoa untuk perlindungan bangsa itu. Dalam beberapa jam saja orang ramai mula berkumpul di Yerusalem, tidak sabar-sabar berhimpun di situ untuk meminta pertolongan Tuhan. Kumpulan orang ini bukan saja terdiri daripada para pemimpin Yehuda. Ribuan orang ini kebanyakannya terdiri daripada keluarga-keluarga yang ingin datang ke bait. Yosafat menerima peluang ini untuk memimpin kumpulan yang semakin besar itu dalam doa (2 Tawarikh 20:1-4).
“Allah nenek moyang kami, kami datang kepadamu sekarang untuk meminta pertolongan,” Yosafat berseru sementara dia berdiri di pelataran di depan bait itu. “Kami tahu Engkau Pemerintah Tertinggi semesta alam dan Engkau menguasai malah setiap bangsa kafir dunia ini. Engkau memiliki kuasa yang tidak dapat ditahan sesiapapun. Engkau Tuhan kami, yang mengusir penduduk negeri ini dan memberinya kepada keturunan Israel selama-lamanya. UmatMu hidup di sini dan membangunkan bait ini untukMu. Dalam waktu perang, kelaparan, penyakit sampar atau apa saja bencana negara, mereka datang ke bait ini untuk meminta pertolongan kerana mereka tahu HadiratMu ada dalam bait ini. Sekali lagi kali berada dalam bahaya kerana musuh menyerbu negeri kami. Ketika nenek moyang kami datang ke sini, mereka berlalu dengan damai melepasi orang Moab, orang Amon dan penduduk tanah di selatan Laut Asin, walaupun Engkau mampu memberi orang Israel kuasa untuk memusnahkan mereka. Sekarang tentera bangsa-bangsa in sudah dekat untuk menyerang kami. Mereka pasti merencana untuk mengusir kami keluar dari tanah yang Engkau telah berikan kepada Israel. Bilangan musuh itu begitu besar sampai kami takut kalah jika kami bersandar pada kekuatan tentera Yehuda. Kami memandang kepada Tuhan kami untuk perlindungan dan kekuatan. Kasihanilah kami!” (2 Tawarikh 20:5-12; Ulangan 2:4-9, 18-19,37).
Tuhan mendengar
Sementara rakyat berdiri di hadapan Tuhan, Roh Tuhan turun pada salah seorang yang berdiri di situ.
“Dengarlah apa kataku kepadamu, wahai rakyat Yehuda dan Yerusalem dan engkau Raja Yosafat! Tuhan ingin kamu tahu bahawa kita tidak harus takut kerana penyerang itu begitu ramai. Tentera kita tidak perlu memerangi mereka. Tuhan akan mengambil bahagian kita dalam perang. Apa yang diharapkan daripada kita hanyalah supaya kita pergi menemui musuh kita besok dan menyaksikan apa yang akan terjadi kepada mereka!” (2 Tawarikh 20:13-17).
Yosafat rebah berlutut dan menundukkan kepalanya ke tanah. Rakyat mengikut teladan baiknya, terus sujud sementara raja mengucapkan doa kesyukuran. Selepas itu, orang Lewi memuji Tuhan dengan nyanyian dengan suara yang sangat nyaring.
Pagi besoknya tentera Yehuda maju untuk bertemu penyerang itu di satu tempat yang disebut Yahaziel dalam ucapannya. Yosafat mengingatkan rakyat untuk mempercayai Tuhan dan nabiNya. Para perajurit tidak berjalan dahulu. Mereka didahului oleh orang Lewi, yang bernyanyi dan memainkan lagu pujian sementara mereka berjalan.
Sementara itu, hanya beberapa batu jauhnya, Tuhan telah membuatkan tentera-tentera Amon, Moab dan Gunung Seir mula berlawan sesama sendiri, dan mereka membinasa sesama sendiri! (2 Tawarikh 20:18-23).
Tuhan mengganjar Iman
Ketika Yosafat dan tenteranya sampai ke kawasan yang sepatutnya dilalui musuh, mereka melihat pemandangan mengerikan. Beribu-ribu mayat bertaburan di hadapan mereka hampir seraya pandangan mereka. Orang Israel menjadi waras dengan apa yang Tuhan mampu lakukan.
Raja dan rakyatnya kemudian mengumpulkan begitu banyak jarahan sehingga mereka tidak mampu mengangkat semuanya sekaligus. Selama tiga hari orang Yehuda bekerja mengumpulkan dan membawa pergi perlengkapan senjata, pakaian, makanan, batu permata, emas, perak dan benda-benda bernilai yang lain daripada penyerbu itu. Keesokannya, sebelum pulang ke Yerusalem, mereka berkumpul untuk bersyukur kepada Tuhan atas apa yang dilakukanNya untuk mereka (2 Tawarikh 20:20-27).
Berakhirnya pemerintahan Yosafat
Kemudian, meskipun dengan apa yang terjadi kerana persekutuannya dengan Ahab melawan orang Aram, Yosafat bersekutu dengan Ahazia, raja Israel, yang jahat. Mereka membuat kapal-kapal di Ezion-Geber untuk belayar ke Tarsis dan merencana untuk berkongsi apa saja keuntungan yang didapati mereka dalam perdagangan dengan negara-negara lain.
Ketika kapal-kapal ini dibuat, seorang nabi bernama Eliezer datang kepada Yosafat dengan berita tidak menyenangkan. “Tuhan telah mengutus aku untuk memberitahu kamu bahawa, sebab kamu bersekutu dengan seorang yang jahat, usaha ini akan pasti gagal.” Kesudahannya, kapal-kapal itu pecah dan tidak dapat belayar untuk berdagang.
Selepas itu Yosafat berhenti bersama-sama dengan nenek moyangnya dan dikuburkan bersama mereka dalam kota Daud. Yoram anak sulungnya menggantikannya (1 Raja-raja 22:41-50; 2 Tawarikh 20:31-37; 21:1-3).
Ahazia Raja Israel
Sesudah Ahab mati, anaknya Ahazia menjadi raja Israel di Samaria pada tahun ke 17 pemerintahan Yosafat. Dia berbuat jahat di hadapan Tuhan kerana dia mengikut jalan bapanya dan ibunya dan raja-raja lain sebelumnya. Dia menyembah Baal dan dengan itu membangkitkan kemarahan Tuhan sama seperti bapanya (1 Raja-raja 22:51-53).
Kita teruskan kisah-kisah Alkitab ini dalam kertas Elisa Mengganti Elia (No. CB144).