Kita teruskan di sini dari karya Sebuah Kerajaan Terbahagi (No. CB104).
Raja Asa mendirikan kembali mezbah
Roh Tuhan turun pada Azarya (bin Oded) dan dia pergi bertemu Raja Asa tatkala dia pulang dari pertempuran itu.
“Dengarlah kepadaku, Raja Asa, dan seluruh Yehuda dan Benyamin”, Azarya berseru. “Tuhan bersamamu, dan Dia akan terus bersamamu selagi engkau taat kepadaNya. Bila saja engkau mencariNya engkau akan menemui dia. Jika kamu mengingkari dan meninggalkanNya, Dia akan meninggalkan kamu. Tanpa pertolongan dan perlindungan Pencipta, hidup boleh jadi tidak pasti, sengsara malah tidak bernilai.”
“Ingatlah masa lalu Israel. Bila saja bangsa menjauhi Tuhan, kesusahan besar timbul di kalangan bangsa. Tiada yang selamat di rumah atau di jalanan atau ladang; tanaman gagal dan penyakit meningkat. Negara-negara jiran memulakan perang. Malah para imam tidak dapat menolong, sebab ramai mereka sudah lupa Hukum-hukum Tuhan. Bagaimanapun, apabila bangsa bertaubat dan kembali kepada Tuhan, Dia akan sentiasa sedia untuk mengampuni dan menolong mereka. Tuhan telah menyuruh aku untuk mengingatkan kamu untuk menyimpan semua ini dalam ingatan dan untuk terus kuat dengan berlaku setia kepada Tuhan. Jika ya, bangsamu akan makmur dan boleh bersandar pada Tuhan untuk perlindungannya” (2 Tawarikh 15:1-7).
Asa sangat terdorong oleh kata-kata ini hingga sebaik saja dia kembali ke Yerusalem dia memusnahkan semua berhala dalam Yehuda dan Benyamin dan kota-kota yang ditawannya di wilayah pergunungan Efraim. Dia juga mendirikan kembali mezbah Tuhan di depan Bait.
Lalu dia mengumpul semua rakyat Yehuda dan Benyamin dan orang-orang Efraim, Manasye dan Simeon, yang telah menetap di kalangan mereka. Mereka telah bertukar pihak kepadanya dari Israel apabila mereka nampak bahawa Tuhan Allah bersama-sama dengan Asa (2 Tawarikh 15:8-9).
Mereka semua datang ke Yerusalem pada bulan Tiga tahun ke 15 pemerintahan Asa. Asa mengutus pesanan ke seluruh Yehuda dan Israel bahawa hari tersebut akan dirayakan di Yerusalem dengan kebaktian dan upacara khas. Peristiwa untuk pertemuan ini mungkin Perayaan Minggu-minggu atau Pentakosta (lihat Imamat 23:15-21), yang dirayakan pada waktu-waktu ini lewat Mei atau Jun oleh mereka yang taat kepada Hukum Tuhan.
Tujuh ratus lembu sapi dan tujuh ribu domba dikorbankan hari itu daripada jarahan yang mereka dapati dalam perang. Kemudian mereka membuat perjanjian atau kontrak untuk menyembah Tuhan nenek moyang mereka saja dan bersetuju bahawa sesiapa yang berbuat demikian harus mati, sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan. Rakyat menyahut dengan sorakan kuat dan sangkakala dan nafiri. Mereka menyatakan kepada raja bahawa mereka ingin membuat janji umum kepada Tuhan bahawa mereka akan melakukan yang terbaik untuk hidup menurut Hukum-hukum Tuhan, dan mereka menyetujui hukuman mati bagi sesiapa yang gagal menurut.
Rakyat bersungguh-sunguh dalam hal ini dan mereka mencari Tuhan dan Dia ditemui mereka. Jadi Tuhan memberi mereka keamanan pada setiap penjuru (2 Tawarikh 15:10-15).
Malah Raja Asa memecat ibunya, Maakha, daripada kedudukannya sebagai ibu suri, sebab dia telah membuat patung Asyera. Dia merobohkan patung itu dan membakarnya. Walaupun Asa tidak melenyapkan kuil-kuil patung dalam Israel hatinya tulus ikhlas sepenuhnya kepada Tuhan, seumur hidupnya. Dia membawa balik harta benda emas dan perak ke dalam Bait serta barang-barang yang dia dan bapanya telah baktikan. Jadi tiada lagi perang sehingga tahun ketiga puluh lima pemerintahan Raja Asa (2 Tawarikh 15:16-19).
Segala usaha Asa untuk menolong Israel dan Yehuda dengan mendekati Tuhan dan menghapuskan keberhalaan berkesudahan dengan satu tempoh keamanan dan kemakmuran. Waktu itu mungkin lebih lama lagi sekiranya Asa tidak bertindak kurang bijak dalam satu situasi yang terbentuk antara dua negara Israel dan Yehuda, dalam mana raja Yehuda mencari bantuan daripada pihak salah.
Nadab Raja Israel
Yerobeam, bekas raja sepuluh suku Israel telah meninggal tiga belas tahun sebelumnya. Dia diganti anaknya, Nadab, yang menjadi raja pada tahun kedua pemerintahan Asa. Dia berbuat jahat di depan Tuhan dan menurut dosa bapanya, yang menyebabkan orang Israel berdosa. Dia tidak melakukan apa-apa untuk menghapuskan keberhalaan daripada bangsa itu (1 Raja-raja 15:25-26).
Ketika satu pertempuran kecil dengan orang Filistin di kota Gibeton, Nadab terbunuh selepas hanya dua tahun sebagai raja. Bagaimanapun, dia bukan dibunuh oleh orang Filistin. Kematiannya dirancang oleh seorang dari wilayah Isakhar, yang namanya Baesa. Dia membunuh Nadab pada tahun ketiga Raja Asa dari Yehuda dan menggantinya sebagai raja (1 Raja-raja 15:27-28).
Baesa serta merta membunuh semua keturunan Raja Yerobeam, supaya tiada seorangpun keluarga raja yang tinggal. Ini memenuhi nubuatan yang dibuat nabi Ahia kepada Yerobeam (1 Raja-raja 13:33 – 1 Raja-raja 14:16). Keturunannya semua dihapuskan dan seorang lain mengambil alih pimpinan. Berlaku perang antara Asa dan Baesa raja Israel sepanjang pemerintahan mereka (1 Raja-raja 15:28-32).
Baesa Raja Israel
Pada tahun ketiga Asa Raja Yehuda, Baesa, bin Ahia menjadi raja atas seluruh Israel di Tirza, dan dia memerintah 24 tahun. Dia berbuat jahat di depan Tuhan, dan mengikut tingkah laku Yerobeam dan dosanya, yang mengakibatkan Israel melakukan dosa (1 Raja-raja 15:33-34).
Baesa maju berperang melawan Yehuda dan mengukuhkan sebuah kota kecil dipanggil Rama. Tujuannya adalah untuk mencegah sesiapa daripada meninggalkan atau memasuki wilayah Raja Asa (1 Raja-raja 15:17; 2 Tawarikh 16:1).
Bila Asa diberitahu tentang apa yang Israel lakukan itu dia mengambil semua emas dan perak yang masih tinggal dalam perbendaharaan Bait dan istana dan mengirimnya dengan para pegawainya ke Damsyik. Di situ semua ini diserahkan kepada Benhadad, raja Syria, dengan pesan.
“Salam sejahtera dari Asa, raja Yehuda,” bunyi pesan itu. “Marilah kita adakan perjanjian antara engkau dan aku seperti yang ada antara ayahmu dan ayahku. Aku kirim kepadamu hadiah emas dan perak. Sekarang batalkan perjanjianmu dengan Baesa, Raja Israel, supaya dia tidak mengganggu aku.”
Benhadad bersetuju dan dia menyuruh tenteranya menyerang beberapa kota Israel. Asa lega dan senang hati menerima khabar bahawa beberapa kota dalam wilayah Naftali telah ditawan oleh tentera Syria. Apabila Baesa menerima khabar serangan itu dia berhenti membangunkan kota Rama dan kembali ke Tirza (1 Raja-raja 15:18-21; 2 Tawarikh 16:2-5).
Asa kemudian menitahkan bahawa semua orang yang mampu harus pergi ke Rama untuk menolong membongkar dan mengangkut semua batu dan kayu itu. Dia menggunakan bahan-bahan ini untuk memperkuatkan kota-kota Geba dan Mizpa dalam wilayah Benyamin (1 Raja-raja 15:22; 2 Tawarikh 16:6).
Satu pesan mengutuk dari Tuhan disampaikan kepada Raja Baesa oleh seorang nabi bernama Yehu untuk memberitahunya kesudahannya dan keluarganya.
“Aku mengangkat kamu daripada tanah,” utusan itu berkata, “untuk menjadikan kamu raja umatku Israel; tetapi kamu telah hidup jahat seperti Yerobeam. Sebab kamu telah hidup penuh dosa dan memerintah sembarangan, hingga menyebabkan bangsamu berdosa, nasibmu sekejap lagi akan menjadi seperti Yerobeam. Kaum keluargamu yang mati dalam kota akan dimakan oleh anjing, dan mereka yang mati di padang akan dimakan oleh burung.”
Pesan ini dikirim kepada Baesa dan keluarganya kerana dia telah membuat Tuhan murka melalui semua perbuatan jahatnya. Hidupnya berakhir tidak lama selepas kunjungan Yehu. Raja ini dikuburkan di Tirza selepas dua puluh tiga tahun pemerintahan tidak cekap (1 Raja-raja 16:1-7).
Ela Raja Israel
Anak Baesa, Ela, menjadi raja berikutnya, iaitu ketika tahun ke 26 pemerintahan Raja Asa. Dia hidup seperti ayahnya. Hanya dua tahun kemudian, ketika dia mabuk di rumah Arza, dia dibunuh oleh seorang bernama Zimri, yang merupakan panglima atas setengah daripada pasukan kereta raja. Sesudah membunuh raja, Zimri menguasai Tirza dan mengumumkan dirinya sebagai raja baru Israel. Kemudian dia membunuh seluruh keluarga Ela, tanpa melepaskan seorangpun anak lelaki. Jadi nubuatan Yehu kepada Baesa dipenuhi (1 Raja-raja 16:8-14).
Zimri Raja Israel
Pada waktu ini tentera Israel sedang sibuk menyerang kota Filistin, Gibeton. Apabila mereka mendengar bahawa Zimri telah membunuh raja, mereka memutuskan bahawa panglima tentera, Omri, patut menjadi pemimpin sepuluh suku yang berikutnya. Jadi Omri memimpin tentera Gibeton ke Tirza untuk mengepungnya pula.
Apabila Zimri melihat bahawa kota telah direbut, dia masuk ke dalam puri istana raja dan membakar istana itu di sekelilingnya dan dia mati dalam kebakaran itu. Dia juga telah berdosa seperti Yerobeam; dia menyembah berhala dan telah mengakibatkan orang Israel berdosa bersamanya (1 Raja-raja 16:15-20).
Omri Raja Israel
Dalam bulan-bulan seterusnya, orang Israel terbahagi kepada dua pihak berkenaan siapakah yang harus menjadi raja mereka yang berikut. Setengah menyukai Omri, dan setengah lagi menyokong seorang bernama Tibni. Tetapi Tibni mati, dan Omri menjadi raja (1 Raja-raja 16:21-23). Alkitab tidak menjelaskan sama ada Tibni mati hasil daripada perebutan takhta itu atau daripada sebab-sebab semulajadi.
Jadi Omri menjadi raja Israel pada tahun ke 31 Asa, raja Yehuda. Dia membeli bukit Samaria dan mendirikan sebuah kota di situ dan menamakannya Samaria sempena pemiliknya dahulu yang namanya Semer.
Mungkin Omri digunakan oleh Tuhan untuk memulakan Samaria, walaupun raja itu tidak berniat untuk melaksanakan kehendak Tuhan. Seperti pemimpin lain sebelumnya, dia menyembah berhala dan mendorong rakyatnya berbuat sama. Dia mati dua belas tahun selepas kematian Zimri (1 Raja-raja 16:23-28).
Ahab Raja Israel yang berikut
Ahab, bin Omri, menjadi raja berikut kepada sepuluh suku Israel. Malangnya bagi rakyat, pimpinannya tidak lebih baik daripada raja-raja sebelum dia. Malah, dia melakukan lebih banyak kejahatan di depan Tuhan daripada semua sebelumnya. Dia bukan saja melakukan dosa-dosa Yerobeam, tetapi dia juga mengahwini seorang perempuan Kanaan bernama Izebel. Dia anak perempuan Etbaal, raja negara Sidon di tepi pantai berdekatan. Lama kelamaan, Ahab mula beribadah kepada dan menyembah dewa pagan Baal (1 Raja-raja 16:29-31).
Tahun-tahun terakhir Raja Asa
Beberapa tahun sebelum zaman Ahab sebagai raja Israel, Raja Asa Yehuda telah mengupah Raja Benhadad dari Damsyik untuk menolongnya melawan Raja Baesa dari Israel (2 Tawarikh 16:1-6).
Kira-kira pada waktu ini seorang nabi bernama Hanani datang kepada Raja Asa dan berkata kepadanya, “Sebab kamu bergantung pada raja Syria, dan tidak bergantung pada Tuhan Allahmu, tentera Raja Syria telah terlepas daripada tanganmu”. “Ingat apa terjadi kepada orang Kush dan orang Libia serta tentera mereka yang amat ramai dengan semua kereta dan orang berkuda mereka? Engkau bersandar pada Tuhan dan Dia menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Tuhan sentiasa sudi dan mampu menolong mereka yang mentaati Dia. Engkau telah melakukan perkara bodoh, dan sebab itu mulai sekarang engkau akan terus mengalami peperangan.”
Asa begitu marah sekali pada Hanani kerana apa yang dikatakannya, jadi dia memasukkannya ke dalam penjara. Pada waktu itu, dia menindas semua rakyat, dalam mana dia tidak sentiasa berlaku adil terhadap mereka. Dalam tahun-tahun terakhirnya dia menderita sakit teruk di kaki tetapi dia tidak berdoa kepada Tuhan meminta kelegaan dan penyembuhan penyakitnya. Sebaliknya, dia meletakkan kepercayaan penuhnya pada para tabib.
Asa mati setelah memerintah Yehuda selama empat puluh satu tahun, dan dikuburkan dengan penghormatan besar di Yerusalem selepas acara penguburan yang sangat istimewa (2 Tawarikh 16:7-14).
Kerosakan akhlak sepenuhnya di Israel
Ahab seterusnya mendirikan sebuah kuil dan mezbah untuk Baal di Samaria. Kemudian dia membuat patung-patung lain dan semua ini lebih banyak menimbulkan murka Tuhan Israel daripada mana-mana raja lain Israel. Samaria telah menjadi ibu kota keberhalaan di Israel (1 Raja-raja 16:29-33).
Kebencian Izebel terhadap mereka yang mengikut Tuhan begitu kuat sekali sehingga dia mengutus para perajurit untuk membunuh orang-orang yang diketahui nabi-nabi sebenar. Ahab tidak membantahpun pembunuhan besar-besaran ini. Anehnya, kepala istananya, Obaja, entah bagaimana dapat terus setia kepada Tuhan meskipun sekitarannya begitu.
Mungkin sekali dia ditakdirkan berada di kedudukan tingginya supaya dia dapat menolong orang lain yang melayani Tuhan. Umpamanya, dia berjaya menyelamatkan nyawa seratus orang nabi dengan menyembunyikan mereka di dalam gua-gua di pergunungan berdekatan dan mengirim mereka makanan dan minuman untuk hidup (1 Raja-raja 18:3-4).
Elia
Satu hari seorang nabi bernama Elia tiba untuk berbicara kepada raja. Elia orang Tisbe dari Gilead. Dia diutus untuk menentang ibadat Baal dan mereka yang ikut serta dalamnya.
“Aku datang untuk mengingatkan kamu bahawa disebabkan keberdosaan rakyat negara ini, tidak akan ada embun atau hujan dalam beberapa tahun berikutnya kecuali kalau aku katakan” (1 Raja-raja 17:1)
Kemudian firman Tuhan datang kepada Elia dan dia disuruh pergi ke timur dan bersembunyi dekat sebuah sungai yang mengalir ke dalam Sungai Yordan. Dia diberitahu bahawa dia harus minum dari sungai itu dan makan apa yang dibawa burung-burung gagak kepadanya (ayat 2-4). Tuhan menghantar nabiNya pergi supaya bangsa itu ketiadaan firmanNya dan berkat-berkatNya.
Jadi Elia melakukan seperti yang diperintahkan Tuhan dan berkhemah di tepi sungai itu. Burung-burung gagak membawanya roti dan daging setiap pagi dan petang dan dia minum dari sungai itu (ayat 5-6). Demikianlah kita nampak bahawa Elia dengan ajaibnya diberi makan oleh Tuhan sama seperti Israel di padang gurun pada zaman Musa. Sementara itu, Israel dalam Tanah Perjanjian sedang kelaparan.
Selepas beberapa waktu sungai itu kering kerana tiada hujan turun di mana-mana di negeri itu. Lalu Tuhan menyuruh nabi itu pergi ke kota Sarfat, dekat kota Sidon. Di situ dia harus menemui seorang janda yang akan memberinya makanan.
Tatkala dia tiba di pintu gerbang Sarfat, dia melihat seorang janda sedang mengumpulkan kayu api dan dia memintanya sedikit air dalam kendi. Ketika perempuan itu pergi untuk mendapatkannya Elia meminta juga sepotong roti (ayat 7-11).
Janda Bangsa Asing
“Tuan, aku tidak mempunyai roti,” dia memberitahunya. “Aku hanya ada segenggam tepung dan sedikit minyak dalam buli-buli. Ketika engkau mula-mula berbicara kepadaku, aku sedang mencari kayu api untuk membuat api dan mengolah minyak dan tepung itu menjadi roti. Itulah makanan terakhir untukku dan anakku. Kemudian kami akan kelaparan sampai mati.”
“Kamu dan anakmu tidak akan kelaparan,” Elia berkata. “Pergilah dan masaklah makanan terakhir itu tetapi buatlah roti bundar kecil untuk aku terlebih dahulu. Selepas itu akan ada cukup makanan untukmu dan anakmu. Tuhan Israel telah mengatakan kepadaku bahawa tepung dan minyak itu tidak akan berkurangan sampai Tuhan memberi hujan dan tanaman tumbuh kembali.”
Lalu dia melakukan seperti yang Elia katakan, dan dia dan Elia dan anaknya terus memakan daripada bekalan tepung dan minyaknya itu selama ia diperlukan.
Kata-kata nabi itu terbukti benar sewaktu bulan-bulan berikutnya. Tidak kira berapa banyak minyak atau tepung yang digunakan janda itu, sentiasa banyak yang tinggal dalam bekas-bekasnya, sama seperti yang Tuhan telah janjikan (ayat 12-16).
Pada waktu itu, anak muda janda itu jatuh sakit dengan teruk dan dia mati, dan menjadikan ibunya sangat dukacita sekali. Menambah kepada kesengsaraannya, dia berasa sakit hati kerana dia merasakan Elia ada kena mengena dengan kematian anaknya.
”Ya abdi Tuhan,” dia menangis, “adakah engkau datang untuk menemukan dosa-dosaku yang lalu dan memberitahu Tuhan tentangnya agar Dia menghukum aku dengan mengambil anakku?”
“Berikanlah anak itu kepadaku,” Elia berkata kepadanya. Dia mengambil mayat anak itu dari ibunya dan membawanya naik ke kamarnya di atas , di mana dia telah tinggal sejak datang ke Sarfat. Di situ dia meletakkan anak itu di tempat tidurnya, kemudian dia berseru kepada Tuhan.
“Ya Tuhan Allahku, kenapa engkau membunuh anak janda ini dengan siapa aku menumpang?” (ayat 17-21).
Elia mengunjurkan dirinya di atas anak itu tiga kali, dan berseru kepada Tuhan. “Ya Tuhan Allahku, tolong izinkan nyawa anak ini kembali kepadanya.”
Tuhan memberi kehidupan
Selepas beberapa waktu anak itu mula bernafas dan bergerak. Tuhan telah menjawab doa nabi itu dan mengembalikan nyawa ke dalam anak itu! Lalu Elia membawa anak itu turun ke bawah kepada ibunya yang sedang menangis.
“Anakmu hidup lagi, syukur kepada belas kasihan Tuhan yang berlimpahan,” Elia berkata kepada janda itu.
Dia memberitahu Elia bahawa keajaiban itu membuktikan kepadanya bahawa dia orang yang diutus Tuhan untuk tujuan baik, dan apa saja yang diucapnya datang daripada Tuhan (ayat 22-24).
Elia dan Obaja
Elia terus bersembunyi dalam rumah perempuan itu. Bagaimanapun, pada tahun ketiga, Tuhan memerintahnya untuk pergi kepada Raja Ahab, dan Dia akan menurunkan hujan atas negeri itu.
Sampai waktu ini keadaan telah menjadi sangat teruk sekali di seluruh negeri itu (1 Raja-raja 18:1-2).
Dalam salah satu daripada banyak cubaan untuk mencari rumput untuk menyelamatkan kuda, bagal dan keldainya, Ahab membuat pencarian dua kumpulan untuk mencari mata air di sekeliling Samaria. Dia mengepalai satu kumpulan untuk meliputi satu kawasan tertentu. Obaja, kepala istananya, mengepalai satu lagi kumpulan untuk mencari di kawasan lain (ayat 3-6).
Ketika Obaja sedang berjalan Elia bertemu dengannya. Obaja sujud di hadapan nabi itu, sebab dia amat menghormatinya sebagai pengikut Tuhan.
“Engkaukah itu, Elia?” Obaja bertanya.
“Aku Elia,” jawab nabi itu. “Pergilah beritahu tuanmu bahawa aku ada di sini.”
Obaja kemudian berkata, “Jika aku memberitahu Ahab yang engkau di sini, aku mungkin mati. Dia telah menjelajahi Israel dan negara-negara lain untuk mencarimu selama tiga tahun, untuk menyuruh kamu meminta Tuhan menurunkan hujan. Walaupun dia memerlukan kamu, dia mungkin bersuasana hati ingin membunuh kamu kerana kamu terus bersembunyi daripadanya. Tetapi Tuhan akan membawa kamu pergi dari sini sebelum kau dapat disakiti. Jika aku berkata kamu di sini dan Ahab mendapati kamu tiada, dia akan mengambil nyawaku. Mungkin engkau ada mendengar bagaimana isteri Ahab menyebabkan kematian ramai nabi Tuhan, yang ada antaranya dapat aku selamatkan. Jika dia marah, Ahab tidak akan ragu-ragu mengikuti teladan isterinya”.
Namun Elia berkata, “Aku bersumpah demi Tuhan Allah seluruh tentera syurgawi, yang aku layani, bahawa aku akan memperlihatkan diriku kepada raja hari ini” (ayat 7-15).
Elia di atas Gunung Karmel
Obaja kemudian pergi untuk memberitahu Ahab bahawa Elia telah datang, dan Ahab pergi untuk bertemunya.
“Engkau rupanya!” raja berkata tatkala dia melihat Elia. “Kamu telah memberi banyak kesusahan kepada Israel dalam tiga tahun ini!” (ayat 16-17).
“Kamu menuduh aku menyusahkan Israel?” Elia bertanya. “Kamu tahu aku tidak melakukan apa-apa untuk menyakiti bangsa ini. Tetapi kamu ada, dan begitu juga raja-raja dalam keluargamu sebelum kamu. Kamu telah mengakibatkan kecelakaan tidak terhingga kepada Israel dengan meninggalkan Tuhan dan berpaling kepada patung dan ilah pagan. Sekarang bawalah seluruh umat Israel ke Gunung Karmel, dengan semua 450 nabi Baal dan 400 nabi Asyera yang disokong oleh Izebel”.
Jadi Ahab memanggil seluruh rakyat dan nabi-nabi itu ke Gunung Karmel (ayat 17-20).
Kemudian Elia berkata kepada mereka, “Berapa lama lagikah kamu perlu membuat keputusan tentang siapa yang harus kamu ikuti? Jika kamu memilih Tuhan, ikutilah Dia sepenuhnya dan lupakan tentang Baal dan berhala lain. Jika kamu memilih Baal, setialah kepadanya dan jangan cuba campurkan mana-mana Hukum Tuhan ke dalam agama pagan itu. Kebanyakan kamu nampaknya cuba menyembah kedua-dua Tuhan dan Baal.”
Lalu Elia berkata lagi, “Di kalangan beribu-ribu orang yang berkumpul di sini, aku satu-satunya nabi Tuhan yang tinggal. Aku jauh dilebihi oleh empat ratus dan lima puluh nabi Baal” (ayat 21-22).
“Sekarang bawakan dua lembu jantan muda. Nabi-nabi Baal boleh memilih mana-mana satu yang mereka ingini dan memotong-motongnya dan meletakkannya atas kayu mezbah mereka, tetapi jangan letakkan apa-apa api di bawah kayu itu. Aku akan mengolah lembu muda yang satu lagi dan meletakkannya atas kayu mezbah Tuhan, tanpa api di bawahnya. Kemudian berdoalah kepada tuhanmu dan aku akan berdoa kepada Tuhanku, dan tuhan yang menjawab dengan menurunkan api untuk menyalakan kayu itu ialah Tuhan Sebenar.”
Seluruh rakyat bersetuju kepada ujian ini (ayat 23-24).
Kemudian Elia berpaling kepada nabi-nabi Baal dan menyuruh mereka memilih dulu salah satu lembu itu dan mengolahnya dan memanggil tuhan mereka. Sekali lagi dia meminta mereka jangan meletakkan apa-apa api di bawah kayu itu.
Jadi mereka mengolah lembu itu, meletakkannya atas mezbah dan memanggil Baal sepanjang pagi, tetapi tiada jawapan. Kemudian mereka menari-nari di sekeliling mezbah mereka sambil bernyanyi dan memekik.
Lama kelamaan Elia mula mengejek mereka. “Kamu harus memanggil lebih kuat daripada itu untuk menarik perhatian tuhanmu. Mungkin dia dalam perjalanan atau tidur.”
Jadi mereka berteriak lebih kuat, dan seperti kebiasaan mereka, melukai diri mereka dengan pisau dan pedang sehingga darah mereka bercucuran. Masih tiada apa-apa terjadi. Mereka meracau sepanjang petang sampai waktu untuk korban petang; tetapi masih tiada jawapan daripada Baal (ayat 25-29).
Kemudian Elia memanggil rakyat itu mendekati dan mereka memerhati sementara dia memperbaiki mezbah Tuhan yang telah dirobohkan.
Dia mengambil dua belas batu untuk mewakili dua belas suku Israel, dan menggunakan batu-batu itu untuk mendirikan kembali mezbah Tuhan. Selepas itu dia menggali parit di sekeliling mezbah itu dan menyusun kayu di atas mezbah itu. Dia kemudian memotong-motong lembu itu dan meletakkannya di atas kayu. Orang ramai diminta memenuhkan empat buyung besar dengan air dan menuangkannya ke atas korban dan kayu itu.
Sesudah mereka melakukan ini dia menyuruh mereka mengulanginya, dan mereka lakukan. Lalu dia meminta mereka melakukannya untuk kali ketiga, dan mereka lakukan. Air itu mengalir dari mezbah dan memenuhi parit itu (ayat 30-35).
Pada waktu korban Elia melangkah ke depan dan berdoa, “Ya Tuhan Abraham, Ishak dan Israel, biarlah diketahui hari ini, melalui kuasamu yang besar, bahawa Engkaulah satu-satunya Allah sebenar dalam Israel. Biarlah semua di sini tahu bahawa aku hambamu, dan melalui aku Engkau telah melaksanakan segalanya di sini di Gunung Karmel. Dengarlah dan jawaplah doa ini, Ya Tuhan, agar semua di sini akan yakin bahawa tiada Tuhan seperti engkau. Biarlah mereka sedar betapa bodohnya memandang orang atau benda lain selain engkau untuk kehidupan dan kesejahteraan mereka!”
Elia tidak berkata apa-apa lagi. Dia tidak menjerit, menari, melompat, berguling di tanah atau melukai dirinya. Sebaliknya, dia melangkah ke belakang dari mezbah itu dan api Tuhan turun dan membakar korban, kayu, batu-batu dan tanah itu, dan juga menjilat habis air dalam parit itu (ayat 36-38).
Penalti keberhalaan
Apabila rakyat melihat ini mereka sujud ke tanah, serta menjerit bahawa Tuhanlah satu-satunya Tuhan, dan bahawa mereka telah berdosa sebab berhubungan dengan berhala.
Kemudian Elia memerintah mereka, “Tangkaplah nabi-nabi Baal itu. Jangan biar sesiapapun terlepas!”
Mereka menangkap nabi-nabi itu dan Elia membawa mereka turun ke Lembah Kison dan menyembelih mereka di sana (ayat 39-40).
Lalu Elia berkata kepada Ahab, “Pergilah dan makanlah dan minumlah sebab bunyi hujan kuat sudah kedengaran.” Itulah yang dilakukan Ahab. Elia mendaki ke puncak Gunung Karmel, membongkok ke tanah dan meletakkan mukanya di antara lutut-lututnya. Sekarang selepas bangsa itu mengaku dosa mereka dan menyambut Tuhan sebenar, Elia berdoa kepada Tuhan untuk menghentikan kutukan perjanjian itu dan menurunkan hujan.
Sekejap kemudian dia meminta pembantunya pergi dan memandang ke arah laut. Dia kembali melaporkan bahawa tiada apa-apa di sana.
Kemarau berakhir
Tujuh kali Elia berkata, “Pergilah lihat lagi”. Kali ketujuh hamba itu melaporkan adanya awan kecil timbul dari laut.
Bilangan tujuh menunjukkan kesempurnaan rohaniah. Di sini ia mungkin mewakili waktu kembalinya kepada Tuhan dalam perhentian dan kembalinya kepada HukumNya.
“Pergilah kepada Raja Ahab dan katakan kepadanya bahawa hujan akan turun tidak lama lagi,” Elia menyuruh pembantunya. “Katakan kepadanya lebih baik dia menyeberangi dataran ini sekarang dalam keretanya sebelum hujan itu menghalangnya” (ayat 41-44).
Awan itu naik dan berkembang dan Elia tahu Tuhan hampir sudah menjawab permintaannya. Langit menjadi hitam dengan awan, angin timbul dan hujan lebat turun dan Ahab naik kereta ke Yizreel.
Kuasa Tuhan turun pada Elia dan, dengan menyelitkan jubahnya ke dalam tali pinggangnya, dia berlari mendahului Ahab sepanjang jalan ke Yizreel (ayat 45-46).
Elia lari
Selepas itu Ahab memberitahu isterinya segala yang Elia telah lakukan. Lalu Izebel mengutus utusan kepada Elia memberitahunya bahawa dia bermaksud membunuhnya dan bahawa dia berharap tuhan-tuhannya akan membunuhnya jika dia gagal (1 Raja-raja 19:1-2).
Elia begitu takut sekali sehingga dia lari menyelamatkan nyawanya, berharap keluar dari negara Israel dan sampai tempat selamat di negara Yehuda. Hambanya, orang yang melaporkan dia melihat awan kecil dari Gunung Karmel, telah datang bersamanya ke Yizreel, dan ingin tinggal bersamanya pada waktu yang amat bahaya ini. Apabila mereka sampai di Bersyeba, Elia meninggalkan hambanya di sana. Dia sampai ke satu pohon arar dan duduk di bawahnya dan berdoa agar dia mati di situ (ayat 3-4).
“Cukuplah itu Tuhan,” dia berkata, “Biarlah aku mati!”
Nabi itu begitu penat sekali sampai tertidur. Tidak lama kemudian seorang malaikat menyentuhnya dan menyuruhnya bangun dan makan.
Dia melihat sekeliling dan terkejut melihat sepotong roti yang dibakar atas bara panas, dan sekendi air. Jadi dia makan dan minum dan berbaring kembali.
Sekali lagi, malaikat itu menyentuhnya. Ini kali kedua dia diberitahu yang dia harus makan dengan banyak kerana dia akan memerlukan kekuatan untuk perjalanan jauh yang ingin dia dijalaninya (ayat 5-7). Jadi dia bangun lalu makan dan minum.
Selepas itu nabi ini terus berjalan empat puluh hari dan empat puluh malam sehingga dia sampai ke Horeb. Di situ dia menjumpai sebuah gua di mana dia bermalam. Ketika berehat di situ, Elia jelas mendengar suara bertanya:
“Kenapa engkau datang ke sini, Elia?” (ayat 8-9).
Elia menjawab, “Aku telah memerhati dengan sedihnya bagaimana orang Israel melanggar perjanjianmu yang dibuat di sini di Gunung Sinai. Mereka telah meninggalkan mezbah-mezbah Tuhan untuk mezbah-mezbah tuhan asing. Mereka telah membunuh nabi-nabi benar. Setahu aku, akulah satu-satunya yang tinggal, dan aku tidak akan hidup lama lagi jika musuhku menemui aku. Aku cemas dengan semua peristiwa ini. Aku telah bekerja bersungguh-sungguh untuk Tuhan, tetapi sekarang aku ragu-ragu sama ada aku pernah melakukan apa-apa yang berguna” (ayat 10).
“Keluarlah dan berdiri di depanku di atas gunung ini,” Tuhan berfirman kepadanya. Sementara Elia berdiri di situ Tuhan melaluinya dan angin besar dan kuat memukul gunung itu. Berlaku letusan yang begitu kuat sampai bukit-bukit batu pecah, tetapi Tuhan tidak ada dalam angin itu. Selepas itu datanglah gempa bumi, kemudian api, tetapi Tuhan tidak ada dalam api itu. Sesudah api itu Elia mendengar bunyi angin sepoi-sepoi basa (bisikan) dan dia menyelubungi mukanya dengan jubahnya lalu keluar dan berdiri di pintu gua itu.
Tuhan tidak ada dalam angin kuat itu atau gempa bumi, ataupun dalam api. Dia ada dalam bisikan itu. Suara itu telah bekerja dengan Israel dan bangsa-bangsa selama beribu-ribu tahun.
Kemudian satu suara berkata, “Engkau buat apa di sini, Elia?” (ayat 11-13).
Dia menjawab sekali lagi, “Aku telah bekerja keras untuk Tuhan Allah, tetapi orang Israel telah menolak perjanjianmu, meruntuhkan mezbah-mezbahmu, dan membunuh semua nabimu kecuali aku. Sekarang mereka ingin membunuh aku juga.”
Lalu Tuhan berfirman, “Pergilah kembali mengikut jalan padang gurun ke Damsyik, dan apabila engkau tiba, urapilah Hazael sebagai raja atas Aram. Kemudian urapi Yehu bin Nimsi menjadi raja Israel, dan urapi Elisa bin Safat dari Abel-Mehola untuk menggantimu sebagai nabiku. Sesiap yang terlepas daripada Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan mereka yang terlepas daripada Yehu akan dibunuh oleh Elisa! Aku meninggalkan 7,000 orang di Israel yang tidak pernah sujud kepada Baal atau menciumnya!” (ayat 14-18).
Kita lihat di sini bahawa untuk tujuanNya Tuhan telah menyediakan 7000 orang yang tidak menyembah Baal sedangkan Elia berfikir dia satu-satunya yang tinggal.
Elisa mengikut Elia
Demikianlah Elia pergi dan menemui Elisa yang sedang membajak ladang dengan sebelas pasang lembu di depannya. Dia berada di akhir barisan dengan pasang lembu terakhir. Elia pergi kepadanya dan melemparkan jubahnya kepadanya dan berjalan pergi lagi.
Apabila seorang nabi melemparkan jubah (mantel) kepada seorang lain, ini bermakna bahawa orang itu telah dipilih untuk menjadi seorang nabi.
Lalu Elisa meninggalkan lembunya dan berlari mengikuti Elia.
“Jika Tuhan boleh menggunakan aku, aku sudi pergi bersamamu jam ini juga,” Elisa memberitahu Elia. “Tetapi izinkan aku mengucap selamat tinggal kepada ayah dan ibuku dahulu.”
Elia berkata, “Pulanglah! Kenapa begitu gempar?”
Jadi Elisa pulang dan mengambil pasangan lembunya dan menyembelihnya dan menggunakan kayu daripada bajak itu untuk membuat api dan memasak daging lembu itu. Dia memberi daging itu kepada orang-orangnya dan mereka makan. Kemudian dia bersiap untuk mengikut Elia dan menjadi pembantunya (1 Raja-raja 19:19-21).
Kita teruskan kisah ini dalam karya Israel Berperang Melawan Syria (No. CB143).