Kita teruskan di sini dari karya Raja Salomo (No. CB103).
Sebuah Kerajaan Terbahagi
Rehabeam, anak Salomo, telah datang ke depan pertemuan umum untuk diumumkan sebagai raja secara rasmin (1 Raja-raja 12:1; 2 Tawarikh 10:1), walaupun dia sebenarnya telah menjadi raja baru Israel dari waktu kematian bapanya (1 Raja-raja 11:43).
Sikap Rehabeam ialah sikap orang muda yang sudah biasa hidup dalam kekayaan. Dia mempunyai sedikit saja minat dalam kebajikan bangsanya.
Konflik dengan rakyatnya bermula pada hari pertabalannya. Yerobeam, yang Tuhan telah janjikan kepimpinan sepuluh suku Israel, memimpin seluruh perkumpulan Israel dan pergi bertemu raja baru itu (1 Raja-raja 12:2-3).
Yerobeam berkata kepada Rehabeam: “Bertahun-tahun bapamu telah menyusahkan kami dengan cukai berat. Kebelakangan ini dia telah memaksa ramai orang menjadi buruh kasar dalam pelbagai projek. Kami tidak lagi dapat bertahan di bawah keadaan-keadaan ini. Sekarang kami meminta engkau menolong kami dengan menurunkan cukai kami dan menghentikan pengerahan orang ramai ke dalam kerja paksa.”
Rehabeam berkata, “Kembalilah ke sini selepas tiga hari. Sementara itu, aku akan berunding dengan para penasihatku. Keputusan akan dibuat menjelang waktu kita bertemu kembali” (1 Raja-raja 12:4-5; 2 Tawarikh 10:2-5).
Lalu Yerobeam dan orang-orangnya pergi.
Seperti dijanjikannya, Rehabeam bertemu mereka yang boleh menasihatinya. Mula-mula dia bertanya pendapat golongan lebih tua yang pernah menasihati Salomo. Mereka memberitahunya bahawa dia bijak jika mempertimbang untuk melakukan apa yang diminta rakyat, dan bahawa dia akan dihormati sebagai raja baik dan adil jika dia menolong mereka menyelesaikan kesusahan mereka.
Selepas itu, Rehabeam juga berunding dengan golongan muda yang lebih cenderung kepada cara berfikirnya.
“Kenapa cemas tentang apa yang rakyat inginkan?” mereka bertanya raja. “Cukai dan kerja paksa tidak terlalu menyakiti mereka. Kalau engkau mengurangkan apa yang rakyatmu patut beri, pendapatanmu akan berkurang. Kenapa biar rakyat mendorongmu melakukan sesuatu yang akan engkau sesali? Berkeraslah dengan mereka. Tunjukkan kepada mereka siapa yang merajai negara ini!” (1 Raja-raja 12:6-11; 2 Tawarikh 10:6-11).
Keputusan bodoh Rehabeam
Tiga hari kemudian Yerobeam dan semua orang kembali kepada raja untuk jawapannya. Menolak nasihat yang diberi kepadanya oleh para tua-tua, Rehabeam mengikut nasihat golongan muda itu.
Dia bertitah kepada rakyat, “Bapaku membuat bebanmu berat; aku akan menjadikannya lebih berat lagi. Bapaku menghukummu dengan cambuk; aku akan menghukummu dengan cambuk berduri besi”.
Jadi raja tidak mendengar permintaan rakyat. Bagaimanapun, kejadian ini adalah untuk memenuhi apa yang Tuhan telah beritahu Yerobeam melalui Ahia. Jadi ini ialah perbuatan Tuhan (1 Raja-raja 12:12-15; 2 Tawarikh 10:12-15).
Rakyat menjadi marah dan pulang. Yerobeam tidak begitu kecewa sebagaimana mungkin dia kelihatan. Dia tahu rakyat hampir-hampir memberontak terhadap raja. Ini peluangnya untuk mengobarkan lagi mereka, dan dia cepat melakukannya.
Kesudahannya, setiap suku Israel kecuali Yehuda dan Benyamin (suku kecil yang wilayahnya bersempadan dengan Yehuda) memberontak terhadap Rehabeam. Ketika wakil-wakil sepuluh suku itu sedang pulang dengan kecewanya ke rumah mereka, Rehabeam mengutus ketua pemungut cukai untuk berbicara dengan mereka.
Sebab yakin bahawa rakyat akan tunduk dengan pasif kepada apa saja beban tambahan yang dia kenakan pada mereka, Rehabeam kemudian mengutus Adoram, kepala rodi (buruh paksa); namun seluruh Israel melontari dia dengan batu sampai mati.
Adoram pernah bertugas di bawah kedua-dua Daud dan Salomo (2 Samuel 20:24; 1 Raja-raja 4:6; 5:14).
Raja yang ketakutan itu tidak membuang masa memanggil penasihat untuk menyuruhnya pergi. Dia masuk terus ke dalam keretanya dan lari ke Yerusalem, di mana dia tahu dia akan selamat di kalangan orang-orang sukunya sendiri (1 Raja-raja 12:16-19; 2 Tawarikh 10:16-19).
Sementara Rehabeam mengukuhkan kedudukannya dalam istana raja, para pemimpin sepuluh suku pemberontak itu bertemu untuk membentuk sebuah negara yang berasingan daripada Yehuda dan Benyamin. Mereka mula dengan mengumumkan Yerobeam raja. Pimpinannya meyakinkan mereka bahawa dia paling cocok untuk merajai mereka. Demikianlah seperti direncanakan Tuhan, agar sebahagian besar Israel diambil daripada pemerintahan keluarga Salomo. Kalau tidak Yerobeam tentu tidak dibenarkan menjadi raja, sebab dia bukan keturunan raja (1 Raja-raja 12:20).
Keberhalaan Yerobeam
Khabar tentang apa yang sedang berlaku cepat sampai kepada Rehabeam. Dia mula sedar bahawa keadaan jauh lebih serius daripada yang disangkanya. Dia memberi perintah supaya semua perajurit Yehuda dan Benyamin berkumpul untuk berperang menentang suku-suku penderhaka itu dan dengan itu mendapat kembali kerajaan itu untuk Rehabeam.
Satu ratus lapan puluh ribu perajurit menjawab panggilan Rehabeam. Baru saja raja hendak menghantar mereka berperang, seorang nabi bernama Semaya tiba untuk memberitahunya dan orang Yehuda serta Benyamin bahawa Tuhan tidak ingin mereka berperang melawan saudara-saudara mereka daripada suku-suku lain. Dia menyuruh mereka pulang sebab ini ialah perbuatan Tuhan. Jadi mereka menurut firman Tuhan dan pulang ke rumah. Justeru Tuhan mencegah perang saudara yang tidak diinginiNya (1 Raja-raja 12:21-24; 2 Tawarikh 11:1-4).
Segala ini diizinkan berlaku untuk mengenakan hukuman atas keluarga Daud disebabkan keberhalaan Salomo (1 Raja-raja 11:9-13).
Salah satu perkara yang mula-mula dilakukan Yerobeam sebagai raja ialah membangun kembali dan mengukuhkan kota Sikhem di pergunungan, yang didudukinya bersama sekumpulan kecil tentera selepas Rehabeam melarikan diri. Sikhem kebanyakannya dalam keadaan runtuh sejak dihancurkan oleh Abimelekh hampir dua ratus tahun sebelumnya. Kini Yerobeam merancang untuk menjadikannya pusat kerajaannya. Dia juga membangun kembali dan mengukuhkan kota Pnuel, terletak di timur Yordan dekat Sungai Yabok. Ia terletak atas laluan ke kota-kota asing, termasuk Damsyik di sebelah timur laut. Dipertahankan oleh para perajurit Yerobeam, kota ini merupakan petempatan penting untuk memeriksa lalu lintas kafilah yang bergerak ke dan dari Yerusalem (1 Raja-raja 12:25).
Dalam usahanya untuk memperkuatkan dirinya sebagai seorang raja, Yerobeam merasakan dia harus membuat rencana licik. Dia berfikir bahawa jika ramai rakyatnya merasa wajib untuk pergi ke Yerusalem untuk merayakan Sabat dan Hari Raya tahunan Tuhan, mereka mungkin menyesali pemberontakan mereka dan merasakan bahawa Yerobeam telah membuat mereka menyimpang.
“Mereka tentu akan menghapuskan aku jika mereka mula berfikiran begitu,” Yerobeam berfikir. “Sesuatu harus dilakukan untuk menjauhkan mereka dari Yerusalem.”
Daripada menunjukan ketaatan dan meminta bantuan Tuhan dalam jabatannya sebagai raja, Yerobeam memilih untuk pergi ke arah bertentangan dengan sengaja memimpin rakyat jauh daripada Tuhan. Selepas mendapatkan nasihat, raja ini membuat dua patung anak lembu yang diperbuat daripada emas. Satu didirikan di kota Betel, dan satu lagi dibangunkan di kota Dan. Yerobeam kemudian membuat pengumuman kepada semua rakyatnya.
Dia berkata kepada rakyatnya, “ Terlalu jauh untuk engkau pergi ke Yerusalem untuk merayakan hari raya. Inilah tuhan-tuhanmu, yang membawamu keluar dari Mesir.”
Keimamatan pagan
Yerobeam mendirikan kuil-kuil di atas bukit-bukit pengorbanan dan melantik imam-imam. “Imam-imam” ini bukan daripada keluarga Lewi. Mereka ialah rakyat berkedudukan rendah yang sanggup mempersembahkan korban kepada berhala untuk apa saja bayaran.
Hairan benar, ramai orang mengikut usul raja untuk melanggar Hukum Tuhan. Daripada tetap setia kepada Pencipta mereka, mereka mula mempersembahkan korban kepada patung-patung anak lembu itu. Dalam beberapa minggu saja kerajaan Yerobeam sudah dipenuhi salah satu kejahatan yang Tuhan telah khususnya peringatkan umat selama berabad-abad. Perihal imam-imam sebenar – orang Lewi – yang tinggal di bahagian negeri itu, dan orang lain dalam sepuluh suku itu yang kekal setia kepada Tuhan, mereka melarikan diri ke Yehuda dan Yerusalem (1 Raja-raja 12:26-31; 2 Tawarikh 11:13-17).
Namun Yerobeam tidak puas hati dengan perubahan yang dibuatnya. Hari Raya Pondok Daun Tuhan sudah menjelang waktunya untuk dirayakan. Dia takut bahawa waktu gembira tahunan ini akan menarik ramai orang ke Yerusalem, di mana hari raya ini telah dirayakan dengan penuh sukacita. Dalam satu cubaan untuk mengawal rakyatnya dia mengumumkan bahawa tiada sebab bagi mereka pergi ke mana-mana untuk merayakan permulaan Hari Raya pada tanggal Lima belas bulan Tujuh. Dia secara rasminya mengubah tarikh itu kepada tanggal lima belas bulan lapan – waktu yang kita kenali sekarang sebagai Halloween! (1 Raja-raja 12:32-33).
Cuba mengubah Hari-hari Raya yang ditetapkan oleh Tuhan adalah berdosa. Bagaimanapun, Yerobeam tidak berbuat lebih buruk daripada orang lain dalam jemaat-jemaat aliran umum hari ini yang telah berusaha mengubah atau melenyapkan Sabat-sabat Tuhan sepanjang zaman. Hari ini ramai jemaat merayakan Easter bukan Paskah dan Whitsunday (Hari Minggu Whit) bukan Pentakosta. Hari Minggu dianggap sebagai hari ibadah Tuhan dan bukan Sabat mingguan Tuhan, dan seterusnya. Semua ini akan diperbetulkan di seluruh dunia apabila Kristus datang ke Bumi untuk memerintah (Zakharia 14:16-19). Lihat karya-karya Hari-hari Raya Tuhan (No. CB22); Hari-hari Ibadat Iblis (No. CB23).
Peringatan Tuhan
Untuk mengesankan mereka yang datang ke pusat-pusat ibadatnya, Yerobeam seringkali memainkan peranan Imam Besar. Satu hari seorang abdi Tuhan datang dari Yehuda ke Betel, ketika Yerobeam berdiri dekat mezbah untuk membuat persembahan. “Tuhan telah mengutus aku dari Yehuda untuk menyatakan kutukan pada mezbah ini!” dia berseru kuat. “Seorang anak bernama Yosia akan lahir bagi keluarga Daud! Dia, juga, akan membakar sesuatu di atas mezbah ini, tetapi bukan ukupan. Ia tulang-tulang para imammu yang berbohong yang mengorbankan di sini!” (1 Raja-raja 13:1-2).
Peristiwa-peristiwa ini dipenuhi beberapa tahun kemudian seperti dinubuatkan oleh Tuhan (2 Raja-raja 23:15-17).
Pada hari itu juga abdi Tuhan itu memberi satu tanda: “Inilah tanda yang Tuhan nyatakan: mezbah ini akan pecah dan abu di atasnya akan tercurah.”
Apabila raja mendengar ini, dia menghulur tangannya dan berkata, “Tangkap dia!”
Yerobeam ingat dia boleh membunuh nabi Tuhan itu kerana dia tidak menyukai pesannya. Bagaimanapun, Tuhanlah yang menentukan bila nabi-nabiNya harus dibunuh.
Waktu itu juga, tangan Yerobeam yang dihulurkan itu mula mengejang dan dia tidak dapat menariknya balik atau menjatuhkannya ke sampingnya! Kemudian mezbah itu pecah dan abunya tercurah keluar sesuai dengan tanda yang diberikan oleh abdi Tuhan itu (1 Raja-raja 13:3-5).
“Berdoalah kepada Tuhanmu untuk menjadikan tanganku seperti sediakala!” raja berkata kepada nabi itu.
Lalu abdi Tuhan ini membuat pengantaraan dengan Tuhan, dan tangan raja pulih dan menjadi seperti sediakala.
“Datanglah ke rumahku dan jemputlah makan,” dia berkata kepada nabi itu. “Aku ingin memberimu hadiah atas apa yang engkau lakukan tentang tanganku.” (1 Raja-raja 13:6-7).
“Aku tidak akan pergi bersamamu kalaupun engkau memberiku separuh milikmu!” nabi berseru. “Tuhan memerintah aku supaya tidak makan atau minum ketika dalam kota ini. Aku tidakpun harus kembali mengikut jalan aku datang, kalau-kalau orang jahat menunggu untuk mencederakan aku.”
Yerobeam tentu senang hati jika dia tahu apa yang bakal menimpa nabi itu tidak lama lagi. Dua saudara yang menyaksikan kejadian di mezbah itu cepat-cepat pulang untuk memberitahu bapa mereka, yang juga seorang nabi. Bapa mereka gagal meninggalkan negeri itu apabila ibadat berhala bermula.
“Katakan jalan mana dia pergi!” si bapa bertanya dengan ghairah.
Jadi mereka memasang pelana pada seekor keldai untuk bapa mereka dan dia menunggangnya mengejar abdi Tuhan itu. Dia menemuinya sedang duduk di bawah pohon tarbantin dan bertanya, “Engkaukah orang dari Yehuda yang berdoa supaya tangan Raja Yerobeam yang kejang disembuhkan?”
“Akulah orangnya,” ialah jawapannya.
Orang lebih tua itu senang hati, dan dia berkata kepada orang yang sedang berehat itu, “Datanglah bersamaku ke rumahku dan jemput makan dan minum.”
“Aku telah diberitahu Tuhan bahawa sementara aku berada di sini aku harus tidak makan atau minum,” nabi itu menjelaskan. “Aku harus tidak menerima pertolongan daripada sesiapapun dalam wilayah penyembah berhala ini. Aku mesti jangan mengikuti kembali jejak aku.”
Nabi tua itu menjawab, “Aku seorang nabi, seperti engkau. Aku diberitahu seorang malaikat bahawa aku harus mencarimu dan membawamu ke rumahku untuk makan” [tetapi dia berdusta].
Justeru, abdi Tuhan itu kembali bersama dia dan mereka makan dan minum di rumahnya. Dia lapar dan haus jadi dia ingin percaya bahawa Tuhan telah berfirman kepada orang lebih tua itu. Tuhan mengizinkan orang tua itu, walaupun dengan ketidakjujurannya yang memalukan, untuk menguji ketaatan orang dari Yehuda itu (1 Raja-raja 13:8-19). Nabi dari Yehuda itu sepatutnya tidak mendengar.
Selepas itu, di rumah nabi tua itu firman Tuhan datang kepada nabi tua. Dia berseru kepada abdi Tuhan yang telah datang dari Yehuda, “Engkau telah ingkar dengan menjejaki kembali langkah-langkahmu di Betel dan dengan memakan dan meminum di sini. Sebab engkau melakukan ini, engkau tidak akan pernah pulang ke rumah. Engkau tidak akan dikuburkan dalam kubur di mana saudara-saudaramu dikubur” (1 Raja-raja 13:20-22).
Hukuman keingkaran
Apabila abdi Tuhan itu habis makan dan minum, nabi yang membawanya pulang memasang pelana keldainya untuknya. Dalam perjalanan dia ketakutan melihat seekor singa berdiri di jalan. Binatang itu menyerbunya dan membunuhnya. Itu ialah detik-detik sedar terakhir nabi itu. Hukumannya cepat dilaksanakan kerana tidak mengikut dan mentaati segala perintah Tuhan. Ini satu pengajaran untuk mengingatkan kita bahawa jika kita tidak mentaati Tuhan kita tentu menderita akibatnya.
Sesetengah orang yang melalui jalan yang sama tidak lama kemudian berasa terkejut melihat seekor singa berdiri di samping mayat seseorang. Di Betel mereka memberitahu beberapa orang apa yang mereka lihat (1 Raja-raja 13:23-25).
Tidak lama kemudian nabi tua itu mendengar tentangnya. Anak-anaknya memasang pelana keldai itu sekali lagi dan dia berangkat untuk mencari nabi yang terbunuh itu, yang ditemuinya tidak jauh dari situ. Singa dan keldai itu masih berdiri di tepi mayat itu. Bagaimanapun, singa itu tidak memakan mayat itu atau mencabik keldai itu. Jadi nabi itu memungut mayat abdi Tuhan itu, meletakkannya atas keldai dan membawanya balik ke Betel dan menguburkannya dalam kuburnya sendiri. Ini juga memenuhi nubuatan bahawa mayat abdi Tuhan itu tidak akan dikuburkan dalam kubur nenek moyangnya (1 Raja-raja 13:22).
“Setelah aku meninggal,” nabi tua itu memesan anak-anaknya, “kuburkan aku dalam kuburku bersama abdi Tuhan ini. Tuhan menyuruhnya untuk berseru terhadap mezbah Betel dan kutukannya terhadap kuil-kuil di Samaria pasti akan terjadi” (1 Raja-raja 13:26-32).
Meskipun dengan pemecahan ghaib mezbah itu dan kecederaan serta penyembuhan tangannya, Yerobeam tidak berhenti daripada jalan salah yang telah ditetapkannya. Malah dengan amaran jelas daripada Tuhan tentang apa yang bakal terjadi kepada imam-imam palsu itu, Yerobeam terus mengupah rakyat biasa yang tidak layak untuk jabatan-jabatan itu. Sesiapa saja yang mengingininya boleh menjadi imam. Ini dosa besar terhadap Tuhan dan akan berkesudahan dengan kemusnahan kerajaan Yerobeam serta kematian seisi keluarganya (1 Raja-raja 13:33-34). Ini merupakan titik peralihan besar Israel.
Untuk mengingatkan Yerobeam sekali lagi akan jalannya yang jahat, Tuhan mengizinkan anaknya, Abia, menjadi sangat sakit. Yerobeam amat risau apabila anak itu tidak pulih. Tiada seorangpun dapat mengatakan apakah yang menyebabkan penyakit itu atau berapa lama ia akan berterusan. Namun jelas sekali bahawa Abia tidak akan hidup lama lagi sekiranya dia kekal dalam keadaan lemahnya ini.
“Mungkin nabi Ahia dapat mengetahui apa masalahnya dengan Abia dan apa yang patut dilakukan untuknya,” Yerobeam berkata kepada isterinya. “Dialah yang memberitahu aku bahawa aku akan menjadi raja. Mungkin dia mempunyai pengetahuan ghaib yang lain.”
Yerobeam berkata kepada isterinya, “Menyamarlah supaya engkau tidak dikenali sebagai ratu oleh sesiapa yang melihatmu, dan pergilah kepada nabi Ahia dan tanyalah dia kalau anak itu akan pulih” (1 Raja-raja 14:1-3).
Sebagai hadiah untuk nabi itu, dia membawa sepuluh roti, kue kismis dan sebuli-buli madu (1 Raja-raja 14:3).
Berpakaian sederhana mencegah ratu itu daripada dikenali dalam perjalanan. Menipu Ahia mestinya senang, sebab dia sudah tua dan telah menjadi buta. Bagaimanapun, Tuhan memberitahunya bahawa ratu, yang berpura-pura sebagai orang lain, akan datang untuk bertanya tentang anaknya yang sakit. Dan Tuhan memberitahunya apa yang perlu dikatakan kepada ratu.
Apabila Ahia mendengarnya di pintu, dia memanggil, “Masuk! Aku berbesar hati dikunjungi oleh isteri Raja Yerobeam!”
“Kenapa engkau cuba menyembunyikan siapa dirimu?” Ahia bertanya (1 Raja-raja 14:5-6).
Lalu dia berkata kepadanya, “Tuhan Allah memberiku pesan untuk engkau bawa kepada suamimu, raja. Engkau mesti memberitahunya semua yang akan aku katakan kepadamu.”
“Katakan kepada Yerobeam,” Ahia bermula, “Bahawa Tuhan ingin mengingatkannya bahawa dia telah diberi penghormatan tinggi dan peluang yang amat istimewa apabila kebanyakan kerajaan Israel diambil daripada keluarga Daud dan diberikan kepadanya untuk diperintah. Dia tentu sudah menjadi seorang yang masyhur dengan mengikut teladan ketaatan Daud. Sebaliknya, dia dengan bodohnya cuba menyimpangkan rakyat dengan mengajar mereka untuk berpaling kepada ibadah tuhan-tuhan lain – suatu pengejaran jahat di mana dia telahpun melampaui mana-mana raja Israel sebelumnya.” (1 Raja-raja 14:7-9).
Nubuatan digenapi
“Sebab Yerobeam telah bertindak begitu jahat sekali,” Ahia meneruskan, “Tuhan akan mendatangkan malapetaka kepadanya. Dia akan kehilangan kepimpinannya. Tuhan sudahpun memilih seorang lain untuk menggantinya. Sesiapapun daripada keluarga Yerobeam yang cuba merajai Israel akan dilenyapkan oleh orang ini. Kemudian Tuhan akan menggoncang bangsa ini seperti sungai deras menggoncangkan gelagah. Umat ini akan dihalau keluar dari negara ini dan diserakkan ke negara-negara lain sebab mereka menyembah berhala yang raja mereka telah dirikan di depan mereka.”
“Tentang anakmu Abia, untuk siapa engkau datang bertanya, dia akan mati sebaik saja engkau pulang. Tiada seorangpun daripada keluarga suamimu akan mendapat penguburan yang patut melainkan dia kerana dia tidak mahu bapanya mendirikan berhala untuk disembah Israel” (1 Raja-raja 14:10-16).
Lalu Ahia menyuruh isteri Yerobeam pulang. Jadi dia kembali ke Tirza; dan anak itu mati sebaik saja dia melangkah melalui ambang pintu rumahnya. Lalu mereka meratapinya di seluruh negara itu, sama seperti yang Tuhan nubuatkan melalui Ahia (1 Raja-raja 14:17-18).
Keadaannya tidak lebih baik di Yerusalem. Sesetengah orang Lewi yang merupakan imam-imam setia dan ramai orang Israel setia yang lain telah mengerumuni Yehuda daripada sepuluh suku lain itu untuk melarikan diri daripada ibadat berhala (2 Tawarikh 11:13-17). Bagaimanapun, tiga tahun selepas itu, sebahagian besar Yehuda dan Benyamin telah mula mengikuti adat dan amalan keji agama-agama pagan. Rehabeam tidak bertindak mempromosikan keberhalaan seperti yang dilakukan Yerobeam, tetapi dia terlalu asyik dengan minatnya sendiri, termasuk lapan belas isteri dan enam puluh gundiknya, sehingga dia gagal memberi perhatian sepatutnya kepada kesejahteraan rakyatnya (1 Raja-raja 14:21-24; 2 Tawarikh 11:18-23).
Rehabeam raja Yehuda
Pada tahun kelima pemerintahannya, Rehabeam mendapat khabar yang mengejutkan. Seorang utusan datang dari padang gurun Syur untuk melaporkan bahawa satu angkatan tentera yang besar telah memasuki wilayah Yehuda. Laporan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya enam puluh ribu penunggang kuda, seribu dua ratus kereta dan beribu-ribu perajurit berjalan sedang maju terus menerus ke arah Yerusalem.
Ini merupakan tentera Mesir dan semua sekutu mereka yang baru saja mahu menyerang Israel!
Lama kelamaan orang Mesir menawan kota-kota berkubu Yehuda dan sampaipun ke Yerusalem (2 Tawarikh 12:1-4).
Satu lagi peringatan
Berlakulah huru-hara besar di Yerusalem bilamana tentera Mesir itu sudah kenampakan ibu kota Yehuda itu. Angkatan besar itu dipimpin oleh Sisak, raja Mesir yang pernah melindungi Yerobeam selepas Yerobeam melepaskan diri daripada hukuman mati oleh Salomo (1 Raja-raja 11:37-40).
Kemudian nabi Semaya datang berjumpa Rehabeam dan para pemimpin Yehuda yang telah berkumpul di Yerusalem sebab takutkan Sisak.
Dia berkata, “Aku ada pesan daripada Tuhan untuk engkau semua. Dia hendak engkau tahu bahawa Dialah yang telah mengutus tentera Mesir itu terhadap Yehuda kerana engkau dan ramai rakyat Yehuda telah menjauhi Allah Maha Esa dan melakukan ibadat berhala serta cara hidup jahat yang lain. Orang Mesir akan mengeroyok Yerusalem sama seperti mereka telah mengeroyok kota-kotamu yang telah dirampas! Engkau sama sekali berada dalam kuasa mereka” (2 Tawarikh 12:5).
Sesudah Semaya keluar dari kamar itu, sesetengah orang di situ jatuh bertelut dan menyeru kepada Tuhan untuk mengampuni mereka atas semua yang mereka telah lakukan. Orang lain mengikut teladan mereka, tetapi hanya kerana mereka begitu putus asa sehingga mereka ingin sekali berseru meminta pengampunan dan pertolongan. Dengan maut menghadapi mereka, mereka benar-benar menyesal kerana cara hidup mereka yang bodoh dan jahat.
Kemudiannya, Semaya kembali untuk menyatakan bahawa dia mempunyai khabar yang mereka tentu sukai.
“Tuhan telah mendengar doamu,” nabi itu memberitahu mereka. “Dia tahu engkau sangat menyesal sebab memimpin rakyatmu dengan salah. Sebab engkau telah merendahkan dirimu, Tuhan telah memutuskan untuk tidak mengizinkan orang Mesir melenyapkan engkau. Tetapi mereka akan menawan kota ini dan engkau akan menjadi hamba mereka dan membayar ufti. Waktu itulah engkau akan belajar betapa baik lagi menjadi hamba Tuhan daripada hamba manusia” (2 Tawarikh 12:6-8).
Bait dirompak
Apabila Sisak, raja Mesir, menyerang Yerusalem, dia membawa pergi barang-barang berharga Bait dan istana raja. Malah dia memgambil perisai-perisai emas yang dibuat Salomo.
Jadi, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai tembaga untuk menggantinya dan menyerahkan ini kepada pemimpin-pemimpin pengawal yang bertugas di pintu masuk ke istana raja.
Perhambaan Mesir sekali lagi
Apabila raja Mesir meninggalkan Yerusalem dengan jumlah kekayaan paling banyak yang pernah dirampas penakluk dari sebuah kota, itu belum lagi harga sepenuhnya bagi orang Israel. Sebab rakyat Yehuda akan terus takluk kepada Mesir, Sisak menuntut mereka mengirim ufti tetap kepadanya. Ufti sebegitu tidak mungkin dikumpulkan sekiranya orang Mesir telah menghancurkan negara itu dan merosakkan ekonominya. Aliran kekayaan ini ke Mesir memenuhi nubuatan Semaya bahawa Yehuda akan menjadi hamba kepada Mesir (2 Tawarikh 12:8-9; 1 Raja-raja 14:25-26).
Sebab Rehabeam merendahkan dirinya, murka Tuhan terhadapnya reda, dan dia tidak dibinasa sepenuhnya. Dalam beberapa tahun berikutnya Yehuda pulih sebahagiannya daripada serbuan itu. Pengalaman Rehabeam berdepan dengan maut menyebabkan dia lebih patuh kepada tugas sebagai raja (1 Raja-raja 14:27-28; 2 Tawarikh 12:10-12).
Rehabeam berumur empat puluh satu tahun ketika dia menjadi raja, dan dia memerintah tujuh belas tahun di Yerusalem. Bagaimanapun, dia berbuat jahat kerana dia tidak tekun mencari Tuhan.
Berlaku perang berterusan antara Rehabeam dan Yerobeam, dan pertempuran-pertempuran tidak bererti ini terus-menerus sepanjang hayat Rehabeam.
Rehabeam, anak Salomo, akhirnya dikuburkan di Yerusalem di mana anggota-anggota keluarga Daud dikuburkan. Abia, salah seorang daripada ramai anak Rehabeam, menjadi raja Yehuda selepas itu (2 Tawarikh 12:13-16; 1 Raja-raja 14:29-31).
Abia raja Yehuda
Malangnya, Abia tidak lebih baik daripada bapanya. Tuhan mengizinkan orang muda ini memerintah hanya cukup lama – tiga tahun – untuk adanya lanjutan keluarga Daud atas takhta. Abia melakukan segala dosa yang bapanya telah lakukan sebelumnya. Hatinya tidak bertekun sepenuhnya kepada Allah Tuhannya sebagaimana dengan Daud (1 Raja-raja 15:1-5; 2 Tawarikh 13:1-2).
Berlakulah perang antara Abia dan Yerobeam. Abia maju berperang dengan empat ratus ribu orang, dan Yerobeam datang untuk memeranginya dengan lapan ratus ribu pahlawan (2 Tawarikh 13:3).
Apabila tentera Yehuda tiba di Gunung Zemaraim, di pergunungan Efraim, raja Abia berseru kepada Raja Yerobeam dan tenteranya.
“Dengarlah kepada aku! Engkau harus tahu bahawa Tuhan telah memberi kuasa raja Israel kepada Daud dan keturunannya untuk selama-lamanya dengan suatu perjanjian garam. Tetapi Yerobeam ingin merajai seluruh Israel, walaupun dia hanya seorang hamba kepada anak Daud, dan pengkhianat kepada tuannya. Kemudian sekumpulan orang penderhaka tidak berguna telah menyertainya, menentang Rehabeam anak Salomo ketika dia muda dan tidak cukup kuat untuk melawan mereka.”
“Kamu benar-benar percaya kamu dapat mengalahkan kerajaan Tuhan yang dipimpin keturunan Daud?” Abia (Abiam) meneruskan. “Apakah kelebihan bilanganmu yang lebih banyak selagi kamu hanya bergantung pada patung anak lembu kamu yang tidak berkuasa itu? Bagaimana kamu boleh menjangka menang setelah menyingkirkan imam-imam Tuhan daripada negerimu, dan menggantikan mereka dengan imam-imam pagan? Bagi kami pula, kami bergantung pada Tuhan kepada siapa kami mempersembah korban di Bait di Yerusalem. Hanya keturunan Harun saja yang menjadi imam-imam kami, dan orang Lewi saja yang menolong mereka dalam pekerjaan mereka. Lebih baik kamu jangan lawan kami. Jika kamu buat juga, apabila kamu mendengar bunyi sangkakala-sangkakala daripada para imam yang ada bersama kami kamu akan tahu yang kamu hampir gagal dalam perang!” (2 Tawarikh 13:4-12).
Sementara itu, Yerobeam telah menghantar sebahagian tenteranya berjalan keliling ke belakang tentera Yehuda untuk menyerang hendap mereka. Mereka begitu takut sekali sehingga kebanyakan mereka berteriak kepada Tuhan meminta pertolongan. Dengan isyarat daripada Abiam, para imam membunyikan sangkakala-sangkakala mereka dan tentera Yehuda mula memekik.
Tuhan menjatuhkan Israel
Sementara mereka memekik Tuhan menggunakan Raja Abia dan tentera Yehuda untuk mengubah haluan pertempuran terhadap Raja Yerobeam dan tentera Israel; mereka membunuh 500,000 orang tentera Israel hari itu.
Jadi Yehuda, dengan mengandalkan diri kepada Tuhan, mengalahkan Israel dan mengejar tentera Raja Yerobeam dan merebut beberapa kotanya. Raja Yehuda tidak merencana untuk menawan setiap kota di Israel utara. Dia hanya ingin berkuasa atas kota-kota yang dekat kepada Yerusalem. Raja Yerobeam tidak pernah mendapat kembali kuasanya ketika hayat Abia, dan akhirnya Tuhan memukulnya dan dia mati (2 Tawarikh 13:13-20).
Disebabkan kepercayaannya dalam Tuhan dalam konflik dengan Yerobeam, Abia menjadi raja yang lebih kuat untuk satu tempoh. Dia mengahwini empat belas isteri dan menjadi bapa kepada tiga puluh lapan anak. Apabila dia mula mengikuti cara hidup bapanya, Tuhan mengizinkan hidupnya berakhir (1 Raja-raja 15:6-8; 2 Tawarikh 13:21-22).
Asa raja Yehuda
Asa, seorang daripada dua puluh dua anak lelaki Abia, menjadi raja Yehuda berikutnya. Dari waktunya dia amat muda lagi, dia telah memerhati bagaimana keberhalaan membawa begitu banyak kesusahan kepada Israel. Sebaik saja dia menjadi raja dia memulakan kempen kuat untuk membersihkan kerajaannya daripada segala amalan agama yang jahat dengan memusnahkan mezbah pagan, patung dan tempat di mana berhala disembah. Selain itu, dia memerintahkan para pegawainya untuk membuang dari negeri itu semua orang yang didapati semburit bakti, kaum lelaki buruk ahklak yang seringkali berlagak sebagai imam-imam di tempat-tempat ibadat berhala.
Dalam membuang keberhalaan, Asa mengalami keadaan janggal dalam istananya apabila dia mendapat tahu bahawa neneknya, salah seorang isteri Rehabeam, merupakan penyembah berhala. Dia telah mengatur supaya patung khas dibuat dan didirikan di tempat tiang berhala berdekatan untuk ibadat persendirian. Memang memalukan untuk raja memecat ibu suri itu dari istananya, namun dia tiada pilihan. Tentang patung itu pula, ia dirobohkan dan dibakar.
Sementara pembersihan negaranya ini sedang berjalan, Asa mengumumkan bahawa bangsa itu harus memandang kepada Tuhan dan Perintah-perintahNya untuk satu-satunya cara hidup yang betul, dan selepas itu barulah mereka dapat menikmati kedamaian. Hasil perubahan kepada yang lebih baik dalam bangsa itu, tiada perang selama sepuluh tahun berikutnya.
Sekali lagi rakyat mengerumuni Bait untuk berbakti dan mempersembah korban. Keadaannya hampir-hampir seperti awal zaman Salomo. Bagaimanapun, sesetengah orang mempersembah korban di tempat-tempat yang dipilih mereka sendiri, biasanya dekat rumah mereka. Para imam dan mezbah telah ditetapkan di Bait supaya ini tidak terjadi. Tempat-tempat lain sepatutnya telah dilenyapkan oleh Asa. Itu satu-satunya benda yang gagal dilakukannya dalam usahanya untuk menolong Israel. Selain itu, dia hidup sangat rapat kepada Tuhan (1 Raja-raja 15:9-15; 2 Tawarikh 14:1-5).
Kemakmuran mengundang perompak
Kedamaian membawakan kemakmuran sebahagiannya kepada Yehuda. Itulah waktunya untuk membangunkan kota-kota berkubu baru di mana batas-batas negara itu dapat diperkuatkan, dan untuk mengumpul serta memperlengkapi orang-orang untuk pertahanan lebih baik. Kekuatan tentera tidak dapat menggantikan perlindungan Tuhan, tetapi jika mana-mana negara diketahui mempunyai tentera kecil dan pertahanan buruk, ini hampir seperti mengundang sesiapa raja yang tamak untuk menyerang.
Seperti terjadi, Zerah orang Kush maju berperang melawan mereka dengan angkatan tentera yang besar dan tiga ratus kereta. Asa maju untuk menghadapinya dan mereka mengambil kedudukan bertempur di Lembah Zefata, dekat Maresa.
Asa mempunyai tentera 300,000 orang dari Yehuda, dilengkapi dengan perisai besar dan tombak, dan 280,000 pemanah dari Benyamin. Semua ini merupakan pahlawan-pahlawan gagah perkasa (2 Tawarikh 14:6-10).
Lalu Asa berseru kepada Tuhan dan berkata: “Tuhan, tiada seperti engkau yang menolong orang lemah melawan orang kuat. Tolonglah kami, Ya Tuhan Allah kami, sebab kami bersandar padamu. Kami pergi melawan mereka dalam namamu, percaya yang engkau tidak akan membiarkan mereka menang terhadap kami, sebab jika mereka menang, dan jika kami ialah bangsamu, ini akan kelihatan seperti mereka menang terhadap engkau. Kami tahu, meskipun, bahawa engkau berkuasa melakukan segalanya. Kami serahkan hidup kami ke dalam tanganmu yang penuh belas kasihan.”
Selepas itu Tuhan memukul kalah orang-orang Kush itu di hadapan Asa dan Yehuda. Orang-orang Kush itu lari, dan Asa dan tenteranya mengejar mereka sampai Gerar. Ramai sekali orang Kush tewas dan tidak dapat pulih. Orang Yehuda memperolehi jarahan yang sangat banyak. Mereka menghancurkan semua kota di sekeliling Gerar, sebab ketakutan daripada Tuhan telah menimpa mereka. Mereka menjarah kota-kota ini dan juga menyerang perkhemahan para pemilik ternak dan membawa pergi banyak kambing domba dan unta. Kemudian mereka pulang ke Yerusalem” (2 Tawarikh 14:11-14, The NIV Study Bible).
Kita akan teruskan dengan siri The Bible Story (Kisah Alkitab) dalam karya Kesusahan dalam Israel dan Yehuda (No. CB105).