Christian Churches of God
[CB145]

Pelayanan Elisa Berterusan

(Edisi 1.0 20090110-20090110)
Elisa terus menggunakan kuasa Roh Tuhan untuk melakukan lebih banyak lagi keajaiban. Kita akan lihat bahawa ada enam belas keajaiban semuanya yang dilakukan melalui Elisa. Kertas ini telah disesuaikan daripada bab-bab 126-128, Volume V The Bible Story oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.
Christian Churches of God
PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

(Hakcipta © 2009 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)
(tr. 2009)

This paper may be freely copied and distributed provided it is copied in total with no alterations or deletions. The publisher’s name and address and the copyright notice must be included.  No charge may be levied on recipients of distributed copies. Brief quotations may be embodied in critical articles and reviews without breaching copyright.

This paper is available from the World Wide Web page:
http://www.logon.org and http://www.ccg.org

Pelayanan Elisa Berterusan

Kita teruskan di sini dari kertas Elisa Mengganti Elia (No. CB144).

Kasus orang Aram yang sakit

 Di negeri Aram, seorang anak perempuan Israel, ditangkap oleh satu pasukan penjarah Aram, diserahkan kepada isteri Naaman, panglima tentera Aram. Naaman sangat dihormati kerana kebolehannya, keberaniannya dan kejujurannya. Namun semua ini dibelakangi oleh fakta mengerikan yang dia sakit kusta (2 Raja-raja 5:1-2).

 Sebab amat gelisah mengetahui bahawa seorang pemimpin berkebolehan seperti itu mempunyai penyakit serius, pelayan perempuan Israel ini mengusulkan kepada nyonyanya supaya suaminya pergi kepada seseorang di Israel yang dapat menyembuhkan Naaman daripada penyakit kustanya.

 “Orang ini, namanya Elisa, telah melakukan beberapa keajaiban hebat kerana dia amat rapat kepada Tuhan,” gadis ini menjelaskan. “Jika dia meminta Tuhan kami menyembuhkan suamimu, ia pasti dilakukan!” (ayat 3).

 Naaman pergi kepada raja Aram dan memberitahunya apa yang dikatakan gadis itu.

 “Pergilah kepada Elisa ini,” raja bertitah. “Aku akan memberimu surat kepada raja Israel untuk menjelaskan kehadiranmu di negeri itu.”

 Dengan iringan para hamba, Naaman bertolak serta-merta ke Samaria dengan sepuluh talenta perak, 6000 syikal emas dan sepuluh potong pakaian (ayat 4-5).

 Apabila Yoram, raja Israel, membaca surat daripada raja Aram itu dia mengoyakkan pakaiannya dengan marahnya dan berkata, “Raja Aram cuba bertengkar dengan aku. Dia mengirim aku seorang pesakit kusta untuk disembuhkan! Adakah dia ingat aku ini Tuhan, sampai dapat mengambil dan memberi nyawa?” (ayat 6-7)

 Apabila Elisa mengetahui tentang tingkah laku Yoram dia mengirim pesan kepada Yoram meminta raja Israel itu mengutus Namaan kepadanya.

 “Ini hal untuk aku uruskan,” pesan Elisa menyatakan. “Tiada sebabnya untuk kamu gelisah. Raja Aram bukan mencari alasan untuk berperang. Biarlah panglimanya tahu hanya ada Allah yang maha esa, dan bahawa ada seorang pelayan Tuhan di Israel.”

 Jadi Naaman pergi bersama kuda-kudanya dan kereta-keretanya dan berhenti di pintu di mana nabi itu tinggal. Elisa mengutus seorang utusan untuk berkata kepadanya. “Pergilah mandi tujuh kali di Yordan, dan tubuhmu akan dipulihkan dan kamu akan ditahirkan (ayat 8-9).

 Namun Naaman menjadi marah dan dia berkata, “Aku sangka dia akan sekurang-kurangnya keluar kepadaku, memanggil Tuhannya untuk kuasa melakukan keajaiban, dan melambai tangannya atas tempat penyakitku dan menyembuhkan aku. Apa ertinya diberitahu yang aku harus mandi tujuh kali dalam sungai Yordan? Bukankah sungai-sungai negeri kita sendiri lebih bersih dan jelas daripada mana-mana sungai Israel? Bukankah lebih baik aku membenamkan diriku di sana dan menjadi tahir?” Lalu dia berpaling dan pergi dengan marah (ayat 10-12).

 Pada waktu ini para pegawai Naaman dengan berhati-hati menyatakan kepadanya bahawa ada baiknya dia mengikut nasihat yang diberikan kepadanya.

 Bukti Tuhan

 “Engkau menyangka Elisa akan melakukan sesuatu yang hebat dan dramatis untukmu,” mereka mengingatkannya. “Sebaliknya, dia memberi pesan kepadamu untuk melakukan sesuatu yang senang dan mudah. Ia begitu mudah sekali sehingga engkau mengejeknya. Jika engkau disuruh membuat sesuatu yang lebih susah dan rumit, supaya engkau berasa dirimu penting, tidakkah engkau sanggup juga melakukannya?”

 Jadi Naaman membenamkan dirinya di dalam air tujuh kali seperti disuruh kepadanya dan dia berjalan keluar ke tepi sungai untuk menemui tubuhnya dipulihkan dan sudah menjadi tahir seperti tubuh seorang anak! (ayat 13-14)

 Di sini kita lihat bilangan tujuh – sebagai simbol kelengkapan – digunakan sekali lagi. Mandi dalam air kotor dan keluar dalam keadaan tahir dan sembuh menunjukkan tiadanya pertalian antara pemandian dan penyembuhan yang diingini. Pastinya ini bukti kuasa Tuhan bekerja melalui nabi itu dan bukan kuasa nabi sendiri yang menyembuhkan Naaman.

 Selepas itu Naaman dan para pelayannya kembali kepada abdi Tuhan itu dan dia berkata kepada Elisa, “Ini membuktikan kepadaku bahawa Tuhanmu ialah satu-satunya Tuhan sebenar atas Bumi ini. Semua yang dipanggil tuhan bila digabungkan tidak pernah dapat melakukan keajaiban seperti ini! Sekarang sila terima hadiah daripada hambamu ini” (ayat 15).

 “Aku tidak akan mengambil apa-apa,” nabi itu berkata. Walaupun Naaman mendesaknya, Elisa masih menolak.

 Jadi Naaman selepas itu berkata, “Izinkan aku membawa bersamaku sebanyak mana tanah Israel yang dapat dimuat dua bagalku. Daripadanya aku dapat mendirikan sebuah mezbah untuk mempersembah korban kepada Tuhanmu” (ayat 16-17).

 Pada zaman dahulukala orang menganggap bahawa suatu tuhan hanya dapat disembah atas tanah negeri yang mana tuhan itu terikat. Jadi Naaman ingin membawa tanah Israel bersamanya untuk mempunyai tempat di Damsyik untuk menyembah Tuhan Israel (lihat nota kaki kepada ayat 17 dalam NIV Study Bible).

 “Dari sekarang aku hanya akan menyembah Allah Maha Esa,” Naaman menjawab. “Namun, akan ada waktunya bilamana rajaku yang sudah berumur dan lemah akan mengharapkan aku menemani dan membantunya ke kuil Rimon, tuhan langit Aram. Aku berharap kiranya Tuhan akan mengampuni aku jika aku kelihatan beribadat bila aku sujud bersama raja di depan mezbah.”

 “Pergilah dengan selamat,” Elisa berkata (ayat 18-19). Menarik diperhatikan bahawa Elisa nampaknya tidak mengulas tentang konflik sujud menyembah tuhan pagan yang mungkin dihadapi Naaman pada masa hadapan.

 Cinta akan harta material

 Sesudah orang-orang Aram itu pergi, pelayan Elisa, Gehazi, yang telah mendengar perbualan antara tuannya dan Naaman, memutuskan tuannya terlalu pemurah pada Naaman dengan tidak menerima apa yang dibawanya sebagai hadiah. Jadi dia membuat keputusan untuk mengejar mereka untuk mendapatkan sesuatu untuk dirinya.

 Naaman dan orang-orangnya belum lagi berjalan jauh apabila mereka melihat seseorang berlari ke arah mereka. Naaman keluar daripada keretanya dan berjalan balik untuk bertemunya.

 “Semua selamat?” Naaman bertanya.

 “Semua selamat,” Gehazi menjawab. “Tuanku mengutus aku untuk berkata, “dua orang muda daripada rombongan nabi dari Gunung Efraim baru saja datang kepadaku. Tolong berikan mereka setalenta perak dan dua potong pakaian.”

 “Aku senang membantu,” kata Naaman. “Ambillah dua talenta perak kembali kepada tuanmu”. Lalu dia membungkus dua talenta perak itu dalam dua kantung dengan dua potong pakaian dan memberinya kepada dua hambanya yang membawa semua itu mendahului Gehazi. Sesudah mereka sampai ke bukit, Gehazi mengambil barang itu daripada hamba-hamba ini dan meletakkannya di dalam rumah. Lalu mereka pergi (ayat 20-24).

 Gehazi menipu Naaman untuk memuaskan ketamakannya sendiri. Dia cuba mendapat untung daripada rahmat Tuhan yang dihulurkan kepada seorang lain melalui nabi itu. Namun Tuhan tidak dipermainkan, seperti yang akan kita lihat.

 Si penipu ditemui

 Apabila Gehazi masuk dan tampil di depan tuannya, Elisa bertanya, “Ke manakah kamu hari ini?”

 “Aku tidak ke mana-mana,” hamba itu menjawab.

 “Tidakkah hatiku bersamamu ketika orang itu turun dari keretanya untuk bertemu kamu?” Elisa berkata kepadanya. “Adakah ini waktunya untuk mengambil wang atau menerima hadiah? Oleh sebab itu, penyakit kusta Naaman akan melekat kepadamu dan keturunanmu selama-lamanya.”

 Apabila Gehazi meninggalkan Elisa dia sudah berkusta, putih seperti salju.

 Penyembuhan Naaman merupakan keajaiban kesepuluh Tuhan melalui nabi itu. Keajaiban kesebelas ialah pemindahan penyakit kusta orang Aram ini kepada Gehazi (ayat 25-27).

 Mata kapak terapung

 Keajaiban kedua belas terjadi tidak lama selepas itu. Sekolah untuk nabi-nabi dekat Yerikho telah menjadi begitu sesak tempat tinggalnya sehingga para pelajar mengusulkan kepada Elisa supaya mereka menebang kayu mereka sendiri di tepi Sungai Yordan dan mendirikan bangunan-bangunan di situ. Elisa setuju, dan pergi bersama mereka.

 Tatkala seorang daripada mereka sedang menumbangkan pohon di tebing sungai itu, mata kapaknya terlepas daripada tangkainya dan terjatuh ke dalam air.

 “Buruk sekali! Aku kehilangan kapak pinjaman,” orang itu berteriak.

 Pada waktu itu mata kapak besi merupakan alat mahal. Jika dia kehilangannya dan tidak mampu menggantinya si peminjam menghadapi kemungkinan diperhambakan untuk membayar harga alat itu.

 Elisa pergi mendapatkan orang yang sangat sedih itu dan bertanya di mana mata kapak itu telah jatuh ke dalam sungai. Sesudah ditunjukkan tempatnya, Elisa memotong sepotong kayu dan melemparkannya ke tempat itu dan menjadikan mata kapak itu terapung. Elisa menyuruh orang itu mengambilnya dan diapun mengambilnya (2 Raja-raja 6:1-7).

Tentera Aram yang dibutakan

 Kira-kira waktu ini tentera Aram melakukan serangan-serangan mengejut ke atas tempat-tempat tertentu dalam Israel, namun mereka menemui tentangan kuat. Orang Israel nampaknya mengetahui terlebih dahulu di mana serangan-serangan itu akan dibuat. Ini terjadi begitu kerap sekali sehingga raja Aram menjadi curiga dan marah. Akhirnya dia mengadakan pertemuan khas para pegawainya (ayat 8-11).

 “Ada orang di sini menjual maklumat kepada musah!” suaranya bergemuruh.

 “Tiada seorangpun kami membelot tuan,” seorang pegawai berkata. “Tetapi memang pasti ada pemberi maklumat, dan orang itu seharusnya Elisa, nabi Israel. Selain mengerjakan banyak keajaiban luar biasa, dia mempunyai kebolehan menakjubkan untuk melihat hal-hal tersembunyi. Dia mungkinpun tahu apa yang engkau katakan dalam kamar tidurmu sendiri. Tidak diragukan yang dia tahu tentang segala rencana perangmu, dan memberi maklumat itu kepada raja Israel” (ayat 12).

 “Pergi dan cari di mana dia”, raja memerintah, “ agar aku dapat menangkapnya.”

 Orang Aram memang mengikut jejak betul menemukan sumber kesusahan mereka. Setiap kali mereka siap memilih satu tempat di Israel untuk diserang, Tuhan memberitahu Elisa, lalu Elisa memberitahu raja Israel dan para perajurit Israel bergegas untuk mempertahan, atau menghindari perangkap.

 Sebaik saja dilaporkan bahawa nabi itu tinggal di kota Dotan, raja Aram mengirim satu angkatan tentera ke tempat itu untuk menangkap satu orang – Elisa.

 Apabila pelayan abdi Tuhan itu bangun dan keluar awal pagi esoknya, suatu tentera dengan banyak kuda dan kereta telah mengepung kota itu.

 “Apakah yang akan terjadi kepada kita?” pelayan itu bertanya. “Jangan khuatir,” kata Elisa. “Beribu-ribu orang di luar sana mungkin cuba mencelakakan kita, tetapi ada beribu-ribu lagi berhampiran yang akan melindungi kita” (13-16).

 Elisa berdoa, “Ya Tuhan, bukalah mata orang muda ini untuk melihat benda-benda yang tidak kelihatan bagi mereka yang tidak mengenalimu,” Elisa memohon Tuhan.

 Tuhan membuka mata pelayan itu dan dia melihat dan nampak bukit-bukit penuh dengan kuda dan kereta berapi sekeliling Elisa (ayat 17).

 Elisa menawan sebuah Tentera

 Sementara musuh itu turun ke arahnya, Elisa berdoa kepada Tuhan, “Butakanlah orang-orang ini.” Doa Elisa dijawab tidak lama kemudian.

 Elisa berkata kepada mereka, “Ini bukan jalannya, dan bukan kotanya. Ikutlah aku dan aku akan memimpinmu kepada orang yang kamu cari.” Lalu dia membawa mereka ke Samaria.

 “Tuhan, bukalah mata orang-orang ini agar mereka dapat melihat” Elisa berdoa.

 Tuhan membuka mata mereka dan orang Aram itu sedar bahawa mereka berada di Samaria. Tentang berpegang janjinya untuk memimpin mereka kepada dirinya, Elisa berbuat menurut apa yang dikatakannya. Dia hanya memilih tempat lain – Samaria, bukan Dotan – untuk menampakkan dirinya kepada mereka (ayat 18-20).

 Raja Israel, yang amat ghairah sekali dengan situasi itu, bertanya Elisa sama ada dia harus membunuh mereka.

 “Tidak,” jawab nabi. “Biasakah kau bunuh orang yang kau tawan dengan pedang atau panahmu? Hidangkan mereka makanan dan minuman supaya mereka boleh makan dan minum dan kembali kepada tuan mereka.”

 Raja Israel menyediakan jamuan besar untuk mereka dan sesudah mereka habis makan dan minum dia membiar mereka pulang. Lalu mereka pulang kepada tuan mereka dan orang Aram berhenti menyerang wilayah Israel (ayat 21-23).

 Bagaimanapun, selepas kira-kira setahun berlalu, Benhadad, raja Aram mula mengubah fikirannya. Dia memutuskan untuk mencuba sekali lagi untuk menakluk Israel – tetapi bukan dengan kumpulan-kumpulan penyerang kecil. Selama berbulan-bulan dia menghimpun dan melatih angkatan perang terbesar yang dapat diperolehinya daripada rakyatnya. Tenteranya bergerak mendadak dan cepat ke barat daya untuk mengepung Samaria sebelum orang Israel dapat bersedia mempertahan.

 Sementara itu, keadaannya menjadi amat serius di dalam ibu kota Israel, Samaria. Makanan begitu sedikit sekali sehingga rakyat memakan keldai, walaupun daging binatang ini tidak sesuai dimakan (Imamat 11). Tuhan telah melarang orang Israel memakan binatang haram. Malah salah satu bahagian terburuk binatang ini, kepalanya, tidak sabar-sabar dibeli dengan harga mahal setimpal berdolar-dolar atau berpaun-paun banyaknya. Benda lain yang biasanya tidak pernah digunakan sebagai makanan dijual dengan harga keterlaluan yang sama. Setiap hari masalah makanan ini bertambah buruk (2 Raja-raja 6:24-25).

 Satu pagi Yoram, raja Israel, sedang berjalan di atas tembok Samaria apabila seorang perempuan di bawah memanggil meminta tolong.

 “Jika Tuhan tidak menolong engkau, kenapa engkau mengharap aku menolongmu?” raja bertanya. Dia sudah penat mendengar sungutan. Lalu dia menambah, “Mungkin tiada gunanya aku bertanya jika kesusahanmu berkenaan makanan. Apa halnya?”

 “Aku tidak akan kelaparan sekarang ini jika seorang perempuan lain telah menepati perjanjian yang kami buat,” kata perempuan itu kepada Yoram. “Kami masing-masing mempunyai anak lelaki, dan kami bersetuju bahawa jika aku menyediakan anakku supaya kami tidak kelaparan dia akan melakukan yang sama dengan anaknya pada hari esoknya. Tetapi dia tidak. Sebaliknya, dia menyembunyikan dia” (ayat 26-29).

 Raja hampir tidak percaya bahawa kekurangan makanan di kota itu telah mula mengubah penduduknya menjadi pemakan daging manusia. Ini sesuatu yang Tuhan sudah lama nubuatkan akan terjadi kepada orang Israel dari masa ke masa jika mereka menyembah tuhan lain (Ulangan 28:15, 47-53).

 Ramai penduduk Samaria menyembah Baal. Namun menurut cara pemikiran Yoram, situasi ngeri ini adalah salah Elisa. Raja mempersalahkannya kerana nabi itu tidak melakukan apa-apa keajaiban untuk menyelamatkan kota itu dan rakyatnya. Yoram begitu susah hati sekali dengan apa yang dikatakan perempuan itu kepadanya sampai dia mengoyakkan pakaiannya.

 Sementara raja terus berjalan di atas tembok itu, rakyat memandang dan terkejut melihat bahawa di bawah jubahnya dia memakai kain kabung, lambang berkabung. Mereka tahu raja akhirnya sedar betapa teruknya sudah keadaan mereka (2 Raja-raja 6:30).

 Tetapi Yoram juga mempunyai idea lain dalam pemikirannya. “Sebab dia mengizinkan perkara jahat ini terjadi kepada ibu kotaku, aku mahu Elisa dipenggal kepala!” Yoram mengumumkan.

 Elisa sedang menetap di Samaria, dan ketika raja mula melaksanakan janji ngerinya itu, nabi itu sedang bertemu dengan beberapa orang tua-tua di tempat tinggalnya.

 “Aku tiba-tiba sedar akan satu rencana untuk mengambil nyawaku,” Elisa memberitahu mereka. “Raja, anak seorang pembunuh, juga akan menjadi seorang pembunuh dengan mengutus seseorang untuk memenggal kepalaku! Orang itu sedang berjalan ke sini sekarang, dan akan memukul pintu bila-bila saja! Jangan biar dia masuk. Tahan pintu itu! Bukankah bunyi langkah tuannya di belakangnya?”

 Setelah mengirim perajurit dan algojo untuk membunuh Elisa, Yoram memutuskan dia telah bertindak terlalu cepat. Disertai beberapa pegawainya, dia cepat-cepat pergi untuk cuba menghalang pembunuhan itu.

 Ketika Elisa masih berbicara kepada mereka raja datang kepadanya dan berkata, “Malapetaka ini datang daripada Tuhan. Buat apa aku mengharapkan Tuhan lagi?” (ayat 31-33).

 Elisa berkata, “Beginilah firman Tuhan: Banyak makanan akan tersedia bagimu menjelang waktu esok. Banyak sekali sehingga rakyat akan menjual apa yang mereka tidak perlu, dan pada harga yang sangat rendah” (2 Raja-raja 7:1).

 Salah seorang pegawai raja berkata, “Haruskah kami percaya bahawa Tuhan akan membuka tingkap-tingkap di langit dan mencurahkan makanan ke dalam Samaria?”

 “Kamu akan mempercayainya apabila kamu melihat bagaimana ini terjadi esok. Tuhan tidak senang dengan kamu sebab kamu dengan bodohnya meragui kuasaNya untuk menyediakan makanan untuk Samaria. Sebab itu, kamu tidak akan mendapat apa-apa daripadanya” (ayat 2).

 Pesakit-pesakit kusta dengan satu pesanan

 Agar penyakit mereka tidak dijangkitkan kepada orang lain, pesakit kusta tidak dibenarkan tinggal dalam kota-kota Israel. Sebab itu, mereka sering tinggal di dalam pondok-pondok di luar saja pintu gerbang supaya mereka dapat mengemis daripada orang yang lalu. Beginilah keadaannya di pintu gerbang utama Samaria. Empat pesakit kusta telah tinggal di situ selama beberapa waktu. Dengan kepungan kota itu dan penutupan pintu-pintu gerbang, mereka berempat hampir tidak dapat hidup. Malam selepas saja Elisa hampir menemui maut, pesakit-pesakit kusta ini memutuskan untuk pergi ke khemah-khemah Aram dan meminta makanan. Mereka bertimbang bahawa sekiranya orang Aram membunuh mereka, mereka akan terlepas daripada sengsara mati kelaparan dalam sehari dua (ayat 3-4).

 Sementara itu, di khemah-khemah musuh di sekeliling Samaria, suatu perkara ganjil sedang berlaku. Orang Aram seolah-olah mendengar bunyi gemuruh yang jauh dan sayup, seperti derapan tapak kaki kuda yang banyak dan deruan roda-roda banyak kereta. Bunyi itu kedengaran semakin kuat bagi mereka.

 “Israel telah mengupah tentera-tentera Het dari Asia Minor dan tentera-tentera Mesir untuk menyerang kita!” merupakan fikiran menakutkan yang menyelubungi orang Aram.

 Apabila bunyi yang diletakkan dalam fikiran mereka oleh Tuhan menjadi begitu kuat sehingga penyerang itu seolah-olah sangat dekat, orang Aram itu tiba-tiba panik. Mereka cepat-cepat lari dari khemah-khemah mereka, malah meninggalkan kuda-kuda mereka (ayat 5-7).

 Lewat malam itu empat pesakit kusta itu sampai ke pinggir perkhemahan itu dan memasuki salah satu khemah. Mereka makan dan minum dan mengambil emas, perak, dan pakaian lalu pergi dan menyembunyikannya. Mereka kembali dan memasuki satu lagi khemah dan mengambil benda-benda daripadanya dan menyembunyikannya juga.

 Kemudian mereka berkata sesama sendiri, “Daripada mengambil lebih banyak benda, kita harus mengabarkan bahawa orang Aram telah pergi sebelum orang lain mengetahuinya. Jika raja mengetahuinya daripada kita, dia mungkin memberi kita ganjaran.”

 Mereka mendapat perhatian para penjaga pintu gerbang dan memberitahu mereka bahawa orang Aram telah menghilangkan diri, dan meninggalkan segala milik mereka, termasuk lembu sapi, kuda dan keldai mereka.

 Para penjaga pintu gerbang memberitahukan berita itu dan ini akhirnya sampai ke istana. Bagaimanapun, raja percaya ini satu muslihat untuk membuat orang Israel keluar dari kota itu agar musuh, yang bersembunyi di sekeliling, dapat menyerang dan melepasi pintu-pintu gerbang (ayat 8-12).

 Seorang pegawai berkata, “Biarlah kami mengambil lima kuda terbaik yang tinggal dan memeriksa wilayah sekeliling kota. Jika kami tidak kembali dalam waktu singkat, kamu akan tahu musuh itu dekat.”

 Jadi mereka memilih dua kereta dengan kuda-kuda mereka dan raja mengutus mereka untuk menyusul tentera Aram.

 Mereka serta-merta menemui pakaian, senjata dan benda lain berselerak di atas tanah. Ini bukti jelas bahawa orang Aram itu telah lari ke arah negeri mereka. Mereka puas hati bahawa musuh mereka telah meninggalkan Israel, walaupun sebab mereka berbuat demikian dalam keadaan terburu-buru tetap suatu misteri. Jadi para utusan itu kembali dan melaporkan kepada raja. Lalu penduduk kota itu keluar dan menjarah khemah orang Aram itu (ayat 13-16).

 Raja telah menugaskan seorang pegawai untuk mengawasi pintu gerbang dan tatkala penduduk kota itu terburu-buru keluar untuk mengambil apa yang ditinggalkan orang Aram, dia terjatuh dan diinjak-injak dan dia mati. Inilah orangnya yang meragui firman Tuhan pada hari sebelumnya, dan demikianlah kita melihat pengabulan nubuatan Elisa bahawa pegawai itu tidak akan mendapat makanan yang Tuhan sediakan.

 Orang Israel mengerumuni khemah-khemah Aram, dan mengambil segalanya. Dalam waktu singkat saja segala milik musuh itu, termasuk binatang, telah dibawa ke dalam Samaria. Kota itu berpesta besar. Penduduk mendagangkan barang-barang Aram. Mereka yang tidak menjarah khemah-khemah Aram itu mampu membeli makanan pada harga-harga berpatutan daripada mereka yang telah pergi menjarah. Nubuatan Elisa bahawa banyak makanan akan datang ke Samaria dalam sehari benar-benar terjadi (ayat 17-20).

 Tanah milik perempuan Sunem

 Untuk sementara waktu penduduk Samaria mungkin lebih baik keadaannya dari segi makanan daripada ramai orang Israel. Tanaman sudah lama tidak banyak hasilnya. Orang Israel tidak mempunyai makanan cukup, dan keadaan ini berterusan selama tujuh tahun sebelum hujan yang banyak dan hasil tanaman penuh kembali ke negeri itu.

 Elisa tahu berapa lama kelaparan itu akan bertahan. Dia telah mengusulkan sesetengah pengikutnya supaya pergi ke negeri berdekatan yang lain untuk tinggal sehingga kelaparan itu berakhir. Antara mereka ialah perempuan Sunem yang anaknya telah mati dan kepadanya Tuhan, melalui nabi itu, telah memulihkan hidup.

 Kediaman dan harta milik ditinggalkan, perempuan ini dan keluarganya pergi ke Filistin untuk hidup di sana. Pada zaman itu orang Filistin tidak mengganggu Israel dengan tentera mereka. Dua bangsa ini tidak pernah betul-betul berdamai, namun penduduk kedua-dua negeri sering menyeberang sempadan yang tidak tentu tanpa kejadian buruk (2 Raja-raja 8:1-3).

 Bertahun-tahun kemudian, apabila mereka mendengar bahawa makanan berlimpahan sekali lagi di Israel, perempuan itu dan keluarganya kembali. Dia kemudiannya pergi kepada raja untuk meminta kediaman dan tanah miliknya. Mungkin tanah milik perempuan ini telah diduduki secara tidak sah atau menjadi milik raja kerana telah ditinggalkan.

 Kebetulan waktu itu Yoram ingin tahu sekali tentang masa lalu Elisa. Dia telah memanggil Gehazi, bekas hamba Elisa, ke istananya.

 “Ceritakan kepadaku segala hal besar yang Elisa pernah lakukan” dia meminta.

 Gehazi sedang menceritakan kepada raja bagaimana Elisa telah memulihkan hidup anak seorang perempuan bilamana perempuan sama itu datang menghadap raja untuk mengadu tentang rumah dan ladangnya.

 “Itulah perempuan yang anaknya Elisa selamatkan!” Gehazi berseru dengan asyiknya. Raja bertanya perempuan itu tentang hal itu dan dia menceritakan kepadanya.

 Kemudian raja menugaskan seorang pegawai untuknya dan memesannya untuk mengembalikan segala milik perempuan itu bersama-sama semua hasil ladangnya dari hari dia meninggalkan negeri itu sampai hari itu (ayat 4-6).

 Elisa dan Hazael

 Sementara itu, kepulangan tenteranya yang cepat dan dengan tangan kosong dari Samaria amat menyusahkan Benhadad, raja Aram. Dia mempunyai perasaan kuat bahawa semua yang terjadi ada pertaliannya dengan Elisa dan Tuhan Israel. Bagaimanapun, dia jatuh sakit dengan teruk pada waktu itu, dan merasakan dia mungkin mati.

 Kemudian satu hari dia diberitahu bahawa Elisa telah datang ke Damsyik, ibu kota Aram. Benhadad menjadi teruja dengan berita ini. Fikiran pertamanya ialah nabi itu boleh meramalkan apa yang akan terjadi kepadanya. Malah dia berharap Elisa boleh meminta Tuhan Israel untuk menyembuhkannya. Dia mengirim empat puluh unta untuk membawa permata-permata mahal, makanan jarang ditemui dan pakaian yang amat baik kepada nabi itu. Setiap unta itu membawa sesuatu yang istimewa agar ada pertunjukan besar untuk Elisa.

 “Sesudah kamu memberinya hadiah-hadiah itu, tanyalah daripada Elisa jika dan bila aku akan sembuh daripada penyakit ini,” Benhadad menyuruh Hazael, yang pangkatnya di bawah saja pangkat raja dalam kerajaan Aram.

 Apabila Hazael datang kepada Elisa, dia berkata, “Seperti yang engkau mungkin tahu, raja sangat sakit. Dia ingin tahu daripadamu jika dia akan mati kerana penyakit ini.”

 “Kamu boleh memberitahunya bahawa aku tahu melalui Tuhanku bahawa penyakitnya tidak akan menyebabkan kematiannya,” Elisa menjawab. “Tetapi sesuatu yang lain akan menyebabkannya mati tidak lama kemudian” (ayat 7-10).

 Hazael bingung dengan pernyataan ini. Dia juga bingung dengan tingkah laku aneh nabi itu yang berlaku tiba-tiba. Elisa berpusing daripada Hazael untuk menyembunyikan mukanya. Jelas sekali dia cuba menyembunyikan air mata yang timbul di matanya.

 “Kenapa engkau menangis?” Hazael bertanya. “Aku memikirkan hal-hal dahsyat yang kamu akan lakkan kepada orang Israel,” Elisa menjawab. “Kubu-kubu akan dibakar, orang teruna akan dibunuh, anak-anak akan dilemparkan sampai mati dan perempuan mengandung akan dibelah dengan pedang. Para perajurit Aram akan melakukan semua ini mengikut perintahmu!”

 Hazael berkata, “Bagaimana mungkin seorang yang tidak penting melakukan hal-hal besar begini?”

 “Apabila waktunya tiba, engkau akan meminta perajurit-perajurit Aram melakukan perbuatan kejam seperti itu,” nabi itu meneruskan. “Dalam beberapa hari lagi engkau akan menjadi raja Aram, dan kamu akan menggunakan kuasa raja tanpa belas kasihan atas Israel” (ayat 11-13).

 Bila Hazael kembali kepada Benhadad, raja tidak sabar-sabar untuk mengetahui serta-merta apa yang kata nabi itu tentang masa depannya.

 “Dia mengatakan kamu tidak akan mati daripada penyakitmu,” Hazael memberitahu orang atasannya.

 Tetapi hari esoknya dia mengambil kain tebal yang basah dan membentangnya atas muka raja untuk melemaskannya.

 Apabila Benhadad mati, Hazael menjadi raja, dan mengabulkan bahagian pertama nubuatan Elisa. Bahagian-bahagian ngeri lain bakal terjadi tidak lama selepas itu (ayat 14-15).

 Yoram, raja Yehuda

 Kira-kira waktu ini, di Kerabat Yehuda, seorang anak Yosafat menjadi raja. Namanya ialah Yoram, sama seperti nama rja Kerabat Israel. Isterinya Atalya ialah saudara perempuan Raja Yoram Israel dan anak perempuan Ahab dan Izebel, pemuja-pemuja Baal. Atalya kuat mempengaruhi suaminya ke arah ibadat berhala di Yehuda, sehingga rakyat didorong melakukan perbuatan jahat yang sama. Sekiranya Tuhan tidak menjanjikan Daud bahawa seseorang daripada keturunan keluarga Daud akan sentiasa menduduki takhta Yehuda, Pencipta mungkin sudah membinasakan Yehuda pada waktu ini (2 Raja-raja 8:16-19; 2 Taw. 21:5-7).

 Yosafat, bapa Yoram, mati empat tahun setelah menganugerahkan kuasa pemerintah bersama kepada Yoram.

 Yosafat mempunyai tujuh anak lelaki; dan sebelum meninggal dia menjadikan enam daripada mereka penguasa-penguasa di enam kota Yehuda. Empat tahun selepas anak sulungnya menjadi raja, pemerintah baru ini dengan kejamnya mengutus orang untuk menghapuskan kesemua enam saudaranya itu, serta beberapa orang penting lain di Yehuda (2 Taw. 21:1-4). Selain merupakan seorang yang berbahaya dan buruk akhlak, Yoram mencurigai orang lain yang mempunyai kuasa. Dia tidak mahu ditentang, dan dia menimbang bahawa mereka yang mungkin mengancamnya harus dihapuskan.

 Ketika pemerintahan Yoram, orang Edom, yang selama ini membayar ufti kepada Yehuda sejak zaman Salomo, enggan membuat apa-apa lagi bayaran. Mereka juga menentukan raja mereka sendiri. Bagi Yoram, ini merupakan alasan untuk perang, jadi dia membawa ramai perajurit berjalan kaki, kereta dan tentera berkuda ke Edom. Orang Edom mengepungnya dan para panglima pasukan keretanya tetapi tidak berjaya. Sehingga hari ini Edom memberontak terhadap Yehuda.

 Keadaan menjadi lebih buruk bila negeri Libna juga berhenti mengirim ufti kepada Yehuda. Libna memberontak sebab Yoram telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyangnya. Dia juga telah menyesatkan orang Yehuda dan menyebabkan mereka berdosa dengan menyembah tuhan-tuhan palsu (2 Raja-raja 8:20-22; 2 Taw. 21:8-11).

 Elia mengingatkan Raja

 Suatu hari seorang utusan datang ke istana untuk menyampaikan sepucuk surat kepada raja, dijangka daripada nabi Elia. Inilah apa yang dibacanya:

 “Beginilah firman TUHAN, Allah Daud bapa leluhurmu: Engkau telah memilih untuk hidup seperti raja-raja Kerabat Israel yang sukakan pagan daripada raja-raja Kerabat Yehuda yang takutkan TUHAN. Engkau telah membuat rakyatmu hidup dengan cara yang sama.

 “Sebab ini, dan sebab engkau membunuh saudara-saudaramu, yang lebih baik sifat dan kebolehan mereka daripadamu, kesusahan dan penyakit dahsyat akan menimpa rakyatmu. Kesengsaraan akan menyusul isteri-isterimu dan anak-anakmu. Harta dan milikmu akan dirampas daripadamu. Engkau akan menjadi semakin sakit dalam ususmu. Hari demi hari engkau akan menderita sampai bahagian dalaman tubuhmu menjadi begitu berpenyakit sehingga terkeluar. Hari itu engkau akan mati, dan ini tidak lama lagi” (2 Taw. 21:12-15).

 Dia mungkin cuba melupakan buah fikiran bahawa Elia, yang telah diangkat dengan ajaibnya dalam angin badai beberapa tahun sebelumnya (2 Raja-raja 2:1-8), masih hidup dan tahu akan kejahatannya. Namun kalaupun dia mempunyai apa-apa rasa takut Yordam tidak mengubah cara hidupnya yang tidak baik itu.

 [Nota: teks 2 Taw. 21:12-15 berkenaan surat daripada Elia ini tidak ditemui dalam teks sejajar 2 Raja-raja 8. Ini juga satu-satunya sebutan tentang Elia dalam Tawarikh. Lihat juga penjelasan Bullinger dalam nota kaki kepada ayat 12 dalam The Companion Bible. Tulisan itu jelas sekali teks nubuatan yang ditulis pada masa lalu oleh Elia untuk disampaikan pada waktu tepat ini. Nabi-nabi yang menyampaikannya tidak disebut (ed.)].

 Hukuman Tuhan

 Segala kesusahan Yoram yang diramalkan bermula satu hari apabila Tuhan membangkitkan perseteruan orang Filistin dan orang Arab terhadapnya. Mereka menyerang Yehuda dan membawa pergi semua harta benda di dalam istana raja, bersama dengan anak-anaknya dan isteri-isterinya. Tidak seorangpun anaknya yang tinggal baginya kecuali Yoahas, anaknya yang bongsu (2 Taw. 21:16-17).

 Sesudah ini Tuhan menulahinya dalam ususnya dengan penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Lama kelamaan, pada akhir dua tahun, ususnya keluar kerana penyakitnya itu, dan dia mati dalam keadaan amat sengsara.

 Disebabkan cara hidupnya yang kejam dan kelalaiannya terhadap kesejahteraan bangsanya, Yoram tidak popular dengan rakyatnya. Dia dikuburkan di Yerusalem, tetapi bukan di tempat penguburan raja-raja, dan bukan dengan upacara hormat yang biasa (2 Raja-raja 8:23-24; 2 Taw. 21:17-20).