Mazmur ke 23 mungkin merupakan salah satu daripada mazmur Alkitab yang paling dikenali dan dinyanyikan. Terdapat 2 aspek karya ini yang menarik perhatian kita.
Pertama, bahawa Yesus Kristus merupakan gembala yang baik itu, dan kedua, aplikasi-aplikasi kata-kata tersebut kepada suatu kawanan domba sebenar. Daud, penulis mazmur ini, merupakan seorang gembala sewaktu zaman mudanya, jadi dia memang boleh mempersembahkan fakta-faktanya dengan cara yang cukup meyakinkan. Daud telah disebutkan sebagai “raja gembala” Israel, dan dia akan ditakhtakan sekali lagi di dalam kedudukan itu semasa pemerintahan Milenium Yesus Kristus iaitu Gembala Besar kita. (Yehezkiel 34:23).
Pada negeri-negeri tertentu, kawanan domba itu kecil sahaja dan gembalanya memang cukup kenal dengan setiap dan semua binatang yang dijaganya. Sama seperti Kristus yang sedar akan setiap kelemahan serta kekuatan kawanan domba yang di bawah penjagaannya itu.
Daud memulakan mazmurnya itu dengan mengatakan bahawa yahovah adalah gembalanya, dan YHVH ini adalah Tuhan atau Elohim Israel, yang diberi kuasa oleh Tuhan Bapa (Ulangan 32:8,9). Kawanan domba (Lukas 12:32) di bawah penjagaan Yesus Kristus itu telah diberikan kepadanya oleh Bapanya (Yohanes 10:29, 17:6).
Kenapakah ianya suatu kehormatan untuk menjadi salah satu daripada domba di dalam kawanan domba Kristus? Kerana Kristus adalah permulaan penciptaan Tuhan (Wahyu 3:14), yang sulung daripada penciptaan (Kolose 1:15). Dia memiliki keunggulan melebihi semua yang lain, yang diberikan kepadanya oleh Tuhannya dan Bapa Dia, yang juga merupakan Tuhan kita dan Bapa kita (Yohanes 20:17). Allah Bapa telah memanggil kita dan memberikan kita kepada AnakNya, Yesus Kristus (Yohanes 6:44).
Oleh itu, Gembala kita adalah seorang yang istimewa. Kambing domba adalah binatang yang memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan, dan Daud selaku seorang gembala, sanggup membahayakan dirinya demi kawanan domba bapanya. Gembala kita Kristus telah memberikan nyawanya untuk kita (Yohanes 10:11).
Jadi, dengan gembala sebegitu, kita tidak perlu takutkan apa-apa. Dia cukup berkuasa untuk menjaga kita di dalam setiap saat kehidupan kita, sewaktu masa-masa yang sukar, atau masa-masa yang makmur, dan keyakinan serta kepuasan kita terletak pada pengetahuan bahawa dia menguasai kehidupan kita.
Bagi domba, agar dapat berehat dengan tenang di padang (“membaringkan aku di padang yang berumput hijau”), mereka haruslah bebas daripada ketakutan, kelaparan, parasit-parasit yang mengacau, serta perselisihan dengan domba-domba yang lain. Begitu juga, dengan meletakkan segala kerunsingan serta ketakutan kita pada tapak kaki gembala kita, kita mendapat rehat dari segi ketenteraman rohani. Di dalam kawanan yang dimiliki Kristus, mungkin terdapat ketegangan kerana persaingan, ataupun adanya anggota-anggota yang berebut-rebut mendapatkan status atau kuasa. Ini tidak harus terjadi, kerana kehidupan kita di dalam kawananNya haruslah bercirikan pelayanan kepada yang lain (Lukas 22:26). Kristus mempamerkan diriNya sebagai pelayan ketika berada di dunia (Matius 20:28).
“Padang berumput hijau” bagi seseorang anggota kawanan Kristus disediakan di dalam akal fikiran kita melalui pekerjaanNya yang memecahkan ketidakpercayaan yang keras, mencabut sebarang akar-umbi kepahitan, memecahkan hati kita yang angkuh dan membawakan suatu keinsafan yang membolehkan Dia menanamkan kasihNya serta Firman Tuhan. Kemudiannya barulah kita dapat memakan di “padang rumput hijau”.
Apabila seseorang gembala di dalam kawasan Israel membawa kawanan dombanya untuk minum, biasanya dia terpaksa membuat suatu empangan kecil air, atau mengisi palung untuk binatang peliharaannya itu, agar mereka dapat minum daripada air yang tenang, tanpa takut. Mereka tidak suka minum daripada air yang berarus deras, dan ianya merbahaya bagi mereka untuk menuruni cerun-cerun curam sesuatu kubang air.
Kristus mempelawa kita untuk minum daripada “sumber air yang hidup” – iaitu Roh Kudus. Kita seharusnya tidak minum daripada sumber air yang berlumpur, tercemar dan berpenyakit milik roh dunia ini yang diperintah oleh Iblis.
Mungkin kita tertanya-tanya kenapa Yesus perlu memulihkan sebarang jiwa, jika kita adalah kawanan dombaNya. Namun seperti kambing domba, kita cenderung merantau dan boleh tersesat, atau keliru dan berada di dalam bahaya. Oleh itu, seperti seorang gembala yang mencari seekor dombanya yang hilang, begitu juga Kristus mencari dia yang terpesong, dan memimpin dia kepada pertaubatan dan dengan itu membawa dia pulang.
Di dalam budaya-budaya Timur Tengah, kambing domba dipimpin oleh gembala mereka, yang mencari jalan yang betul untuk domba-domba itu ikut. Jika dibiarkan sendirian, disebabkan sifat semulajadi mereka, mereka akan hanya menggunakan satu jalan saja sehinggalah jalan itu rosak, meragut rumput dengan berlebihan sehingga kawasan itu ketandusan, serta mencemari padang dengan najis-najis mereka.
Kristus, selaku gembala kita yang bijaksana, membawa kita mengikut jalan ke arah kehidupan kekal. Kita cenderung mengikut jalan-jalan kita sendiri yang membawa kepada maut (Amsal 14:12). Kita sering terjerat di dalam hanya satu aspek pembelajaran Alkitab, dan kita perlu dipimpin kepada pelbagai ‘padang-padang’ Alkitab yang baik. Jadi Kristus “berbicara” dengan kita melalui firmanNya, melalui Roh Kudus, dan kawanan dombaNya “mengenali suaranya”. (Yohanes 10:1-5).
Gembala di Timur Tengah kadangkala perlu membimbing dombanya melalui lembah merbahaya untuk sampai ke padang yang lebih baik di kawasan tanah tinggi. Namun dia tetap bersama mereka, memimpin, membimbing, menjaga dan melindungi. Begitu juga dengan Yesus, dia membimbing kita melalui masa-masa kesukaran, dan kadangkala maut menjelang, dan dia membawa kita kepada suatu pemahaman dan pengalaman Kekristianan yang lebih tinggi. Dia membimbing kita “melalui lembah kekelaman” atau sepertimana Kisah 14:22 katakan “mengalami banyak sengsara” dsb. Masa-masa inilah khususnya kita perlu dekat kepada gembala kita dan mendengar serta giat berpegang pada suaranya.
Kehadiran Kristus di dalam hidup kita, yang membantu kita untuk “tidak takut bahaya”. Seperti domba yang berkelompok bersama bagi perlindungan terhadap serigala, anjing, beruang, atau singa, begitu juga dengan kita selaku kawanan domba milik Kristus haruslah berkumpul padaNya untuk menahan serangan-serangan musuh kita iaitu Iblis.
Gembala membawa gada dan tongkatnya bersama apabila mendahului kawanan dombanya itu. Dia menggunakan gadanya untuk melindungi dirinya serta dombanya; ianya senjata pertahanan. Gada Kristus adalah firman Tuhan. Dia menggunakannya di dalam perlawanannya dengan Iblis di gurun, dan kita boleh menggunakannya sebagai suatu kuasa yang jelas di dalam hidup kita masing-masing. Ianya digunakan sebagai suatu gada untuk memeriksa sebarang “kecacatan”, “penyakit”, dan “luka” di dalam kehidupan kita, yang merupakan sikap-sikap dalaman, tujuan serta motif kita. (Mazmur 139:23, 24; Wahyu 2:23).
Tongkat pada tangan gembala mewakili bimbingan dan belas kasihannya, mempergunakan cangkuk tongkat untuk menarik kambing atau domba kepadanya. Dia juga boleh gunakannya untuk menolak domba untuk membimbingnya mengikut jalan yang betul.
Dengan menggunakan Roh Kudus daripada Tuhan Bapa, melalui Kristus, kita ditarik memasuki suatu hubungan yang rapat, dan dipimpin di dalam jalan kita. (Yohanes 16:7; Yesaya 40:11)
Si gembala akan memastikan tidak ada rumput-rumput beracun atau ular, dan menyediakan suatu tempat bagi kawanannya makan dengan selamat. Kita perlu berjaga-jaga agar tidak “memakan” rumput-rumput beracun (doktrin palsu) dan memastikan bahawa sikap kita tidak meracuni firman Tuhan yang tulen. Kristus, melalui firman itu, menunjukkan kepada kita apa yang sepatutnya kita makan.
Apabila domba dipimpin kembali ke kandang pada waktu petang, melalui tempat masuk yang sempit, gada digunakan untuk membelah-bagikan bulu domba, dan sebarang luka atau sakit akan dirawat. Kambing yang kepenatan akan dilayani dengan penuh prihatin, dengan muka serta telinga mereka digosokkan dengan minyak zaitun dan air minum diberikan kepada mereka. Gembala itu bertindak sebagai pintu untuk memasukkan dombanya satu demi satu. Dan memeriksa mereka. Kristus adalah pintu masuk (Yohanes 10:7-9).
Pengurapan dengan minyak, serta kemurahan hati dan belas kasihan gembala itu terhadap domba-dombanya sememangnya tidak perlu dihuraikan lagi persamaannya dengan Kristus yang mengasihi domba-dombaNya, serta kemasukan kita ke dalam Kerajaan Tuhan melalui Kristus, pintu itu.
Sebagai hasilnya, kita haruslah membawakan kasih dan belas kasihan, serta keprihatinan kepada orang lain, dan dengan itu memberikan mereka kepuasan dan ketenteraman dan kasih.
Kemudiannya sepertimana kambing domba yang masuk dengan selamat ke dalam kandang, kita juga menunggu-nunggu masa itu apabila kita tinggal bersama dengan Tuhan dan Yesus di dalam rumah Tuhan selamanya. Apabila kita mengikuti suara gembala kita (Yohanes 10:3-14) maka kita akan perolehi damai sejahtera serta kepuasan yang hanya dapat diberikan Tuhan dan Kristus, yang merupakan Gembala BaikNya.