Konsep Yesus Kristus sebagai roti hidup dan yang harus dimakan, sukar untuk difahami orang, kerana fikiran mereka tertumpu kepada hal-hal fizikal (Yohanes 6:24-63). Ramai orang yang mengikut Kristus kerana kebaikan-kebaikan fizikal yang dia berikan. Nyawa Kristus diberikan bagi mengembalikan seluruh penciptaan kepada Allah Bapa. Dengan memakan tubuh Kristus secara rohani pada waktu Paskah, kita menyimpan Roh Kudus yang memimpin kita kepada hidup kekal.
Makanan kita juga seharusnya adalah melakukan kehendak Bapa (Yohanes 4:34). Jika kita menerapkan akal fikiran Kristus dan hidup sesuai dengan ini, kita juga akan dapat mencapai kudrat ilahi itu (2Petrus 1:4 dan seterusnya). Kehidupan rohani kita terikat kepada kehidupan Mesias selaku umat terpilih, suatu keimamatan yang mempersembahkan korban-korban rohani yang diterima Tuhan (1Petrus 2:4).
Kewujudan kemanusiaan kita ini adalah sementara, wujud hanya untuk mengajar kita akan tanggungjawab-tanggungjawab kerajaan Tuhan. Tuhan ingin agar kita tumpukan perhatian kepada hal-hal rohani (Roma 8:6-13).
Kristus telah menyerahkan hidupnya demi menurut Tuhan. Kita haruslah mengorbankan sikap-sikap daging kita demi mengalahkan dosa. Hidup demi kebenaran lazimnya melibatkan penderitaan (1Petrus 2:24).
Israel kuno dibawa keluar daripada Mesir sebagai umat yang bersatu, diberikan mana sebagai makanan demi suatu keselamatan fizikal. Ajaran-ajaran yang terterap di dalam Paskah mengajar kita apa ertinya pendamaian dengan Tuhan dan kesatuan antara satu sama lain. Kesatuan antara kita ini memerlukan sifat berkorban di dalam kehidupan kita, melepaskan sikap tinggi diri, prejudis, keinginan-keinginan serta cita-cita peribadi. Tugasan daripada Yesus Kristus adalah menjadikan murid-murid dari semua bangsa. Kita tidak berkuasa menentukan siapa yang patut diletakkan di dalam tubuhnya, iaitu jemaat. Kita hanya boleh bezakan mereka yang di dalam tubuh ini melalui hakikat bahawa mereka berbicara sesuai dengan hukum dan kesaksian itu (Yesaya 8:20).
Pada waktu Perjamuan Suci apabila kita memakan roti itu, kita sebenarnya menyatakan bahawa kita adalah sebahagian daripada tubuh Kristus, iaitu menyetujui kebenaran yang diajarkan di dalam jemaat itu. Kepingan roti yang kita makan melambangkan pendamaian kita dengan Tuhan serta pengambilan bahagian di dalam organisme rohani singular itu, jemaat, melalui Roh Kudus. Juga ianya menyatakan persahabatan kita sesama sendiri. Kristus tidak terbahagi. Dia menyerahkan hidupnya agar kita dapat menjadi suatu keluarga yang bersatu.
Roti Perjamuan Suci mempunyai pelajaran khusus berkenaan kesatuan yang ingin Tuhan bangunkan di dalam kita. Kristus memilih roti untuk melambangkan tubuhnya dan jemaat. Ianya sebahagian daripada makanan asas penduduk dan merupakan tanda kemesraan. Dengan memakan roti itu, seorang tetamu terikat kepada tuan rumah yang melayaninya. Juga seorang hamba yang memakan roti tuannya terikat untuk menyuarakan kata-katanya (1Raja-raja 18:19). Satu contoh bagi ini adalah para imam yang makan di meja Izebel. Mereka terikat kepada sistem agama palsunya dan mengajar kerana duit, yang dikutuk Tuhan (Mikha 3:11).
Gandum, dari mana roti dibuat, lazimnya digunakan bagi melambangkan manusia di dalam rencana keselamatan Tuhan (Yakobus 1:18). Hasil-hasil sulung tuaian dijadikan roti-roti suci di dalam khemah suci bait itu. Kristus melambangkan unjukan berkas bagi tuaian jelai pertama dan umat Tuhan mewakili tuaian gandum pada waktu Pentakosta. Alkitab menggambarkan dunia sebagai suatu ladang gandum (Matius 13:24-51). Umat-umat Kristian sebenar adalah gandum yang tumbuh di antara lalang-lalang.
Gandum juga menggambarkan kebangkitan orang mati (1Korintus 15:35-42). Roti adalah struktur gabungan, seperti juga pelbagai jenis orang yang membentuk tubuh Kristus. Kepelbagaian tersebut seharusnya menguatkan mereka sesama sendiri, dengan menggunakan karunia-karunia mereka yang berbeza untuk melayan serta membangunkan satu sama lain (Roma 12:6-8).
Ragi di dalam roti melambangkan roh. Kita harus singkirkan ragi lama kebencian dan kejahatan. Roti tidak beragi pada waktu Paskah melambangkan keikhlasan serta kebenaran (1 Korintus 5:8). Ragi yang baru adalah Roh Kudus, yang dilambangkan oleh roti-roti pada waktu Pentakosta. Roh salah yang terdiri daripada sikap suka berlawan, sombong, megah dan benci membahagikan serta memecah-belahkan umat. Kita haruslah ‘menyingkirkan ragi’ sikap-sikap yang merosakkan ini daripada kehidupan kita, agar kita lebih rapat lagi sesama sendiri sebagai suatu jemaat dan di dalam perhubungan kita dengan semua orang.
Roti adalah tepung yang dicampurkan dengan air untuk membuat adunan. Air di dalam tubuh Kristus adalah Roh Kudus (Yohanes 7:37-39). Sambil kita meminum roh ini, ia meliputi seluruh diri kita dan mengubah fikiran serta sifat kita, lalu mengikat kita bersama. (1Korintus 12:12-13). Minyak juga mewakili Roh Kudus. Ianya digunakan di dalam pembuatan roti untuk menghasilkan tekstur dan kelicinan. Umat di dalam jemaat Tuhan haruslah mempunyai harmoni yang berjalan licin di dalam perhubungan mereka antara satu sama lain. Hasil muktamad kepada memiliki roh Tuhan adalah kasih ‘agape’, suatu kasih ilahi yang menunjukkan keprihatinan terhadap orang lain; suatu kasih berkorban terhadap orang lain. Apabila kita menemui orang lain yang telah dibaptiskan dan mempunyai kepercayaan yang sama, janganlah kita lepaskan peluang untuk berkumpul bersama untuk menyembah dan menjalinkan persahabatan. Kita bekerja bersama untuk menunjukkan bahawa kita adalah sebahagian daripada tubuh itu. Buah-buah sifat Tuhan yang terhasil di dalam diri kita, membantu kita untuk diam bersama di dalam kesatuan. Apabila kita prihatin serta melayani saudara-saudari kita dengan baik hati, kerendahan diri serta belas kasihan, kita akan jadi satu roti.
Garam di dalam roti Kristus menandakan semangat atau keghairahan terhadap jalan-jalan Tuhan (Markus 9:50; Matius 5:13). Apabila kita memakan roti pada Perjamuan Suci, kita menyatakan kepada Tuhan bahawa kita telah kenali jemaat sebagai tubuh Kristus, dan sebagaimana roti adalah satu, kita juga telah memutuskan untuk bersatu dengan anggota-anggota lain di dalam tubuh Kristus, sehinggalah menjadi satu dengan Tuhan bagi Dia menjadi semua di dalam semua.
Marilah kita berusaha untuk menjadi satu roti, satu tubuh!