Christian Churches of God
063z

Ringkasan: Komentar Mengenai Ester

(Edisi 2.0 19940824-20000122)
Implikasi-implikasi yang terkandung di dalam buku Ester mempunyai signifikan yang besar bagi agama Kristian moden.
Christian Churches of God
PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

(Hakcipta © 1994, 1998, 2000 Wade Cox)
(Tr. 2003)

This paper may be freely copied and distributed provided it is copied in total with no alterations or deletions. The publisher’s name and address and the copyright notice must be included.  No charge may be levied on recipients of distributed copies. Brief quotations may be embodied in critical articles and reviews without breaching copyright.

This paper is available from the World Wide Web page:
http://www.logon.org and http://www.ccg.org

Ringkasan: Komentar Mengenai Ester

Ini merupakan suatu kisah indah mengenai seorang perempuan yang telah menjadi seorang ratu, dan telah menyelamatkan kesemua umatnya. Ianya juga adalah mengenai Jemaat Tuhan, Kristus, Allah yang Mahakuasa dan pemerintahan milenium Kerajaan Tuhan.

Tuhan tidak disebut di mana-mana. Kuasa Tuhan dilaksanakan di bawah identiti Raja Persia, Ahasyweros. Hukum-hukumnya tidak berubah, seperti juga Hukum-hukum Tuhan.

Ester 1:1 memperkenalkan Ahasyweros, yang juga merupakan raja Artahsasta yang telah memerintah sesudah Darius 1 (Ezra 4 dan karya-karya berkaitan).

Apabila raja itu mengadakan majlis selama 180 hari isterinya Wasti menolak perintah daripada raja untuk memperlihatkan dirinya kepada para tetamu yang hadir. Konsepnya adalah bahawa dia serta para pelayannya, selaku para wanita pilihan raja, mewakili Israel yang dipilih oleh Tuhan berbeza daripada bangsa-bangsa yang lain. Jemaat juga adalah seorang perempuan. Maka begitulah Israel telah menolak pelawaan Tuhan, dan memberontak.

Haman, seorang watak utama di dalam cerita tersebut adalah orang Agag dan Agag merupakan seorang bangsa Amalek; suatu bangsa yang menjadi musuh lama kepada orang-orang Israel. Jadi dia dilihat sebagai Iblis, musuh itu, yang ingin menghapuskan umat Tuhan.

Maka Wasti telah diadili melalui hukum, dan seorang perempuan lain harus ditemui untuk menggantikannya melalui dekri raja. Di dalam Ester 2:1 raja itu mengingati Wasti. Konsepnya adalah Tuhan tidak melupai umatNya Israel, sungguhpun kita telah memberontak.

Ramai perempuan telah dikumpulkan dari serata tempat di dalam kawasan jajahan raja itu, dibawa ke istana dan disediakan untuk pertemuan dengan raja. Dalam ertikata lain,

orang-orang dari setiap bangsa dipanggil (bukan saja orang Israel) untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Tuhan. Mereka diberikan makanan dan keperluan untuk bersedia. Makanan di sini melambangkan firman Tuhan dan pengetahuan Hukum Tuhan melalui Roh Kudus.

Diperkenalkan pula Mordekhai, orang Yahudi yang merupakan bapa saudara kepada Ratu yang dipilih, Ester. Dia telah menjadi penjaga, pembimbing dan pelindung kepadanya kerana dia tidak mempunyai ayah ataupun ibu, sama seperti Kristus yang menjaga Jemaat, di mana keturunan tidak dikira di dalam pemilihan ke dalam keimamatan Melkisedek.

Harus diperhatikan bahawa Mordekhai adalah keturunan Saul, anak kepada Kish yang bertanggungjawab, melalui belas kasihannya terhadap Agag, terhadap kelahiran Haman yang membenci Mordekhai. Perbuatannya itu membawa akibatnya beratus tahun kemudian, apabila seluruh umat Yahudi menghadapi ancaman pembunuhan beramai-ramai dan melalui perintah seorang bangsa Agag/Amalek.

Ketika Ester dipanggil kepada raja, dia tidak memerlukan apa-apa lagi selain daripada apa yang diterimanya sewaktu persediaannya untuk menjadi pengantin. Jemaat adalah pengantin Kristus dan kita diberikan segalanya yang diperlukan bagi keselamatan kita.

Ester tidak menyatakan bangsanya kepada raja mahupun rakyat. Dia taat kepada arahan-arahan Mordekhai – sepertimana Jemaat menuruti Kristus. Justeru itu, hubungan mereka tidak diketahui, sebagaimana hubungan penuh umat-umat pilihan terhadap sesama sendiri tidak diketahui. Sebahagian besar daripada Jemaat, iaitu Israel rohani, tetap tersembunyi hinggalah hari-hari terakhir, agar umat-umat pilihan dapat dibawa keluar perlahan-lahan selama masa berlalu, dengan perlindungan. Mordekhai mengawasi Ester setiap hari, seperti Kristus yang sentiasa meninjau keadaan JemaatNya.

Semasa hari-hari tersebut, Mordekhai telah membongkar suatu pemberontakan di istana dan pengkomplot-pengkomplotnya telah ditangkap dan digantung. Ini mewakili pemberontakan di kalangan angkatan surgawi bagi dua kerub yang menutupi itu.

Juga raja telah menaikkan pangkat Haman, seorang hamba Iblis, yang disamakan dengan Iblis, dan kemudiannya dipanggil sebagai musuh. Semua orang diwajibkan menghormati Haman, serta tunduk kepadanya. Mordekhai tidak berbuat begitu. Konsep ini membawa kita kepada pertempuran di padang belantara, di mana Kristus enggan tunduk kepada Iblis, sungguhpun Iblis telah diletakkan pada kedudukan itu oleh Tuhan.

Haman membenci Mordekhai dan membuat rancangan untuk membunuh, bukan saja Mordekhai, tetapi juga seluruh Yehuda di dalam negara itu.

Kenapa? Kerana mereka berpegang pada Hukum Tuhan, yang sememangnya bertentangan sepenuhnya kepada hukum Iblis, yang memerintah dunia. Ini merupakan suatu percubaan Iblis untuk membunuh seluruh bangsa itu, bagi menghalang kelahiran Mesias melalui keturunan Daud.

Mordekhai memakai kain kabung dan abu dan pergi ke pintu gerbang raja. Dia tidak boleh mendekati raja dengan pakaian sebegitu. Ini menggambarkan manusia fana (sepertimana yang Kristus jadi), dan tiada seorangpun yang dapat datang ke hadapan Tuhan sebagai seorang manusia. “..daging dan darah tidak mendapat bagian dalam Kerajaan Allah..” (1Korintus 15:50).

Mordekhai menyuruh Ester untuk mendekati raja dan membuat rayuan untuk umatnya. Ini membayangi Jemaat yang bersedia untuk menghampiri takhta kasih karunia di dalam doa. Namun dia tidak boleh mendekati raja tanpa dipanggil. Setelah dipanggil, Jemaat boleh memasuki Tempat Mahakudus itu untuk mengantara bagi setiap umat.

Mordekhai mengingatkan bahawa tiada tempat selamat bagi Ester sebagai seorang Yahudi, walaupun di dalam istana. Jika dia tidak pergi, seorang yang lain akan ditemui untuk masuk ke dalam dan “mungkin justru untuk saat yang seperti ini engkau beroleh kedudukan sebagai ratu.” (Ester 4:14). Begitu juga, kita tidak tahu masanya apabila panggilan kita penting bagi keselamatan ramai orang.

Selepas tiga hari berpuasa dan berdoa oleh Ester dan para pelayannya, serta kesemua orang-orang Yahudi di dalam kota itu, dia memasuki pintu itu dan telah diterima oleh raja, yang menghulurkan tongkat emasnya kepada dia. Melalui pengorbanan Kristus kita boleh memasuki Tempat Mahakudus dan diterima.

Raja bermurah hati dengan Ester, dan bertanya permintaan-permintaannya. Dia meminta agar raja dan Haman datang kepada perjamuannya selama dua hari. Ini mewakili dua perjamuan perkahwinan, pada kebangkitan pertama dan kedua. Pada kali kedua kita juga menangani hal penghakiman angkatan yang telah jatuh.

Haman dipenuhi kebanggaan dan keangkuhan kerana jemputan-jemputan ini dan merancang untuk menggantung Mordekhai pada hari keduanya. Maksudnya jemputan-jemputan ini adalah bahawa Jemaat (Ester) menangani musuh-musuhnya mengikut permintaan.

Raja membaca mengenai pendedahan komplot pembunuhan itu oleh Mordekhai, dan mengingini untuk memberi penghormatan kepada Mordekhai, dan memilih Haman untuk menjalankan upacara-upacaranya. Ini benar-benar memalukan bagi Haman yang membenci Mordekhai. Mordekhai dipakaikan dengan pakaian raja, dan menunggang kuda raja. Dalam kata lain, dia diperlakukan seperti raja, dan menunggangi kuasa raja. Ini merupakan kedudukan yang diberikan dan bukan sedia dari lahir.

Maka Haman (Iblis) telah digantikan oleh Mordekhai (Kristus) sebagai Bintang Fajar planet ini. Iblis terpaksa mengakui hakikat ini, dan kemarahannya melampaui batas.

Pada perjamuan kedua itu Ester menyangkal Haman sebagai musuh kepada bangsanya. Dia mewakili Iblis yang ingin memusnahkan Jemaat sebagai kuasa rohani dan menggulingkan Tuhan, serta memerintah alam semesta ini.

Mordekhai mengambil alih harta milik Haman, iaitu Kristus menjadi Bintang Fajar dan pemerintah planet ini dan Jemaat bersama-samanya.

Haman telah digantung dengan tali gantungnya sendiri – sesuatu yang ingin diperlakukannya kepada Mordekhai. Maka yang jahat dibalas dengan perbuatan mereka sendiri.

Seluruh perlantikan dan kematian 10 anak Haman merupakan dekri-dekri raja – iaitu kehendak Tuhan. 10 orang anak haman mewakili konsep sistem empirikal pada zaman akhir. Jemaat berhadapan dengan sistem ini sehingga akhir.

Surat-surat dihantar ke seluruh wilayah, memberikan kebenaran kepada orang-orang Yahudi untuk berlawan bagi mempertahankan diri mereka terhadap kuasa-kuasa yang telah disediakan oleh Haman. Begitu juga, kita bersedia bagi peperangan-peperangan zaman akhir. Kristus akan kembali sebagai Raja Mesias dengan pedang Kebenaran di atas kuda kuasa Tuhan.

Tiada sedikitpun daripada sistem Iblis yang akan dibawa masuk ke dalam Milenium, seperti yang dilihat daripada bagaimana orang-orang Yahudi tidak menyentuh sebarang barang rampasan (Ester 9:15,16).

Bab akhir Ester menetapkan penundukan penuh Kristus, sebagai Mordekai, sebagai yang kedua kepada raja – iaitu Tuhan.

Cukai bait suci pada Hari Pendamaian diperkenalkan semula, yang mana manusia membayarnya, dan dimasukkan ke bawah Kerajaan Tuhan dan keselamatan dilanjutkan kepada semua orang di bawah pembayaran cukai ini.

Maka begitulah, buku Ester mempunyai maksud alegori yang besar dan menunjukkan seluruh struktur itu melalui bagaimana Kristus dan Jemaat muncul bersama-sama demi menyelamatkan planet ini.