Lukas 9:59-62 59 Lalu Ia berkata kepada seorang lain: “Ikutlah Aku!” Tetapi orang itu berkata: “Izinkanlah aku pergi dahulu menguburkan bapaku.” 60 Tetapi Yesus berkata kepadanya: “Biarlah orang mati menguburkan orang mati; tetapi engkau, pergilah dan beritakanlah Kerajaan Allah di mana-mana.” 61 Dan seorang lain lagi berkata: “Aku akan mengikut Engkau, Tuhan, tetapi izinkanlah aku pamitan dahulu dengan keluargaku.” 62 Tetapi Yesus berkata: “Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah.”
Pernyataan ini nampaknya agak keras bagi ramai orang, namun Kristus sedang berbicara dengan seseorang yang telah dipelawanya untuk masuk ke dalam pelayanan. “Ikutlah aku”, Yesus berkata.
Tidak ramai orang di dalam sejarah yang telah menyahut panggilan ini. Dunia secara keseluruhannya adalah “mati” di dalam pelanggaran-pelanggaran serta dosa-dosanya, tetapi Tuhan, Bapa itu, memanggil keluar segelintir orang untuk dijadikan “hidup” (Efesus 2:1).
Umat-umat pilihan dipanggil keluar daripada “mati” kepada “hidup” untuk menjalani suatu kehidupan pelayanan dan dedikasi di dalam pengabaran injil (khabar baik) mengenai Kerajaan Tuhan yang akan datang.
Lukas 9:62 62 Tetapi Yesus berkata: “Setiap orang yang siap untuk membajak tetapi menoleh ke belakang, tidak layak untuk Kerajaan Allah.”
Ini bermaksud bahawa seseorang yang telah dipanggil untuk melaksanakan pekerjaan Tuhan haruslah kekal meneruskan pekerjaan tersebut, kerana telah dijadikan hidup untuk melakukannya. Jika dia menoleh ke belakang, melupai panggilannya itu dan kembali kepada kehidupan dahulunya yang penuh pelanggaran dan dosa, maka dia menjadi “mati” semula dan tidak berguna lagi bagi pekerjaan itu. Oleh itu, setiap orang yang dipanggil haruslah berpegang pada panggilannya itu.
Umat-umat pilihan telah dibuka fikiran mereka, oleh Roh Kudus, kepada rahsia-rahsia firman Tuhan, kepada suatu pengetahuan tentang rencana Tuhan untuk manusia. Rencana ini tergaris di dalam Perayaan-perayaan Tuhan, dan hanya melalui penurutan Hukum-hukum Tuhan dan pemeliharaan Perayaan-perayaanNya (Imamat 23) barulah rencana itu boleh difahami. Ianya penyembahan berhala untuk memelihara perayaan-perayaan yang kononnya milik Kristian, tetapi tidak menunjukkan rencana Tuhan. Ini merupakan ketidaktaatan terhadap Tuhan dan HukumNya, dan membuatkan seseorang itu berdosa menyembah berhala, iaitu keadaan “mati” yang disebutkan itu.
Tuhan memanggil umat-umat pilihanNya secara berperingkat-peringkat sepanjang abad-abad, dan dengan itu mengasingkan mereka yang “hidup” daripada yang “mati”. Kita memperkatakan tentang “kehidupan” dan “kematian” rohani. Golongan Farisi pada zaman Kristus adalah “mati”, kerana mereka telah menyisihkan perintah-perintah Tuhan dan sebaliknya berpegang pada tradisi-tradisi manusia (dan mengajar tradisi-tradisi ini sebagai doktrin) serta mencemari Hukum yang telah diberikan kepada Musa di Sinai, dengan memasukkan konsep mistik serta konsep-konsep duniawi yang lain.
Yesus merujuk kepada mereka yang “mati” secara rohani di dalam dunia di dalam nasihat-nasihatnya di dalam Lukas. Panggilan terhadap umat-umat pilihan membuka fikiran mereka melalui Roh Kudus kepada kebenaran rohani, dan kebenaran itu seharusnya menyebabkan suatu respon, dan suatu komitmen di dalam orangnya untuk mengikut serta bertindak menurut kebenaran itu. Jadi tiada gunanya untuk berada di dalam jemaat, sebagai sebahagian daripada jemaat, melihat kebenaran itu ditahan dan tidak terus keluar daripada organisasi tersebut. Terus tinggal di situ adalah seumpama menyokong pelanggaran kebenaran tersebut serta mengancam panggilan Tuhan terhadapnya. Sememangnya, sebarang pemahaman yang ada akan menghilang dan seseorang itu akan berubah kembali daripada “dijadikan hidup” kepada “mati” secara rohani.
Setiap orang mempunyai alasan masing-masing untuk menguburkan orang matinya; suatu alasan untuk tidak menghadapi kenyataan panggilan Tuhan terhadap mereka, suatu alasan untuk tidak mengubah cara hidup mereka demi menurut perintah-perintah Tuhan.
Ini tidak bermakna bahawa mereka yang dipanggil akan dikasihi semua. Daniel telah dihumban kepada singa-singa kerana dia memilih untuk menurut Tuhan. Ketiga-tiga sahabatnya itu telah dihumban ke dalam api. Namun begitu, Tuhan memilih untuk merahmati mereka kerana mereka taat dan takut kepadaNya, jauh melebihi apa yang manusia dapat lakukan kepada mereka, dan mereka telah diselamatkan daripada maut.
Daud, sewaktu menggembala, melawan binatang-binatang liar demi melindungi kambing-kambing bapanya. Dia bersedia untuk berkorban bagi mereka. Kristus dibunuh demi melindungi mereka yang telah diberikan kepadanya oleh Bapanya. Umat-umat pilihan Tuhan telah dibunuh semenjak zaman Habel yang adil lagi, dan ini telah terus terjadi sepanjang sejarah dunia dan sememangnya akan terus menjadi nasib bagi kebanyakan umat yang dipanggil sehinggalah kedatangan kembali Kristus.
Dengan menerima panggilan itu, dan dijadikan hidup, umat-umat pilihan mengambil bahagian di dalam Kebangkitan Pertama itu pada waktu datangnya Kristus. Tuhan adalah Tuhan kepada mereka yang hidup, bukannya yang mati.
Dunia ini dianggap mati dan akan tergolong di dalam Kebangkitan Kedua. Terimalah panggilan yang Yesus tawarkan kepadamu, letakkan tanganmu pada bajak itu, jangan pandang ke belakang, biarkan orang mati menguburkan orang mati mereka, jadilah sebahagian daripada kumpulan mereka yang “hidup”, yang akan makan dan minum bersama Kristus pada kedatangannya nanti. Ikutlah Kristus sekarang ini, pastikan panggilanmu.