Allah Benar yang Tunggal (Yohanes 17:3; 1Yohanes 5:20) yang telah sentiasa wujud (1Timotius 6:16) telah mencipta langit dan bumi (Kejadian 1:1), dan anak-anak Tuhan memerhati dan bersorak sorai (Ayub 38:7).
Apabila bumi menjadi tidak berbentuk dan kosong (Kejadian 1:2) Yesus Kristus, dengan arahan serta panduan Bapanya, telah mengikut teladan yang asalnya telah ditetapkan oleh Bapa. Sebagai makhluk roh, Kristus telah membentuk semula bumi menjadi satu tempat untuk manusia hidup.
Pada hari keempat penciptaan, benda-benda penerang di langit telah kelihatan (Kejadian 1:4). Terang yang lebih besar, iaitu matahari akan menguasai waktu siang. Terang yang lebih kecil, iaitu bulan akan menguasai waktu malam.
Satu malam dan satu siang sama dengan dua puluh empat jam. Kita menamakan tempoh ini sebagai satu hari. Tuhan memulakan rangka-rangka waktuNya (iaitu hari dan bulan) pada sebelah malam apabila ia gelap (Imamat 23:32). Dari waktu matahari terbenam ke waktu matahari terbenam adalah satu hari. Oleh kerana Tuhan yang berkuasa dan mengetahui segala sesuatu, Dia telah membentuk sistem solar kita dengan sebegitu sekali agar kita dapat mengetahui bilakah Sabat, Bulan Baru dan Perayaan-perayaan itu terjadi. Dengan itu, kita dapat memelihara semuanya dengan betul. Manusia moden mungkin boleh memutuskan untuk memulakan hari pada waktu tengah malam, namun apa sekalipun yang manusia putuskan tidak akan mengubah rencana Tuhan.
Terdapat tujuh hari di dalam satu minggu. Kita mempunyai enam hari untuk melakukan pekerjaan kita (Keluaran 20:8-11). Ini bermaksud kita harus aktif bekerja pada kesemua enam hari itu. Hari ketujuh adalah hari Sabat Tuhan Allah. Pada hari Sabat kita berhenti bekerja. Enam hari sewaktu penciptaan Tuhan aktif bekerja, namun pada hari ketujuh Dia telah berhenti dari pekerjaanNya. Dia memberkati serta menguduskan (iaitu mengasingkan) hari Sabat menjadi suci (Kejadian 2:2,3). Pada tiap Sabat, kita seharusnya mengingati penciptaan itu serta bagaimana Tuhan telah membawa kita keluar dari Mesir.
Kalendar yang berdasarkan pada matahari dipanggil kalendar solar. Kalendar berdasarkan bulan dipanggil kalendar lunar. Orang-orang Roma berbahasa Latin dan luna bermaksud bulan di dalam bahasa Latin. Kelandar kudus Tuhan adalah suatu kalendar lunar. Masa yang diambil oleh bulan untuk membuat orbit (mengelilingi) bumi adalah lebih kurang 29 ½ hari. Oleh itu, ada bulan yang mempunyai 29 hari sementara yang lainnya mempunyai 30 hari. Umumnya, bulan-bulan mempunyai 30 hari di dalamnya (Kejadian 7:11, 8:3-4; Bilangan 20:29; Ulangan 21:13, 34:8; Ester 4:11; Daniel 6:7-13).
Ketika bulan mengelilingi bumi, ia kelihatan berubah-ubah di langit, kerana hanya bahagian-bahagian tertentu bulan itu yang dipantulkan. Bulan Baru bermaksud bulan itu tersembunyi atau tertutup. Oleh itu, apabila kamu melihat langit pada malam bulan baru, mungkin sekali kamu tidak akan melihat bulan sama sekali jika kamu tinggal di kota. Jika kamu tinggal jauh dari sekitaran kota dan keadaan-keadaannya mengizinkan, mungkin kamu boleh melihat bentuk cincin bulat di langit. Ia seperti satu bola yang bulat di hadapan suatu bola yang lebih besar dengan hanya tepinya kelihatan.
Setelah suatu Bulan Baru, pada malam-malam berikutnya kamu akan melihat satu hirisan kecil yang bertambah besar setiap malam. Terdapat nama-nama saintifik bagi bulan yang berubah itu tetapi kita akan membincangkannya dengan cara ringkas. Sambil bulan sabit itu bertambah besar setiap malam, ia menjadi bulan penuh kira-kira 15 hari dari Bulan Baru itu. Perayaan Roti Tidak Beragi dan Perayaan Pondok Daun kedua-duanya jatuh pada bulan penuh. Bulan penuh kelihatan seperti suatu bola terang bercahaya di langit. Setelah menjadi penuh, ia perlahan-lahan berkurang saiznya setiap malam dan bulan sabit itu menjadi semakin kecil dan akhirnya hilang. Kira-kira 15 hari dari bulan penuh itu kita mempunyai suatu Bulan Baru lain. Kitar ini berterusan sementara matahari dan bulan ada di langit.
Kebanyakan tahun mempunyai dua belas bulan (1Raja-raja 4:7, 1Tawarikh 27:1-15). Bulan-bulan dibilangkan untuk memastikan tidak ada kekeliruan (Keluaran 12:2; 13:4; 2Tawarikh 30:2; Nehemia 8:2).
Tuhan memberitahu kita bahawa terdapat hanya dua musim di dalam tahun: musim panas dan musim sejuk/salji (Kejadian 8:22 dan Mazmur 74:17). Apabila satu bahagian bumi mempunyai musim panas, bahagian satu lagi mengalami musim sejuk dan sebaliknya. Terdapat satu garisan bayangan yang dipanggil garis khatulistiwa yang membahagikan bumi kepada hemisfera utara dan selatan. Ketika matahari melalui garis khatulistiwa, waktu siang dan malam adalah lebih kurang sama panjangnya. Ini dipanggil ekuinoks. Kita kemudiannya memulakan proses yang perlahan menuju ke dalam musim yang satu lagi. Pada musim bunga ini ini terjadi kira-kira Mac 21 mengikut kalendar Roma. Ia disebutkan sebagai ekuinoks vernal kerana vernal bermaksud “musim bunga”. Pada musim luruh (musim gugur) ia adalah ekuinoks musim luruh yang terjadi sekitar September 23 mengikut kalendar Roma.
Kita tahu kita tidak boleh ada dua Paskah di dalams setahun. Kita tahu bahawa Bulan Baru pertama di dalam tahun adalah Abib (Musim Bunga utara) atau Nisan. Bulan ini adalah bulan “gandum baru/hijau”. Jelai di Palestin berwarna hijau dan mula berisi untuk masak pada waktu ini. Bulan Baru pertama dalam tahun (pada hemisfera utara) boleh terjadi sebelum ekuinoks vernal (musim bunga), namun bukan sebelum hari Pertama Roti Tidak Beragi pada 15 haribulan Abib. Jika korban pukul 3 petang pada hari ke 14 bulan pertama tidak mendahului ekuinoks vernal (bulan penuh), kita tahu kita perlu menambahkan bulan ke 13. Lihat karya-karya Pertikaian-pertikaian Quartodeciman [277] dan Kalendar Tuhan [156].
Setiap 19 tahun, perjalanan matahari, bulan dan bumi hampir berpadanan (mereka cuma tersasar kira-kira 2 jam). Ini biasanya disebutkan sebagai kitar Metonic/Metonik menurut nama Meton dalam bahasa Yunani, namun pemahaman mengenai hal ini telah lama mendahuluinya. Sewaktu tempoh 19 tahun ini terdapat tujuh tahun yang memerlukan penambahan bulan ke 13 untuk menseimbangkan sistem tersebut. Orang-orang Babilon sedar tentang kitar ini dan mencatatkannya di dalam tulisan “cuneiform” mereka.
Sama seperti setiap hari ketujuh dikuduskan dan dikhaskan sebagai suci, begitu jugalah dengan setiap tahun ketujuh. Tahun Sabat adalah tahun perhentian untuk manusia dan planet ini. Sewaktu tahun ketujuh, tanam-tanaman tidak ditanam untuk membolehkan tanah berehat dan pulih semula. Sesiapa yang berhutang kepada kita dilepaskan atau dibebaskan dari hutangnya itu. Ini bermakna kita memberitahu mereka bahawa mereka tidak lagi berhutang apa-apa dengan kita. Pada Perayaan Pondok Daun pada tahun ketujuh, Hukum Tuhan dibacakan (Ulangan 3:10; Nehemia 8; Yosua 8). Ini diperintahkan oleh Tuhan agar kita semua dapat mendengar dan belajar untuk takut akan Tuhan Allah kita, serta memelihara kesemua firman HukumNya (Ulangan 31:12).
Sama seperti Pentakosta bermaksud menghitung 50, dan kita mempunyai tujuh minggu yang sempurna dari Unjukan Berkas sehingga hari Pentakosta, begitu juga dengan Tahun Jubli. Kita mempunyai tujuh tahun Sabat yang sempurna, iaitu jumlahnya 49 tahun. Pada tahun ke 49 pada hari Pendamaian, sangkakala dibunyikan untuk menandakan Tahun Jubli. Sangkakala menandakan bahawa kita seharusnya menguduskan tahun ke 50 itu serta mengisytiharkan kemerdekaan di seluruh negeri (Imamat 25:10). Sewaktu Tahun Jubli itu, kesemua kawasan tanah dikembalikan kepada para pemiliknya yang asal. Dari peniupan sangkakala yang menandakan Tahun Jubli itu, tanah-tanah dikembalikan kepada pemilik-pemilik sahnya. Oleh itu, kita tidak menanam atau menuai, namun kita boleh memetik hasil tanah yang tumbuh sendirinya (Imamat 25:11-12). Lihat karya Hukum dan Perintah Tuhan Keempat [256].
Sama seperti pada Tahun Sabat bagi tanah di mana kita tidak menanam tanaman, begitu jugalah di dalam Tahun Jubli. Tuhan menyediakan kita tuaian dua kali ganda untuk melalui tahun ketujuh itu sehinggalah kita menanam semula pada tahun pertama kitar tersebut (Imamat 25:21). Begitu juga dengan Jubli, Tuhan akan menyediakan tuaian tiga kali ganda pada tahun ke 48 untuk keperluan kita sehinggalah tahun pertama kitar seterusnya. Kita harus ingat bahawa tanah negeri itu adalah milik Tuhan dan tidak boleh dijual untuk selamanya. Ia adalah untuk kegunaan kita menurut rencanaNya (Imamat 25:23). Sistem Tuhan adalah suatu sistem yang sempurna dan adil bagi manusia dan planet ini. Sungguhpun sesuatu keluarga berhutang dan kehilangan wang yang banyak, Jubli memberikan mereka peluang untuk bermula sekali lagi setelah mereka mempelajari bagaimana untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan mereka.
Tahun 2002 adalah tahun ke 25 bagi Jubli ke 40 sejak pelayanan Mesias atau tahun ke 25 bagi Jubli ke 120 sejak sistem Jubli ini ditubuhkan kerana dosa dan kutukan ke atas manusia dan tanah sesudah Adam menderhaka. Kita dengan setia terus menurut rencana perayaan Tuhan, mempelajari lebih banyak lagi sambil kita menurutNya (Amsal 16:3).
Rujuk juga kepada karya Kalendar Tuhan [156].