Christian Churches of God
[CB102]

Daud Kembali ke Yerusalem

(Edisi 1.0 20070512-20070512)
Absalom bangkit menentang bapanya, Raja Daud. Bila Daud diberitahu bahawa orang Israel berpihak kepada Absalom, dia melarikan diri dengan pengikut-pengikut setianya untuk menyelamatkan nyawa dan menghindari pertumpahan darah di kota itu. Karya ini disesuaikan daripada bab-bab 105 dan 108, Volume V The Bible Story oleh Basil Wolverton, diterbitkan oleh Ambassador College Press.
Christian Churches of God
PO Box 369, WODEN ACT 2606, AUSTRALIA

(Hakcipta © 2007 Jemaat-jemaat Allah Al Masehi, ed. Wade Cox)
(tr. 2009)

This paper may be freely copied and distributed provided it is copied in total with no alterations or deletions. The publisher’s name and address and the copyright notice must be included.  No charge may be levied on recipients of distributed copies. Brief quotations may be embodied in critical articles and reviews without breaching copyright.

This paper is available from the World Wide Web page:
http://www.logon.org and http://www.ccg.org

Daud Kembali ke Yerusalem

Kita teruskan di sini dari karya Kesusahan dalam Keluarga Daud (No. CB94).

Absalom dikalahkan

Tentera Daud maju ke padang untuk memerangi Israel dan pertempuran ini berlaku di hutan Efraim. Di situ tentera Daud mengalahkan tentera Israel di bawah Absalom. Orang yang terkorban hari tu berjumlah dua puluh ribu orang dan pertempurannya tersebar ke seluruh wilayah itu. Dituliskan bahawa hutan itu meragut lebih banyak nyawa daripada pedang.

Ketika menunggangi seekor bagal Absalom terserempak dengan orang-orang Daud. Dia melalui di bawah dahan-dahan tebal pohon tarbantin yang besar dan sama ada kepalanya terperangkap dalam dahan bercabang atau rambutnya terjerat dalam dahan-dahan. Bahasa Ibrani asalnya dalam kejadian ini tidak menyebut secara khusus. Bagal ini terus berlari, meninggalkan penunggangnya tergantung dengan kakinya tidak sampai ke tanah (2 Samuel 18:6-9).

Seorang pengikut Daud melihat Absalom tergantung dari dahan tarbantin itu, melaporkannya kepada Yoab, yang menuntut kenapa dia tidak pergi saja kepada orang yang tidak berdaya itu dan membunuhnya.

“Kalaulah engkau telah membawa mayatnya kepadaku, aku sudah pasti memberi engkau ikat pinggang pahlawan dan sepuluh syikal perak,” Yoab berkata.

“Tetapi semua orang tahu Daud mengingini anaknya dibawa balik tanpa diapa-apakan,” balas orang itu. “Aku tidak akan melakukan apa-apa kepada Absalom walaupun untuk seribu syikal perak. Kenapa pula engkau mahu aku melawan kehendak raja?”

Yoab berkata, “Aku tidak akan menunggu seperti ini untuk engkau”. Lalu dia membawa tiga lembing dalam tangannya dan menikamnya ke dada Absalom ketika dia masih hidup di pohon itu. Yoab mungkin lebih prihatin tentang keselamatan Daud dan kesatuan bangsa itu daripada kasih Daud terhadap anak derhakanya, tetapi dia juga seorang pembunuh kejam.

Kemudian sepuluh orang Yoab mengelilingi Absalom dan memukulnya dan membunuhnya (ayat 10-15).

Absalom mungkin mati walaupun Yoab dan sepuluh orangnya tidak menyerangnya. Tetapi Yoab telah mengingkari Daud.

Mayat Absalom dibuang ke dalam lubang dalam hutan itu dan ditutup dengan timbunan batu. Absalom sudahpun merencana untu mendirikan tugu atau peringatannya sendiri dekat Yerusalem kalau-kalau dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan zuriatnya. Bagaimanapun, daripada dikuburkan di situ, dia berkesudahan dalam sebuah lubang dalam Hutan Efraim.

Yoab menyuruh para peniup sangkakala untuk membunyikan isyarat bahawa pertempuran itu sudah tamat dan supaya pertumpahan darah yang tidak diperlukan ini dihentikan (ayat 16-18).

Ahimaas, anak imam Zadok dan salah seorang daripada dua orang muda yang pernah membawa berita dari Yerusalem kepada Daud beberapa hari sebelumnya, hadir di tempat pertempuran itu. Sebagai seorang muda yang tangkas dan ingin membantu, dia berharap dia dapat berlari dengan berita pertempuran itu kembali kepada Daud. Dia begitu ingin sekali peluang ini sehingga dia dengan beraninya mencadangkannya kepada Yoab.

“Ini bukan masa terbaik untuk engkau menjadi pembawa khabar,” kata Yoab. “Masakan engkau ingin menjadi orang yang memberitahu raja bahawa anaknya sudah mati.”

Ahimaas kecewa, lebih-lebih lagi selepas Yoab mengirim seorang pelari Kush yang muda ke Mahanaim untuk memberitahu Daud bahawa pertempuran itu telah dimenangi. Yoab bermaksud supaya pembawa khabar itu hanya memberi khabar tentang kesudahan pertempuran itu, tetapi tanpa memberitahu apa-apa tentang Absalom.

“Izinkan aku menjadi pelari kedua,” Ahimaas mencadangkan kepada Yoab. “Walaupun aku datang lebih lambat, aku ingin sekali peluang ini untuk membawa khabar kepada raja.”

“Aku tidak mengerti engkau ini,” Yoab berkerut dahi. “Engkau tidak mendapat apa-apa ganjaran kerana membawa khabar yang sudahpun dibawa seorang lain. Tetapi pergilah berlari kalau itu sangat bermakna untukmu.”

Lalu Ahimaas berlari mengikut jalan lembah dan mendahului orang Kush itu. Seorang penjaga di atas tembok melihat Ahimaas menghampiri dan memanggil ke bawah kepada Daud, yang duduk di antara pintu gerbang dalaman dan luaran, untuk memberitahunya bahawa ada seorang yang berlari ke arah kota itu (ayat 19-24).

“Jika dia seorang, dia mungkin membawa khabar.” Daud berkata.

“Sekarang aku nampak seorang lagi berlari di belakangnya,” penjaga itu berseru.

“Seorang lagi pelari mungkin membawa lebih banyak berita,” Daud berkata. Waktu itu penjaga tadi mengenali Ahimaas dengan cara dia berlari. Dia memberitahu Daud, yang pasti bahawa anak imam itu hanya akan membawa khabar baik (ayat 25-27).

“Aku membawa khabar baik!” Ahimaas termengah-mengah berseru ketika dia mendekati pintu gerbang.

Dia memandang ke atas untuk melihat raja, dan sujud dengan mukanya ke tanah sebagai tanda hormat. Dia gembira sebab Daud ada di situ untuk menerima khabarnya secara peribadi.

“Hari ini Tuhan yang agung telah menyelamatkan engkau daripada musuhmu!” Ahimaas dengan penuh semangat berkata kepada raja. “Tenteramu telah memenangi pertempuran itu!”

“Aku bersyukur kepada Tuhan,” Daud menjawab. “Engkau katakan tenteraku telah memenangi pertempuran itu, tetapi jika tentera anakmu sudah kalah, bagaimana dengan anakku?”

“Ketika Yoab mengutus aku, ada keributan besar tentang sesuatu,” Ahimaas menjawab dengan hati-hati. “Aku pergi sebelum aku dapat mengetahui apa dia hal itu.”

“Tunggu sini sementara aku berbicara dengan utusan seorang lagi yang datang selepas engkau,” Daud memberitahu Ahimaas (ayat 28-30).

Ketika orang Kush yang penat itu menghampiri pintu gerbang dia berseru bahawa dia telah diutus untuk memberitahu raja bahawa Tuhan telah menghancurkan musuh Daud dengan memberi kemenangan sepenuhnya kepada tenteranya.

“Adakah anakku Absalom selamat?” Daud dengan gelisah bertanya pada utusan itu.

“Biarlah semua musuhmu mati seperti anakmu,” dia terlepas cakap.

Daud berkabung untuk Absalom

Terkejut dan sakit hati, Daud pergi ke tempat tinggalnya. Dalam perjalanannya dia tidak dapat menahan daripada menangis, menyebut nama Absalom berkali-kali, dan berucap kuat yang dia patutnya mati menggantikan Absalom. Begitu besar sekali kasih sayang Daud untuk anaknya sehingga dia kelihatannya sudah melupai segala kejahatan malah niat membunuh yang ada pada Absalom terhadapnya (ayat 31-33).

Berita tersebar pantas kepada tentera Daud bahawa raja itu hampir sakit kesedihan disebabkan kematian Absalom. Dari situ berita ini dibawa ke tempat-tempat lain, segera meliputi kebanyakan rakyat bangsa itu dalam keadaan berkabung, sedangkan mereka yang setia kepada raja sepatutnya berasa senang hati dan gembira sebab tentera Daud telah menang. Namun kesedihan berlebihan Raja Daud untuk Absalom dan apa yang kelihatan seperti tiadanya keprihatinannya terhadap rakyatnya yang setia segera membuat mereka patah hati. Mereka merasakan ketaatan mereka kepada Daud telah ditolak.

Daripada kembali ke Mahanaim dengan kegembiraan kemenangan, tentera Daud diam-diam masuk ke dalam kota pada hari itu seperti orang-orang yang mencuri masuk sebab malu setelah melarikan diri dari pertempuran (2 Samuel 19:1-4).

Sikap suram Daud, meskipun dia menyakitkan begitu ramai orang, membuatkan Yoab marah. Tanpa mencuba untuk hormat kepada pemimpinnya, Yoab dengan kasarnya menyuarakan buah fikirannya kepada Daud.

“Sikapmu telah menyebabkan rakyat patah hati,” Ayub berkata. “Daripada berterima kasih kepada tenteramu kerana menyelamatkan nyawamu dan nyawa keluargamu, engkau telah menyebabkan orang-orangmu berasa malu. Engkau berkelakuan seperti engkau lebih sayangkan musuhmu daripada kawanmu. Senangkah hatimu jika Absalom hidup dan tenteramu mati? Hanya engkau saja boleh melepaskan rakyatmu daripada kemurungan yang meliputi negara ini. Sekarang terpulang kepada engkau untuk keluar daripada pemencilanmu dan pergi ke luar serta tunjukkan kebaikan hatimu dan kesyukuranmu. Jika tidak, tenteramu dan para pengikutmu akan meninggalkan engkau sebelum pagi, dan engkau akan mengalami kesusahan yang jauh melebihi semua yang pernah engkau lalui dalam hidupmu!”

Daud sedar Yoab berkata benar tentang menunjukkan rasa terima kasih kepada tentera dan sahabat-sahabatnya. Lalu raja bangkit dan duduk di pintu gerbang; dan apabila semua orang diberitahu ini mereka semua datang menghadapnya (ayat 5-8).

Daud kembali ke Yerusalem

Pada waktu yang sama berlakunya ketidaktenteraman di banyak tempat negeri itu. Perang saudara itu hampir menghancurkan negeri itu. Masih ramai yang mengharapkan Absalom telah menjadi raja. Ada orang pula yang tidak senang hati kerana Daud tidak kembali ke Yerusalem selepas kemenangan atas kuasa tentera Absalom (ayat 9-10). Namun suku Yehuda, yang membentuk sebahagian besar daripada pengikut Absalom, tidak begitu inginkan Daud kembali. Sebab Yerusalem berada di sempadan daerah Yehuda, sikap orang di situ sememangnya merisaukan Daud.

“Ingatkan para pemimpin Yehuda yang aku orang suku mereka dan aku mengharapkan sokongan dan keyakinan mereka,” Daud menyatakan dalam satu pesan kepada Zadok dan Abyatar, imam-imam di Yerusalem. “Beritahu Amasa bahawa aku akan memberhentikan Yoab sebagai panglima tenteraku, dan aku ingin menggantikannya dengan Amasa, panglima tentera anakku yang kalah.”

Apabila khabar pertukaran yang direncanakan ini tersebar ke seluruh Yehuda, rakyat senang hati kerana Amasa juga orang suku Yehuda dan Yoab tidak disukai ramai orang dalam suku itu. Daud sedar tentang hal itu. Strateginya bijak dari banyak segi.

Amasa pergi ke seluruh Yehuda untuk meyakinkan para tua-tua suku untuk menyokong Raja Daud. Tidak lama kemudian penduduk Yehuda mula mesra terhadap Daud. Malah mereka mengirim delegasi para pemimpin kepadanya untuk memberitahunya bahawa dia diterima kembali ke Yerusalem sebagai raja negara itu. Apabila rakyat suku itu mendengar bahawa Daud sudah mahu meninggalkan Mahanaim, beribu-ribu mereka mengerumuni Gilgal untuk menemui raja dan membawanya menyeberangi Sungai Yordan (ayat 11-15).

Antara orang pertama yang datang menyambut Daud ialah Simei, orang Benyamin yang pernah melontar batu pada Daud ketika raja itu melarikan dari Yerusalem sebelumnya. Bersamanya ialah seribu orang Benyamin, dengan Ziba, pelayan keluarga Saul dan lima belas anaknya serta dua puluh hambanya. Semua mereka tunduk ke arah Daud sementara dia menyeberangi sungai itu. Di depan mereka Simei sujud ke tanah di hadapan raja.

“Akulah yang mengutukmu dan membuang batu padamu ketika engkau melarikan diri dari Absalom,” Simei mengaku. “Sebab aku tahu betapa salahnya aku pada waktu itu, aku orang pertama di sini hari ini agar aku dapat memintamu mengampuni aku dan melupai kelakuanku yang bodoh dan kurang ajar itu” (ayat 16-20).

“Sesiapa yang mengutuk pemimpin kami, yang diurapi oleh Tuhan, patut mati!” Abisai berkata sambil menggeram. “Tidakkah itu betul, rajaku?”

“Sebagai raja Israel, aku bertanggungjawab membuat keputusan seperti itu,” Daud marah. “Aku tidak mengerti kenapa engkau harus memilih untuk aku, khususnya bila aku tidak menyetujuinya, dan aku tidak setuju untuk orang ini atau sesiapapun dihukum mati hari ini!”

“Aku akan mengampuni segala yang engkau sesal melakukan kepadaku,” Daud memberitahu Simei. “Engkau tidak akan mati. Pulanglah ke rumahmu dengan damai” (ayat 21-23).

Mefiboset, cucu tempang Saul, juga datang untuk bertemu raja. Ketika Daud dalam perjalanannya keluar dari Yerusalem sebab Absalom mengancam untuk merampas kota itu, hamba Mefiboset, Ziba, telah memberitahu raja bahawa tuannya menjangka akan menjadi raja. Daud begitu kecewa sekali dengan sikap Mefiboset sehingga dia telah mengumumkan bahawa Ziba harus mengambil alih semua milik Mefiboset (2 Samuel 16:1-4).

“Kenapa engkau tidak pergi bersamaku Mefiboset?” Daud bertanya (2 Samuel 19:24-25).

“Ziba, hambaku, mengkhianati aku dan memfitnah hambamu ini kepada tuan rajaku. Aku tidak pernah terfikir untuk menjadi raja, dan aku telah sentiasa setia kepadamu,” Mefiboset menjawab. “Ziba bohong kepadamu tentang aku, dan sebab itu aku kehilangan segala milikku. Tetapi kenapa aku harus menangisi hal itu sedangkan engkau sudahpun banyak berjasa untuk keluargaku?”

“Aku pernah memberitahumu yang engkau boleh mengambil segala milik tuanmu,” Daud berkata kepada Ziba. “Sekarang aku sudah tahu engkau tidak berkata benar kepadaku, dan aku ingin engkau memulangkan milik Mefiboset kepadanya dan membahagikan hasil ladang seperti sebelumnya.”

“Biarlah dia mengambil semuanya,” Mefiboset berkata. “Apa yang penting kepadaku sekarang ialah rajaku pulang ke tempatnya untuk memerintah” (ayat 26-30).

Barzilai, orang Gilead yang pernah menjadi tuan rumah utama Daud di Mahanaim, juga mengiringi Raja Daud menyeberang Yordan. Daud menjemput Barzilai untuk mengiringinya ke Yerusalem supaya raja dapat memberi penghormatan kepadanya atas segala yang dilakukannya untuk Daud di Mahanaim. Sebab dia sudah sangat tua, Barzilai bertegas untuk kembali ke rumahnya. Tetapi dia mengizinkan anaknya Kimham pergi dengan Raja Daud (2 Samuel 19:31-40; 1 Raja-raja 2:7). Nampaknya Raja Daud memberi orang muda ini sebahagian daripada pusaka keluarganya sendiri di Betlehem (Yeremia 41:17).

Sesudah berpisah dengan Barzilai dan penduduk Mahanaim yang telah menjadi kawan rapat kepadanya, Daud kemudiannya pergi ke Gilgal dan dari situ ke Yerusalem. Tetapi ketika perjalanan ini berlaku, para pemimpin pelbagai suku mula membantah tentang cara raja dibawa balik ke ibu kota. Perasaan marah banyak timbul di kalangan suku-suku lain kerana suku Yehuda telah mengambil alih acara-acara berhubungan dengan kepulangan Daud. Perasaan semakin meluap-luap dalam hal ini (2 Samuel 19:41-43). Rasa iri hati yang makin memuncak ini merupakan permulaan perselisihan yang akan segera membahagikan bangsa Israel.

Seba memberontak

Seorang Benyamin bernama Seba, suka berkomplot dan bercita-cita tinggi, yang mempunyai banyak pengaruh dan harta, sedar bahawa, walaupun ketika kepulangan kemenangan Daud ke Yerusalem, waktunya mungkin tepat untuk sepuluh suku itu membentuk sebuah tentera untuk mengawal atau mungkinpun mengatasi Yehuda.

 

“Kita tidak mempunyai suara yang cukup dalam kerajaan di Yehuda,” Seba mengumumkan kepada rakyat. “Kita harus bersatu bersama-sama untuk membangunkan kuasa kita sendiri!”

Orang-orang daripada setiap suku kecuali Yehuda berkumpul kepada Seba. Tetapi suku Yehuda mengiringi Daud dengan selamat ke Yerusalem (2 Samuel 20:1-2).

Setelah Daud kembali ke istananya ke Yerusalem, dia mengambil sepuluh gundik yang ditinggalkannya untuk menjaga istana dan memasukkan mereka ke dalam rumah yang di bawah penjagaan. Dia memelihara keperluan mereka tetapi dia tidak tidur dengan mereka. Mereka tetap terasing sampai mereka meninggal, hidup seperti janda (ayat 3).

Apabila Daud mengetahui bahawa sebuah tentera sedang dikumpulkan untuk digunakan melawan Yehuda, dia menyuruh Amasa, panglima tenteranya yang baru, untuk memanggil orang-orang Yehuda datang kepadanya dalam tiga hari.

Amasa gagal mengumpulkan kumpulan berperang dalam tiga hari. Daud berpaling kepada Abisai, saudara Yoab dan seorang pemimpin tentera berpengalaman, dan memerintahnya mengejar Seba dengan orang-orang Yoab.

Yoab pergi bersama Abisai kerana dia berniat mendapatkan kembali kepimpinan tentera. Apabila mereka menyusul Amasa, Yoab berpura-pura ramah dengannya, tetapi tiba-tiba menikam pedangnya ke dada Amasa (ayat 4-10).

Dengan jelas di depan mata ramai perajurit Amasa mati oleh perbuatan Yoab yang kejam dan penuh tipu daya. Tidak seorangpun berani membangkang. Yoab kemudian dengan beraninya mengambil alih pimpinan orang-orang Amasa serta saudaranya, Abisai.

Yoab dan para perajuritnya meneruskan pengejaran tentera Seba. Mungkin Seba tentu telah melarikan diri jika bukan sebab adanya laporan yang boleh dipercayai bahawa Seba dan orang-orangnya berada di kota Abel. Bila Yoab dan orang-orangnya sampai di Abel, mereka tidak dapat memukul masuk melalui pintu-pintu gerbang.

Tentera Yoab membuat lerengan kepungan naik ke kota itu, dan ini didirikan rapat dengan tembok luar. Ketika mereka memukul tembok itu untuk meruntuhkannya seorang perempuan bijaksana muncul di atas tembok itu lalu berseru kuat meminta untuk berbicara dengan Yoab. Yoab tampil ke depan untuk memperkenalkan dirinya dan untuk mengetahui apa yang diingini perempuan itu (ayat 11-17).

“Kami orang-orang yang setia dan damai!” dia berseru ke bawah. “Kenapa engkau datang ke sini untuk membinasakan kota kami?”

“Aku ke sini bukan untuk memusnahkan kota!” Yoab berteriak kembali. “Aku ke sini untuk menangkap seorang Benyamin bernama Seba, yang telah berkomplot menentang Raja Daud, dan harus mati. Serahkan orang ini, dan aku akan berundur dari kota kamu”. 

Perempuan itu berkata kepada Yoab, “Kepalanya akan dilemparkan kepadamu dari tembok ini”.

Perempuan itu pergi kepada seluruh rakyat dengan nasihatnya yang bijak dan mereka memenggal kepala Seba dan melemparkannya kepada Yoab. Seperti dia janjikan, Yoab meninggalkan Abel dan kembali ke Yerusalem untuk melaporkan kepada Daud bahawa satu lagi rencana untuk merebut kerajaan Israel telah digagalkan (ayat 18-22).

Justeru Yoab menjadi kepala seluruh tentera Israel. Tuhan jelas mengizinkan Yoab untuk kekal sebagai panglima. Raja Israel sekalipun tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah itu.

Daud mengambil kesempatan waktu damai ini untuk memperbaiki organisasi kerajaannya dan untuk melantik para pegawai untuk pelbagai tanggungjawab (ayat 23-26).

Orang Gibeon 

Ketika pemerintahan Daud berlaku kebuluran selama tiga tahun berturut-turut; justeru Daud pergi meminta petunjuk daripada Tuhan.

Jawapan diberikan bahawa kelaparan itu menimpa Israel kerana Saul dan keluarganya yang dinodai darah. Dia telah memerintahkan supaya ramai orang Gibeon dibunuh meskipun adanya janji yang pernah dibuat Yosua agar mereka tidak dibunuh. Orang Gibeon bukan sebahagian daripada Israel tetapi sisa orang Amori, dan Saul cuba menghapuskan mereka.

Daud memanggil para pemimpin orang Gibeon dan bertanya apakah yang boleh dilakukannya untuk mengganti rugi mereka.

Orang Gibeon menjawab, “Kami tiada hak untuk meminta perak atau emas daripada keluarga Saul, dan kami juga tidak berhak membunuh sesiapa dalam Israel. Untuk membetulkan kesalahan yang dibuat Saul itu, biarlah tujuh orang lelaki keturunan keluarga Saul diberikan kepada kami untuk dibunuh dan digantung di hadapan Tuhan di Gibeon (Gibeah)”

Bagi pihak bangsa Daud berjanji untuk menyerahkan tujuh orang ini kepada orang Gibeon (2 Samuel 21:1-6). Ini kelihatan seperti sesuatu yang kejam, tetapi tindakan harus diambil kerana seluruh bangsa menderita kelaparan yang disebabkan oleh Raja Saul yang tidak setia, yang melanggar persetujuan antara Israel dan orang Gibeon. Tujuh orang dipilih daripada keturunan Saul dan diserahkan kepada orang Gibeon. Mefiboset dikecualikan kerana sumpah persahabatan kekal antara bapanya Yonatan dan Raja Daud (1 Samuel 20:12-17,42).

Orang Gibeon membunuh mereka dan menggantung mayat mereka di atas sebuah bukit di hadapan Tuhan. Ketujuh-tujuh mereka tewas bersama dan mereka dihukum bunuh pada awal musim menuai jelai. Rizpa, seorang gundik Saul (2 Samuel 3:7-8), tinggal dengan mayat-mayat itu dan melindunginya daripada binatang buas dan burung sehingga hujan mencurah turun dari langit ke atas mayat-mayat itu.

Apabila Daud mendengar perbuatan Rizpa maka pergilah dia mengambil tulang-tulang Saul dan Yonatan daripada warga Yabesh-Gilead dan tulang-tulang mereka yang dibunuh itu dikumpulkan. Mereka menguburkan tulang-tulang Saul dan Yonatan dalam kubur bapa Saul di Zela di Benyamin. Selepas itu Tuhan menjawab doa untuk negeri itu (2 Samuel 21:7-14).

Perang melawan orang Filistin 

Ketika dia lebih muda, Daud memimpin tenteranya dalam perjuangan yang panjang dan sukses menentang orang Filistin. Bertahun-tahun lamanya mereka ditundukkan. Tetapi sekali lagi berlakulah peperangan antara orang Filistin dan Israel. Daud pergi bersama-sama dengan tenteranya untuk menghentikan penyerang-penyerang itu.

Bagaimanapun, Daud mendapati aksi giat pertempuran amat meletihkan. Yisbi-Benob, seorang raksasa, dan salah seorang keturunan Rafa, berkata dia akan membunuh Daud. Tetapi Abisai datang menyelamatkan Daud dan menjatuhkan orang Filistin itu serta membunuhnya (ayat 15-16).

Daud hampir kehilangan nyawanya disebabkan keletihannya yang biasa bagi seorang yang berumur seperti dia. Para pegawai dan penasihatnya memintanya supaya jangan berperang lagi. Mereka menegaskan kepadanya bahawa ia pasti tamparan hebat kepada seluruh negara seandainya dia terbunuh dalam peperangan. Lagi pula, ini akan mengundang orang-orang yang tidak layak untuk cuba merebut kuasa kerajaan itu (ayat 17)..

Tidak lama selepas itu terjadilah satu lagi pertempuran dengan orang Filistin, di Gob. Sekali lagi juaranya ialah seorang raksasa (juga keturunan Rafa), nama orangnya ialah Saf. Kali ini seorang bernama Sibkhai dengan beraninya melawan Saf dan membunuhnya.

Tidak gentar juga, orang Filistin masuk ke dalam Yehuda untuk kali ketiga, dengan seorang raksasa lagi, saudara kepada Goliat. Seperti sebelumnya, orang Filistin cepat-cepat berundur setelah juara mereka diatasi oleh seorang Israel bernama Elhanan.

Orang Filistin nampaknya tidak juga faham bahawa mempunyai orang raksasa di pihak mereka tidak semestinya menjamin kemenangan. Untuk kali keempat mereka masuk ke dalam Israel, kali ini diiringi seorang lelaki yang unik bukan saja kerana saiznya yang sangat besar, tetapi juga kerana dia mempunyai enam jari pada setiap tangan dan enam jari kaki pada setiap tapak kaki. Dia juga seorang keturunan Rafa. Raksasa ini dibunuh oleh anak saudara Daud, Yonatan, walaupun dengan semua jari tangan dan kakinya yang lebih. Untuk kali keempatnya orang Filistin berundur ke negeri mereka. Untuk satu tempoh, ini mengakhiri masa kesusahan bagi Israel (ayat 18-22).

Nyanyian puji-pujian Daud

Untuk menunjukkan kesyukurannya kepada Tuhan atas perlindungan, berkat dan janji, Daud diilhami menggubah suatu nyanyian. Ini ditulis dalam Alkitab dari 2 Samuel 22:1 sampai 23:7 (lihat Mazmur 18).

Pahlawan-pahlawan perkasa Daud

Dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin berkebolehan dan dilindungi daripada serangan oleh ramai wira, segalanya berjalan baik bagi Israel. 2 Samuel 23:8-39 menyenaraikan pahlawan-pahlawan Daud yang, bersama-sama dengan seluruh Israel, memberi pimpinannya sokongan kuat untuk meluas ke seluruh negeri, seperti yang Tuhan telah janjikan (lihat juga 1 Tawarikh 11:11-47 dan 12:23-40).

Daud menghitung orang-orang berperangnya

Daud mula tertanya-tanya berapa ramai orang sebenarnya dalam kerajaannya, dan bagaimana Israel dari segi bilangan berbanding bangsa-bangsa lain. Semakin dia memikirkannya, semakin dia tertarik untuk melakukan banci (pendaftaran), meskipun Tuhan tidak mengingini perkara sebegitu dilakukan. Walaupun dia tidak menyedarinya, Daud sedang dibujuk oleh Iblis untuk menghitung Israel (1 Tawarikh 21:1).

Raja memanggil Yoab dan para panglima tentera, dan menyuruh mereka menjelajahi seluruh suku-suku Israel dari Dan sampai Bersyeba dan menghitung rakyat.

“Semoga seluruh rakyat negeri kita dilipatgandakan oleh Tuhan seratus kali,” Yoab berkata. “Tetapi tidak kira berapa bilangan mereka, Tuhan tentu tidak senang hati jika kita menghitung mereka dengan tujuan mengukur kekuatan negara kita. Jika kita dapati ia lebih besar daripada apa yang kita fikirkan, kita mungkin tergoda untuk membuat tindakan kurang bijak terhadap negara-negara lain. Kenapa tuanku Daud harus mendatangkan kesalahan pada Israel dengan perbuatan ini?”

Bagaimanapun, titah raja mengesampingkan Yoab dan para panglima tentera jadi mereka meninggalkan hadirat raja untuk menghitung Israel (2 Samuel 24:1-4; 1 Tawarikh 21:1-4).

Sembilan bulan dan dua puluh hari Yoab dan orang-orangnya yang keengganan kembali ke Yerusalem dengan laporan mereka setelah menghabiskan waktu itu menjelajah ke seluruh Israel dan menghitung semua orang yang sihat (ayat 5-9). Laporan yang diberikan kepada Daud mengatakan bahawa Yehuda mempunyai kira-kira lima ratus ribu orang yang boleh berperang, dan lapan ratus ribu dalam Israel. Jumlah keseluruhannya termasuk tentera sedia ada dan penjaga perbatasan (2 Samuel 6:1). Ada juga dua belas pasukan tentera bulanan yang melakukan tugas pelindung kota untuk Raja Daud di Yerusalem, dan dua belas pasukan simpanan para pemimpin suku (1 Tawarikh 21:5; 27:1-22).

Yoab dan orang-orangnya tidak mendaftarkan suku Lewi kerana suku itu membekali para imam dan pembantu-pembantu mereka. Mereka tidak sempat menghitung orang-orang dalam suku Benyamin atau menyiapkan pendaftaran itu kerana Yoab sangat tidak menyetujui pendaftaran ini (1 Tawarikh 21:6; 27:24).

Daud merasa bersalah selepas menghitung orang-orang mampu berperang dan dia berkata kepada Tuhan, “Aku sangat berdosa kerana melakukan ini. Aku memohon engkau, Tuhan, untuk menjauhkan kesalahanku. Aku telah melakukan hal yang sangat bodoh”.

Tidak lama kemudian firman Tuhan datang kepada nabi Gad dan dia diberikan pesan untuk diserahkan kepada Daud.

Lalu Gad pergi kepada Daud dan berkata kepadanya, “Tuhan memberiku sesuatu yang dahsyat untuk dikatakan kepadamu. Dia berfirman bahawa disebabkan perbuatanmu hukuman akan dikenakan pada Israel. Ini mungkin berlaku dengan salah satu daripada tiga cara. Tuhan mengizinkan engkau memilih cara mana satu!”

“Engkau harus memilih antara tiga tahun kebuluran untuk Israel, tiga bulan serangan berat oleh negara-negara musuh, dan tiga hari penyakit sampar daripada Tuhan,” Gad meneruskan. “Katakan apa pilihanmu” (2 Samuel 24:10-13; 1 Tawarikh 21:7-12).

Daud sungguh terkejut mendengar kata-kata Gad. Namun walaupun tertekan dia tidak sukar membuat keputusan yang harus dibuat itu.

“Walaupun Tuhan sangat kuat, aku lebih sanggup jatuh ke dalam tanganNya yang berbelas kasihan daripada jatuh ke dalam tangan musuh-musuhku yang berdendam,” raja memberitahu Gad. “Jika kebuluran menimpa bangsa kita, aku mungkin tidak menderita sebanyak orang lain, tetapi jika penyakit sampar menimpa, ia mungkin menyengsarakan semua dengan sama rata. Jadi beritahu Tuhan kita bahawa jika hukuman harus menimpa Israel kerana dosaku, biarlah itu penyakit sampar. Semoga Pencipta menaruh belas kasihan pada kita” (2 Samuel 24:14; 1 Tawarikh 21:13).

Jadi Tuhan mendatangkan penyakit sampar pada Israel dari pagi itu sampai akhir waktu yang ditentukan, dan tujuh puluh ribu orang mati dari Dan sampai Bersyeba.

Ketika malaikat mengacungkan tangannya untuk membinasa Yerusalem, Tuhan sedih kerana malapetaka itu. Malaikat disuruh mengundurkan tangannya. Malaikat Tuhan pada waktu itu berada di tempat pengirikan Arauna, orang Yebus.

Ketika Daud melihat malaikat yang sedang membinasa bangsa itu, dia berkata kepada Tuhan, “Akulah yang telah berdosa dan melakukan perkara jahat! Jangan biarkan sesiapa lagi bangsaku mati. Apa salah mereka? Biarlah tanganmu memukul aku dan keluargaku” (2 Samuel 24:15-17; 1 Tawarikh 21:14-17).

Daud mendirikan sebuah mezbah

Sedikit waktu kemudian Gad datang kepada Daud dan berkata kepadanya, “Pergilah dan dirikan sebuah mezbah bagi Tuhan di tempat pengirikan Arauna, orang Yebus itu”.

Ketika Arauna melihat raja dan orang-orangnya datang, dia keluar dan sujud kepada raja dengan mukanya ke tanah. Dia kemudian bertanya kenapa Daud datang ke situ.

“Aku ingin membeli tempat pengirikanmu,” Daud berkata.

“Engkau boleh saja mengambil semua yang aku milik di sini tanpa apa-apa bayaran,” dia memberitahu Daud. “Jika engkau memerlukan kayu untuk api, gunakan perkakas pengirikanku. Jika engkau memerlukan binatang untuk dijadikan korban, ambillah lembu-lembuku,” Arauna berkata.

“Tidak, aku tetap mahu membayarnya,” kata Daud dengan tegas, “Aku tidak akan mempersembahkan kepada Allah Tuhanku korban bakaran tanpa membayar apa-apa”.

Daud menerima semua yang ditawarkan dan membayar lima puluh syikal perak. Daud mendirikan mezbah di situ dan mempersembahkan korban bakaran dan korban keselamatan. Lalu Tuhan menjawab doa untuk negeri itu, dan tulah itu berhenti menimpa Israel (2 Samuel 24:18-25; 1 Tawarikh 21:18-24).

Menarik diperhatikan bahawa 1 Tawarikh 21:25 berkata Daud membayar Arauna enam ratus syikal emas untuk tempat itu.

Kontradiksi harga ini hanya boleh diselesaikan dengan menganggap bahawa pembelian tempat asalnya adalah dengan harga 50 syikal perak dan sekitarannya dibeli dengan harga 600 syikal emas; dan kawasan itu diperluaskan untuk memberi ruang bagi pembangunan Bait Suci.

Selain itu, 2 Tawarikh 3:1 memberitahu kita Salomo mula membangunkan rumah Tuhan di Yerusalem di atas Gunung Moria. Inilah tempatnya di mana Malaikat muncul di hadapan bapanya Daud, dan tempat di mana Daud menyediakan sebuah mezbah di tempat pengirikan Aranua (atau Ornan), orang Yebus itu.

Kita perhatikan bahawa Tuhan memperlihatkan restuNya dengan menurunkan api dari langit untuk menyalakan api di atas mezbah itu (1 Tawarikh 21:26).

Bila dia menyedari bahawa inilah tempatnya di mana Tuhan mengingini Bait SuciNya didirikan nanti, Daud menghabiskan sisa hidupnya menyediakan bahan-bahan dan menyimpan kebanyakan kekayaannya untuk membayar ongkos pembangunan dan untuk menghiasi Bait itu. Dia memberi anaknya Salomo rencana dan petunjuk lengkap yang telah diberikan kepadanya oleh Tuhan (1 Tawarikh 22:1-19; 29:1-19).

Daud juga menyusun keimamatan dan kerajaan dengan sepenuhnya (1 Tawarikh bab 23-28).

Kehidupan Daud begitu dipenuhi peristiwa dan kesukaran sehingga dua tahun kemudian, walaupun dia hanya berumur enam puluh sembilan tahun, tubuhnya sudah kelesuan dan lemah seperti seseorang yang lebih tua. Antara pelbagai penyakitnya yang dibayangkan dalam Mazmur 31:10 dan 38:3 ialah kedinginan badannya, walaupun dia diselimutkan.

Hamba-hambanya memutuskan untuk mencari seorang perawan muda untuk melayani raja dan menjaganya. Dia akan berbaring dalam pangkuannya dan menolong memanaskan badan Daud. Lalu mereka mencari di seluruh Israel dan menemui Abisag, seorang gadis Sunem, dan membawanya kepada raja. Gadis ini amat cantik; dia merawat raja dan melayaninya, tetapi raja tidak bersetubuh dengannya (1 Raja-raja 1:1-4).

Adonia menempatkan dirinya sebagai raja

Adonia, salah seorang anak Daud, memutuskan bahawa bapanya sudah terlalu tua dan uzur untuk memerintah Israel, dan dialah yang patut mengambil tempat bapanya. Adonia seorang yang amat tampan dan lahir selepas Absalom. Untuk mengkagumkan rakyat dia memilih beberapa kereta kuda yang amat mewah untuk dinaikinya, dan mengupah lima puluh orang untuk berlari mendahulunya.

Daud tidak pernah campur tangan dengan Adonia mahupun mempersoal kelakuannya. Daud amat sentimental berhubungan anak-anaknya, dan tidak selalunya tegas seperti sepatutnya untuk kebaikan mereka serta dirinya.

Apa sekalipun situasinya, Daud tidak melakukan apa-apa untuk menahan anaknya daripada cuba mengambil alih pimpinan kerajaan Israel. Adonia berjaya mendapatkan sokongan beberapa orang berpengaruh dalam negara, termasuk Yoab panglima tentera, dan imam Abiatar. Imam Zadok dan nabi Natan tidak memihak kepadanya. Begitu juga dengan kebanyakan pemimpin dan orang kuat yang rapat dengan Daud (1 Raja-raja 1:5-8).

Adonia kemudian mempersembahkan korban domba, lembu dan anak lembu yang digemukkan di Batu Zohelet. Dia menjemput semua saudaranya dan semua orang Yehuda yang merupakan pegawai raja. Tetapi dia tidak mengundang nabi Natan, atau Benaya atau para pahlawan (ayat 9-10). Kebanyakan pegawai Daud diabaikan. Begitu juga Salomo, anak kepada Daud dan Batsyeba, iaitu anak yang Daud tahu telah ditentukan Tuhan untuk menjadi raja Israel yang seterusnya (1 Tawarikh 28:5).

Nabi Natan memutuskan bahawa Adonia sudah keterlaluan, dan Daud harus digerakkan untuk berbuat sesuatu tentangnya. Sebab tahu Batsyeba berpengaruh besar pada Daud, dia memintanya pergi kepada raja untuk memberinya amaran tentang adanya bahaya Salomo dan ibunya kehilangan nyawa mereka jika Adonia memilih untuk mengambil jalan ekstrim untuk mendapatkan kuasa pimpinan sepenuhnya dan pasti.

“Aku tahu yang engkau tahu Daud mengingini anakmu menggantinya seperti Tuhan telah perintahkan,” Natan memberitahu Batsyeba. “Engkau harus pergi kepada suamimu dan memberitahunya bahawa ini tidak akan terjadi melainkan ambisi Adonia dihentikan serta-merta. Tuhan ingin Daud melakukan bahagiannya. Apabila aku tahu yang engkau berbicara tentang hal ini kepada Daud, aku akan menyertai engkau berdua dan mengulangi bahawa hal ini amat genting sekali” (1 Raja-raja 1:11-14).

Batsyeba pergi serta-merta kepada Daud untuk menjelaskan bagaimana Adonia berkelakuan dan bagaimana dia sudahpun menjadi raja Israel dalam fikiran sesetengah rakyat. Dia menyatakan bahawa jika sokongannya bertambah dan jika Daud meninggal, dia dan Salomo pasti akan dianggap sebagai musuh-musuh negara kerana mereka tidak termasuk antara para pengikut Adonia.

Lalu pengumuman dibuat bahawa nabi Natan ingin berbicara dengan Daud, dan Batsyeba pergi. Bila Natan masuk, dia menyebut kepada Daud semua yang Batsyeba telah katakan kepada suaminya, tetapi dengan cara berlainan dan bertujuan untuk menarik minat terbesar Daud.

“Aku tidak mengerti kenapa engkau mengizinkan orang lain untuk menjadi raja Israel sedangkan Tuhan sudah lama memerintahkan bahawa Salomo harus mengganti engkau,” Natan menunjukkan kepada Daud (ayat 15-27).

Daud menjadikan Salomo raja

“Panggil masuk Batsyeba”, Daud bertitah.

Natan tahu sementara dia pergi bahawa raja sudah membuat keputusan tertentu. Dia pasti itu keputusan yang betul. Apabila Batsyeba tiba, Daud dengan penuh semangat mengingatkannya bahawa dia telah bersumpah bahawa Salomo pasti akan menjadi raja Israel dan bahawa dia ingin mengulangi sumpah itu. Berpaling daripada Batsyeba, dia menyuruh seorang pengawal memanggil imam Zadok, nabi Natan dan Benaya, seorang wira hebat dan panglima para pengawalnya (2 Samuel 23:20-23; 8:18). Selepas ketiga-tiga orang ini tiba, Daud menyuruh mereka membawa Salomo ke satu tempat perkumpulan umum di luar saja pintu gerbang barat Yerusalem.

“Benaya, pastikan dia diiringi kebanyakan pengawal-pengawalku,” Daud bertitah. “Dudukkan dia atas bagal peribadiku. Natan dan Zadok, engkau akan mengurapi anakku Salomo sebagai raja Israel yang seterusnya. Buatlah pengumuman umum supaya rakyat tahu apa yang berlaku. Selepas semua upacara selesai, bawa Salomo kembali ke sini.”

“Amin!” Benaya mengucap. “Aku tahu ini menurut kehendak Tuhan. Tuhan telah berserta engkau, rajaku. Semoga Dia bersama Salomo untuk meninggikan takhta Israel, dan menjadikannya lebih agung daripada takhta ketika pemerintahanmu.”

Apabila rakyat di dalam dan sekitar Yerusalem melihat para pengawal raja berbaris di hadapan dan di belakang Salomo yang menunggang bagal serta dua imam itu, mereka berkerumun semakin lama semakin ramai untuk mengikut perbarisan itu. Bila semua upacara sudah selesai, dan Salomo sudah diurap sebagai raja, kumpulan besar orang ramai telahpun berkumpul. Adanya bunyi-bunyian perayaan besar, termasuk tiupan sangkakala-sangkakala serta sorakan “Hidup Raja Salomo!” Semua orang itu mengikutnya, memainkan suling dan bersukaria beramai-ramai, sehingga tanah bergegar dengan bunyi itu (1 Raja-raja 1:28-40; 1 Tawarikh 29:20-25).

Tepat waktu ini rapat umum umpama pesta Adonia untuk mendapatkan pengikut baru hendak tamat. Jamuan akhir sudah selesai. Para tetamu mula pergi apabila bunyi alat-alat muzik dan sorakan beribu-ribu suara jelas didengari Adonia dan mereka yang bersamanya.

“Apakah erti riuh di kota ini?” Yoab bertanya.

Sementara para pendengar yang tertanya-tanya terhenti kegelisahan, Yonatan anak imam Abyatar masuk dari jalan untuk menyertai mereka. Adonia menyambutnya dengan mesra, sambil mengatakan betapa beraninya dia dan pastinya dia membawa khabar baik.

“Ini mungkin khabar baik untuk sesetengah orang, tetapi mungkin tidak bagimu,” Yonatan menjawab dengan gelisah. “Salomo anak Daud baru saja diurapi sebagai raja seterusnya oleh imam Zadok dan nabi Natan. Muzik kuat dan sorakan yang engkau dengar itu datang daripada orang ramai yang menyaksikan upacara itu. Rakyat gembira dan bersemangat tentangnya” (1 Raja-raja 1:41-48).

Kesunyian suram meliputi para undangan Adonia dan mereka semua bangkit dan pergi. Tentang Adonia pula, dia memilih untuk mencari perlindungan di Khemah Suci di mana dia memegang tanduk-tanduk mezbah. Mezbah dianggap sebagai tempat perlindungan bagi mereka yang telah berdosa. Adonia berfikir inilah tempat paling selamat baginya jika perajurit-perajurit Daud datang mendapatkannya (1 Raja-raja 1:49-50).

Salomo telah mengambil alih segala tanggungjawab raja Israel sebaik saja dia kembali ke istana. Walaupun dia baru berumur kira-kira dua puluh tahun, dia mampu membuat pengadilan baik, dan amat memandang berat jabatannya yang tinggi. Apabila dia mendengar bahawa Adonia berada di Khemah Suci dan bersandar pada raja untuk melepaskan nyawanya, dia mengutus orang untuk menjemput Adonia. Mereka membawanya turun dari mezbah dan Adonia datang dan sujud menyembah Raja Salomo.

“Aku tahun engkau telah bertindak bodoh dalam mencuba untuk menjadi raja,” Salomo bertitah. “Sebab itu, sama ada engkau hidup atau mati akan bergantung pada bagaimana engkau berkelakuan dari sekarang. Jika engkau mengikut jalan betul, sehelaipun rambutmu tidak akan dilukai oleh orang-orangku. Sekarang pulang ke rumahmu” (ayat 51-53).

Perintah Daud kepada Salomo

Tidak lama selepas itu, Daud memberitahu Salomo bahawa dia hampir mati, dan bahawa dia mempunyai nasihat berharga untuk diberi kepadanya. Nasihat itu merupakan nasihat yang harus diberi bapa yang bijak kepada anaknya, tetapi ada peringatan daripada bekas raja Israel itu kepada raja barunya.

“Ikutilah segala Perintah dan ketetapan dan ketentuanNya,” kata Daud kepada Salomo. “Engkau akan makmur dan sukses. Tuhan mengatakan kepadaku bahawa jika anak-anakku hidup menurut segala HukumNya, keturunan keluarga kita akan terus berada di atas takhta Israel. Jadi buktikan dirimu seorang yang taat, dan layak menjadi raja.”

“Pertimbangkan Yoab dan semua pembunuhan yang dilakukannya demi perang. Tanganilah dia dengan cermat dan pertimbangan baik, dan ingatlah yang dia besar pengaruhnya dengan ramai orang, tetapi jangan biarkan dia hidup cukup lama untuk mati tua. Aku sepatutnya telah menghukumnya mati lama sebelum ini.”

“Bermurah hatilah kepada keluarga Barzilai orang Gilead, yang banyak membantuku di kota Mahanaim sementara aku tinggal di situ ketika aku terpaksa lari dari Yerusalem.”

“Pertimbangkan juga Simei orang Benyamin, yang mengutuki aku ketika aku lari dari Yerusalem. Dia cuba berbaik-baik dengan menemuiku di Sungai Yordan bila aku kembali ke Yerusalem. Aku berjanji kepadanya yang aku tidak akan memerintahkan dia dihukum mati. Tetapi engkau tahu dia bersalah. Perlakukan dia dengan kasar sebagaimana engkau harus menangani Yoab.”

Beberapa bulan selepas Salomo menjadi raja, Daud meninggal. Dia telah melayani empat puluh tahun sebagai raja Israel – 7 tahun di Hebron dan 33 tahun di Yerusalem. Lalu Salomo duduk di atas takhta bapanya Daud, dan kerajaannya ditubuhkan dengan kukuh sekali (1 Raja-raja 2:1-11; 1 Tawarikh 29:26-30).

Perkara-perkara utama yang dilakukan Daud dalam hidupnya ialah membawa kedamaian kepada Israel dan mengumpulkan bahan-bahan untuk pembangunan Bait Suci. Dia merencana pembangunannya dan menulis Mazmur untuk kebaktiannya, tetapi dia tidak diizinkan membinanya. Lihat karya Pemerintahan Raja-raja Bahagian II: Daud (No. 282B).

Salomo memperlihatkan kebijaksanaan hebat pada waktu-waktu tertentu ketika pemerintahannya, sehingga Israel kekal kuat dan dihormati negara-negara sekitar. Tetapi keadaannya tidak selalunya berjalan lancar untuk raja muda yang baru ini.

Adonia mencuba lagi

Adonia, yang pernah cuba menjadi raja, memutuskan bahawa dia ingin mengahwini Abisag, perempuan muda yang dipilih untuk menjaga Daud ketika hari-hari terakhirnya. Adonia dengan bijaknya pergi kepada Batsyeba tentang perkara itu, sebab tahu yang dia lebih berpengaruh dengan raja daripadanya.

Batsyeba menjanjikan Adonia yang dia akan membuat permintaan itu dengan anaknya. Bila dia berbuat begitu, Salomo menjadi amat marah. Dia menganggap permintaan Adonia melalui ibunya sesuatu yang sangat tidak betul. Dia betul dengan mencurigai bahawa ini merupakan permulaan kepada satu komplot untuk merebut takhta Israel.

“Adonia sebaiknya meminta juga seluruh kerajaan ini!” Salomo berkata dengan marah kepada ibunya. “Aku sudah mengingatkannya bahawa kelakuannya akan menentukan nasibnya. Peristiwa ini membuktikan kepadaku bahawa dia tidak layak hidup!” (1 Raja-raja 2:12-23).

Lalu Raja Salomo memberi perintah kepada Benaya dan dia memancung Adonia dan dia mati (1 Tawarikh 18:17; 1 Raja-raja 2:24-25).

Kepada Abyatar, imam itu, raja berkata, “Pulanglah ke ladangmu di Anatot. Engkau patut mati, tetapi aku tidak akan membunuh engkau kerana engkau pernah mengangkat Tabut Tuhan di depan bapaku Daud dan menyertai bapaku dalam segala kesusahannya”. Lalu Salomo memecat Abyatar daripada jabatan imam, memenuhi firman Tuhan yang dikatakan di Silo tentang keluarga Eli (1 Raja-raja 2:26-27).

Apabila Yoab mendengar apa yang terjadi kepada rakan-rakan subahatnya, Adonia dan Abyatar, dia mengikut teladan Adonia dan lari ke Khemah Suci, di mana dia menuntut perlindungan istimewa daripada hukum mati dengan memegang mezbah.

Bila mengetahui apa yang dilakukan Yoab, Salomo mengutus Benaya untuk menyeretnya dari mezbah itu dan membunuhnya. Apabila Benaya menyuruh Yoab untuk menjauhi mezbah itu atau diseret pergi, Yoab menyatakan dia lebih suka mati di mezbah itu. Benaya melaporkan ini kepada raja.

“Lakukan seperti yang dikatakannya. Pancunglah dia dan kuburkanlah dia, dan dengan itu menjauhkan aku dan keluarga bapaku daripada kesalahan darah tidak bersalah yang ditumpahkan Yoab. Semoga kesalahan darah yang ditumpah itu dipertanggungkan kepada Yoab dan keturunannya selamanya. Tetapi bagi Daud dan keturunannya, keluarganya dan takhtanya, semoga adanya damai Tuhan selamanya.”

Perintah suram itu dilaksanakan, mengakhiri hidup seorang yang pernah menjadi panglima tentera yang sangat berkebolehan, tetapi bertahun-tahun menghadapi hukuman mati kerana perbuatan membunuh yang dilakukannya dengan biadap (1 Raja-raja 2:28-34; 2 Samuel 3:26-27; 20:8-10).

Benaya kemudian menjadi panglima tentera Israel, kedudukan Yoab sebelumnya. Pada waktu yang sama Salomo meletakkan imam Zadok dalam tempat Abyatar (ayat 35). Zadok merupakan anggota keluarga Eleazar, dan dengan itu jabatan imam kembali kepada keluarga yang mula-mula dipilih Tuhan untuk menjadi para imam (1 Tawarikh 6).

Seterusnya Salomo memanggil Simei, orang Benyamin itu, yang pernah mengutuki Daud.

“Dapatkan rumah untukmu di sini di Yerusalem dan tinggallah di situ” Salomo memerintahkan Simei. “Jika engkau pergi ke luar saja tembok-tembok ini, engkau akan mati. Kalau engkau mahu terus hidup, tinggal dalam kota ini.”

Simei menjawab raja, “Engkau raja yang baik. Hambamu akan melakukan seperti tuanku raja katakan” (ayat 36-38).

Bagaimanapun, tiga tahun kemudian, dua orang hamba Simei lari dari rumahnya dan bersembunyi di Gat, kota Filistin. Lalu Simei pergi mengejar mereka dan membawa hamba-hamba itu kembali ke Yerusalem. Semua ini diceritakan kepada Salomo, yang kemudiannya memanggil Simei menghadapnya.
“Aku sudah memperingatkan engkau bahawa jika engkau pernah meninggalkan Yerusalem engkau akan bertanggungjawab atas kematianmu sendiri,” Salomo mengingatkan orang Benyamin itu. “Engkau berjanji waktu itu yang engkau mentaati larangan itu. Tidakkah engkau sedar yang engkau sekarang harus mati? Tetapi walaupun engkau tidak keluar dari Yerusalem, engkau masih bersalah mengutuki bapaku yang raja, dan sebab kejahatan itu Tuhan mengadili yang engkau harus dihukum mati.”
Lalu raja memberi perintah kepada Benaya dan dia keluar dan memancung Simei dan membunuhnya.
Kerajaan itu kini kukuh di tangan Salomo (ayat 39-46).