Orang dari banyak negara telah dipanggil untuk menjadi Israel rohaniah, sesudah dibetulkan dalam kebenaran dan dipimpin kepada pertaubatan. Kita ialah Jemaat TUHAN, Yahovah Semesta Alam, dan diserahkan kepada Mesias. Untuk kekal dalam jemaat Tuhan sebagai satu Umat Suci, tuntutannya adalah untuk dikuduskan, iaitu disucikan, dikhususkan untuk kegunaan Suci, terpisah daripada hal duniawi dan berdedikasi kepada Tuhan. Ini bermakna bebas daripada kesalahan dosa; disucikan secara dalaman oleh pembaharuan janji.
Alkitab meminta kita menguduskan jemaat dengan satu puasa (Yoel 1:14; 2:15,16).
Dari 1 Abib kita berdoa dan belajar dan pada 7 Abib adalah puasa untuk Mereka yang Berdosa Dengan Tidak Sengaja dan Tidak Sedar. Justeru dengan pengajian kebenaran, Firman Tuhan, kita dikuduskan (Yohanes 17:17).
Para imam juga diwajibkan untuk dikuduskan (Keluaran 19:22), dan jika mereka tidak berbuat begitu mereka boleh diselamatkan oleh doa-doa kita.
Kita harus bersedia untuk mengambil Paskah dan merayakan tujuh hari Roti Tidak Beragi dengan tekun. Proses penyucian pengudusan ini dilambangkan oleh penyingkiran ragi daripada kediaman kita, dan kita pergi ke Paskah, di mana, dalam acara membasuh kaki, dosa-dosa tahun itu dibasuh bersih. Dalam Yohanes 13:10 Yesus menunjukkan bahawa mereka yang telah disucikan dalam baptisan untuk dosa-dosa lalu, hanya perlu dibasuh kaki mereka, pada Perjamuan Suci. Ini diadakan pada malam bermulanya 14 haribulan Abib, Hari Persiapan, dan hari korban anak domba Paskah, iaitu Kristus.
Memelihara Hari-hari Roti Tidak Beragi selama tujuh hari itu adalah genting bagi pemulihan jemaat (lihat karya Tujuh Paskah Agung Alkitab (No. 107)). Kegagalan para imam untuk dikuduskan mempengaruhi jemaat, namun pemulihan itu dapat dicapai oleh mereka yang setia yang dikuduskan, dan melalui puasa pada 7 Abib oleh umat ini.
Keluaran 12:14-20 menunjukkan kita harus membersihkan kediaman kita daripada ragi (lambang penyucian hati nurani kita daripada dosa) dan merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari. Terdapat Pertemuan Kudus pada hari Pertama dan Ketujuh Abib.
“Merayakan hari raya” bila diterjemah daripada bahasa Ibrani, membawa idea bahawa seseorang itu penziarah yang menziarahi satu tempat kudus yang dipilih Tuhan. Pada hari ini, Jemaat memilih tempatnya, dan jemaat dituntut hadir di tempat itu. Ini dilakukan 3 kali setahun seperti yang ditetapkan Keluaran 23:14-18 dan persembahan diwajibkan.
Tanpa penyertaan taat kita, Yahovah Elohim kita tidak mungkin berkhemah suci dengan kita (Keluaran 29:42-46).
Alkitab meminta kita merayakan Hari Raya Paskah jauh daripada kediaman kita selama 36 jam dari malam 14 Abib hingga pagi 15 Abib. Kita kemudiannya diizinkan pulang ke ‘khemah-khemah’ kita pada pagi haribulan lima belas. Ini tidak bererti kita diizinkan untuk meneruskan aktiviti kerjaya biasa kita (Keluaran 23:15; Ulangan 16:1-8, 16).
Ulasan Yehezkiel dalam Yehezkiel 45:21-24 menunjukkan raja diperlukan menyediakan segala persembahan untuk tujuh hari itu dan umat itu hadir selama tujuh hari penuh.
Teks dalam 2 Tawarikh 30:20-27 yang meliputi pemulihan Hizkia menunjukkan kejayaannya disebabkan semangat bangsa itu untuk hari raya ini, malah sampai merayakan tujuh hari lagi dengan gembira. Dalam Pemulihan Hizkia kita perhatikan Tuhanlah yang menyembuhkan umat itu, namun bangsa itu harus dikuduskan dan berkumpul di Yerusalem.
Dalam Lukas 2:41-52 kita lihat bahawa Yesus dan ibu bapanya pergi ke Yerusalem setiap tahun untuk Paskah dan tujuh hari Roti Tidak Beragi.
Tiga Hari Raya Tuhan menunjukkan signifikans bilangan kesempurnaan, iaitu tujuh. Terdapat tujuh hari Roti Tidak Beragi, tujuh Sabat lengkap ke Pentakosta, dan tujuh hari Pondok Daun. Hanya melalui ketaatan saja pemahaman diberikan (Amsal 16:3).
Imamat 23:5-14 menunjukkan kita bahawa kita dituntut memelihara tempoh tujuh hari ini dan membuat persembahan kepada Tuhan selama tujuh hari (Imamat 23:7, 8-21, 34-44).
Pemulihan Yosia menyaksikan perayaan-perayaan itu dirayakan tujuh hari menurut apa yang tersirat serta yang tersurat dalam hukum (NAS 2 Tawarikh 35:1-19).
Imamat 23:9-14 merangkumi Persembahan Unjukan Berkas, dan ayat 15-22 meliputi perhitungan Tujuh Sabat Lengkap ke Pentakosta bila kita menerima Roh Kudus dalam kuasa. Hanya dengan memelihara persembahan Unjukan Berkas ketika Perayaan Roti Tidak Beragi barulah kita boleh memulakan perjalanan dalam penurutan.
Hari Raya Pondok Daun juga mengikuti urutan tujuh hari itu (Imamat 23:34-44). Lihat juga Bilangan 29:12-34 dan Keluaran 23:16b, 34:22b.
Tujuh hari Pondok Daun diikuti oleh hari kelapan, iaitu Hari Kudus Pengadilan Takhta Putih, yang berlangsung pada hujung sistem milenium.
Perayaan-perayaan bulan Pertama dan Ketujuh didahului oleh puasa. Puasa dalam bulan pertama adalah untuk proses pengudusan dan puasa bulan ketujuh mewakili pendamaian kepada Tuhan.
Urutan Hari-hari Raya adalah untuk menyediakan kita, dalam Roh Kudus, agar kita boleh mengalami Mesias dan sistem milenium yang dilambangkan oleh Perayaan Pondok Daun. Dua tempoh tujuh hari Paskah dan Pondok Daun bermula dan berakhir dengan hari kelapan; satu ialah Perjamuan Suci bila mana kita memulakan karunia rahmat, dan Hari Besar Terakhir bila kita melengkapkan karunia rahmat itu dan membantu perluasan Roh Kudus kepada orang lain dalam pengadilan sempurna.
Urutan dalam Abib hingga hari ketujuh memberikan pengudusan kepada mereka yang berdosa dengan tidak sengaja dan tidak sedar (lihat karya Pengudusan Orang-orang yang Berdosa dengan Tidak Sengaja dan Tidak Sedar (No. 291)). Hari Besar Terakhir memberikan karunia hidup kekal kepada semua manusia, melalui Yesus Kristus dan JemaatNya.
Tujuh hari setiap Perayaan ialah waktu Suci Tuhan. Kita boleh menikmati suasana berteman dengan saudara, makan bersama, dan kebebasan untuk aktiviti bersama. Bagaimanapun, kita harus memberi tumpuan pada erti-erti semua Perayaan itu, yang menunjukkan rencana Tuhan dan apa yang telah ditentukanNya untuk kita.
Tuhan jelas menyatakan adanya berkat untuk penurutan, dan sesiapa yang ingkar menempah tulah dan penyingkiran daripada Tubuh Kristus dan tidak akan diizinkan memasuki Kerajaan Tuhan pada Kebangkitan Pertama.